Khamis, 12 Januari 2012

SIAPA DALANG LETUPAN MISTERI 901?

Laporan akhbar milik penuh UMNO, Utusan Malaysia mendakwa bahawa peserta himpunan 901 telah membawa bom ke himpunan tersebut yang dikaitkan dengan misteri tiga letupan di luar Kompleks Mahkamah, Jalan Duta yang menyebabkan lima orang cedera.Malaysiakini.com pula melaporkan:

"Pada halaman utamanya hari ini, akhbar milik Umno itu memetik sumber polis yang tidak dinamakan menjelaskan bahawa pemeriksaan ketat telah dijalankan di seluruh kawasan perhimpunan sebelum peserta dibenarkan memasuki lokasi itu, tetapi polis tidak menemui sebarang objek berbahaya.

Siasatan awal mendapati, bom-bom berkenaan dibawa oleh mereka yang menyertai perhimpunan itu.

“Kawasan tersebut telah dikawal oleh anggota polis sehari sebelum perhimpunan selain pemeriksaan dibuat secara rapi.

“Malah, pemeriksaan terakhir turut dilakukan sebelum peserta perhimpunan dibenar berkumpul di kawasan itu dan tiada objek berbahaya ditemui.

“Sebab itu kita percaya bom buatan sendiri yang lengkap dengan jam jangka itu dibawa oleh peserta perhimpunan,” kata sumber itu dipetik Utusan sambil menambah siasatan mengambil masa kerana kawasan berkenaan tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

NONE Laporan akhbar ini adalah yang pertama mengaitkan letupan pada hari perhimpunan 901 dengan peserta himpunan yang majoritinya penyokong Pakatan Rakyat. Sehingga hari ini, belum ada pegawai polis yang mengeluarkan sebarang kenytaan berhubung identiti dalang letupan itu.

Pada kejadian itu, lima orang termasuk seorang peguam cedera.

Letupan pertama berlaku kira-kira satu jam selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Anwar setelah mendapati beliau tidak bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantunya."

Persoalan yang ditimbulkan:
1) Bagaimana mereka boleh membolosi pemeriksaan yang dilakukan?
2) Adakah ada niat tidak baik pihak polis yang dilihat bertolak ansur membenarkan perhimpunan kali ini berbanding sebelum ini?
3) Adakah perhimpunan 901 lalu menjadi dalil kukuh pihak polis untuk tidak lagi membenarkan sebarang himpunan aman selepas ini?

Kesimpulan yang ingin dibuat:

Telah banyak perancangan jahat yang dilakukan oleh pemerintah kuku besi di negara Arab bagi mengharamkan gerakan Islam. Antaranya;

- Polis rahsia Shah Iran atau SAVAK yang membuat letupan di kawasan awam lalu pihak keselamatan negara menuding jari menyalahkan golongan pro-revolusi 1979

- Pada pemerintahan Presiden Mesir Jamal Abdul Nasir, kerajaan telah membuat konspirasi terhadap gerakan Ikhwan Muslimin dengan menghantar polis rahsia (atau mabahis) bagi mengadakan siri-siri letupan di tempat awam lalu menyalahkan Ikhwan Muslimin.

- Peristiwa letupan bom di gereja Iskandariah ketika masyarakat Kristian sedang menyambut tahun baru awal tahun 2011. Sedangkan pihak Kementerian Dalam Negeri telah memberikan jaminan bahawa polis akan menjaga keselamatan gereja di seluruh Mesir tetapi malangnya kejadian berdarah tersebut berlaku. Bagaimana sebuah kereta yang diletakkan di hadapan gereja tersebut meletup. Selepas kejatuhan Mubarak, terbongkar pihak yang menjadi dalang kepada peristiwa pengeboman tersebut adalah Menteri Dalam Negeri sendiri, Habib Adli.

- Begitu juga peristiwa letupan bom di kawasan peranginan Toba, wilayah Sinai beberapa tahun lalu yang mengakibatkan beberapa kematian melibatkan warga asing. Yang pelik, sebuah kereta yang sarat dengan bahan letupan berjaya membolosi pemeriksaan polis dan telah meletupkaannya di dalam kawasan hotel sedangkan puluhan anggota polis berada di sekitar hotel tersebut..

Isnin, 9 Januari 2012

PAS Lucut Ahli : Sejarah PAS Bertindak Terhadap Ahli dan Pimpinan

PAS telah memecat keahlian Dato' Dr.Hasan Ali, seorang pimpinan tertinggi parti,bukan ahli parti biasa di peringkat cawangan bahkan pernah menjawat Naib Presiden PAS, Pesuruhjaya negeri dan berada dalam Jawatankuasa Pusat hingga hari ini. Ramai juga yang terkejut. Ada yang terkejut dengan kegembiraan dan ada yang terkejut dalam kedukaan.

Sudah lama PAS, sebuah gerakan Islam di Malaysia tidak mengambil tindakan yang tegas terhadap ahli-ahlinya. PAS sebagai sebuah organisasi menjunjung perlembagaan dan dasarnya. Seseorang yang menganggotainya, maka dia perlu tahu hak sebagai seorang ahli dan hak parti yang perlu ditunaikannya. Untuk menjaga perlembagaan dan dasar parti, maka memerlukan sebarang tindakan terhadap ahli yang berkelakuan di luar batasan demi menjaga kemaslahatan parti.

Dua tahun lalu ketika Jawatankuasa Disiplin PAS diketuai oleh Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man (yang juga Naib Presiden parti) telah mengenakan tindakan tatatertib terhadap Khalid Samad dan Dato' Hasan Ali. Khalid digantung keahlian sementara Hasan Ali dikenakan amaran.Teruk Jawatankuasa Disiplin PAS diserang ketika itu. Membuka lembaran tahun baru 2012, PAS sekali lagi bertindak terhadap seorang pimpinan tertingginya.

Itulah tegasnya PAS. Tidak pernah berkompromi dalam sebarang tindakan yang menjejaskan nama baik parti. Sejarahnya yang panjang sejak ditubuhkan 61 tahun lalu, menyaksikan banyak tindakan ahli malah pimpinan tingginya yang menyalahi parti diambil tindakan tegas.

PAS pernah kehilangan Presidennya, Allahyarham Dato' Asri Haji Muda (atau dikenali sebagai Yang Dipertua Agung ketia itu) apabila Dato' Asri mengisytiharkan diri keluar dari PAS ketika hari kedua Muktamar Agung PAS masih berlangsung pada tahun 1982 di Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur. Surat peletakan jawatan beliau dibacakan oleh Setiausaha Agung PAS pada masa itu, Dato' Abu Bakar Umar.

Keluarnya Asri meninggalkan PAS juga diikut serta oleh beberapa pimpinan tertinggi PAS yang lain yang melihat ketokohan Dato' Asri tiada tolok bandingnya pada masa itu. Telahan masyarakat ketika itu bahawa "PAS akan mati selepas tiadanya Dato' Asri". Intima' syakhsi yang membarah ketika itu menyebabkan PAS berpecah. 

Selepas beliau berundur, Pemangku Timbalan Yang Dipertua Agung PAS ketika itu, Allahyarham Haji Yusuf Rawa yang mengetuai Jawatankuasa Disiplin PAS telah mengambil tindakan tatatertib terhadap 13 orang pimpinan PAS lain termasuk Dato' Asri atas kesalahan yang disifatkannya sebagai "kesalahan yang amat berat".

Selesai Dato' Abu Bakar membacakan surat peletakan jawatan, ahli PAS yang hadir pada muktamar tersebut menyambutnya dengan laungan takbir. Seorang perwakilan ulamak telah bangun lantas membacakan sepotong firman Allah dalam surah Ali-Imran yang bermaksud:

"Tidaklah Muhammad itu hanyalah seorang Rasul, telah berlalu sebelumnya beberapa orang Rasul. Adakah jika Muhammad itu mati atau terbunuh maka kamu akan memalingkan tumit-tumit kamu (berpaling dari agamaNya)? Dan sesiapa yang berpaling maka dia sedikitpun tidak memberikan mudarat kepada Allah".

Dato' Asri kemudian kembali ke Kelantan dan  menubuhkan parti baru, Hizbul Muslimin Malaysia atau singkatannya HAMIM bagi mengambil semangat Hizbul Muslimin yang ditubuhkan oleh Al-Marhum Ustaz Abu Bakar Al-Baqir pada tahun 1948. Pada tahun 1988, Dato' Asri meninggalkan HAMIM seterusnya menyertai UMNO dan meninggal dunia pada tahun 1992 dalam parti tersebut. Parti HAMIM kemudiannya berkubur kira-kira 15 tahun setelah ditubuhkan.

PAS juga pernah kehilangan Naib Presiden (atau dikenali Naib Yang Dipertua pada masa itu) Ustaz Nakhaie Ahmad kerana tindakannya keluar parti dan menyertai UMNO.

Ketika PAS berada di penghujung persahabatan antara UMNO dalam kerajaan campuran tahun 1977,  pernah pimpinannya melakukan tindakan yang menyalahi dasar dan prinsip parti lalu disingkirkan. Antaranya Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Hasan Adli Arshad.

Ketika itu, Kerajaan Pusat telah membentangkan Undang-Undang Darurat bagi negeri Kelantan yang dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Dr.Mahathir Mohammad pada 4 November 1977.  Undang-Undang tersebut akhirnya telah meletakkan Kelantan di bawah pentadbiran MAGERAN dan menyaksikan berakhirnya penguasaan PAS terhadap negeri itu yang dikuasai sejak tahun 1959. 

Sebagai bantahan terhadap tindakan UMNO itu, mesyuarat Jawatankuasa Agung PAS Pusat dalam mesyuarat khasnya pada 6 November 1977 telah mengarahkan semua pimpinan PAS yang menjawat jawatan Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen dalam kerajaan campuran Barisan Nasional (BN) agar meletakkan jawatan sebagai tanda protes.

Yang Dipertua Agung PAS Pusat pada masa itu, Dato' Asri Haji Muda yang memegang jawatan Menteri Kemajuan Tanah dan Wilayah turut meletakkan jawatan. Tetapi, Dato' Hasan Adli  sebagai Menteri Kerajaan Tempatan yang merupakan orang nombor dua dalam parti tidak mengikuti keputusan mesyuarat tersebut. 

Tindakan itu menyebabkan beliau terlucut keahlian PAS kerana mengingkari arahan yang dikeluarkan. Dato' Hasan Adli memegang jawatan tersebut hingga akhir penggal Parlimen dan kemudiannya dilantik sebagai Duta Besar ke Republik Arab Mesir.

Sejarah juga membuktikan bahawa PAS pernah memecat keahlian Menteri Besar Kelantan pada era kerajaan campuran Perikatan iaitu Allahyarham Dato' Haji Mohamed Nasir. Dato' Asri Haji Muda yang memimpin PAS Pusat ketika itu mengambil keputusan tersebut setelah desakan meminta Dato' Mohamed Nasir meletakkan jawatan gagal. 

Antara kesalahan utama yang dilihat oleh PAS Pusat terhadap kepimpinan Dato' Mohamed Nasir ialah beliau dilihat terlalu mengikut telunjuk UMNO Kelantan dalam pentadbiran negeri. Figure utama UMNO Kelantan ketika itu ialah Tengku Razaleigh Hamzah dan Dato' Abdullah Ahmad (Ahli Parlimen Kok Lanas).

Keputusan tegas PAS Pusat itu telah meledakkan kemarahan Dato' Mohamed Nasir dan penyokong-penyokongnya yang kemudian menubuhkan parti baru, Barisan Jemaah Islamiyah atau ringkasnya BERJASA. 

BERJASA ini kemudian menyertai Pilihanraya Umum pada tahun 1978 dan bergabung bersama-sama UMNO Kelantan dalam  menumbangkan kerajaan PAS. BERJASA juga akhirnya menerima nasib yang sama seperti HAMIM apabila dibubarkan beberapa tahun selepas penubuhannya.

Namun, di akhir hayat Dato' Mohamed Nasir, beliau telah kembali bersama PAS dan mengungkapkan bahawa "PAS tidak pernah luput dalam hidupnya."  Kata beliau, apa yang ditentangnya hingga menubuhkan parti politik baru adalah kerana tidak bersetuju dengan beberapa tindakan peribadi yang dilakukan oleh Dato' Asri pada masa itu. 

Setelah Dato' Asri berundur dan mengakhiri hayat dalam perjuangan UMNO, Dato' Mohamed Nasir kembali ke pangkuan PAS dan meninggal dunia pada tahun 1997 di luar negara.

PAS juga pernah memecat keahlian pimpinan PAS di negeri Terengganu iaitu Ustaz Abdul Latif Mohammad yang juga merupakan Yang Dipertua PAS kawasan Besut dan pernah menganggotai Dewan Undangan Negeri Terengganu. Tindakan PAS Pusat itu menyebabkan Ustaz Latif dipergunakan oleh UMNO khasnya anjuran UMNO Besut dalam program "Selamat Tinggal PAS" (STP) sekitar tahun 1998.

Tidak ketinggalan seorang pimpinan PAS kawasan Pasir Puteh, Kelantan, Allahyarham Cikgu Musa Salleh yang dipecat keahliannya pada tahun 1993 yang membawa penubuhan Angkatan Keadilan Insan Malaysia atau singkatannya AKIM.

Semua peristiwa hitam yang terukir dalam sejarah perjuangan PAS walaupun kelihatan pada mulanya agak bergelora, namun ia kembali jernih dan tenang. Pimpinan yang sedia ada terus mengemudi bahtera perjuangan kerana kehebatan PAS bukan kerana pimpinannya sahaja tetapi bergantung kepada ahli-ahlinya yang ikhlas dan dasarnya yang membawa Al-Quran dan Sunnah. 

Ia termaktub jelas dalam Perlembagaan partinya iaitu dasarnya Islam dan seruannya ialah ALLAHU AKBAR sekaligus menafikan bahawa "krisis identiti" telah melanda PAS.