

MAJLIS PEMBACAAN KUTUB SITTAH SIRI III
Tarikh :29, 30, dan 31 Oktober 2011
Tempat : Nadi Riadhi, Madinah Nasr.
MAJLIS APRESIASI & KECEMERLANGAN
Tarikh : 2 November 2011
Tempat :AL-AZHAR CONFERENCE CENTER [ACC].
http://kutubsittah-pmram.blogspot.com/
S - sayu hati bila dunia menyelubungi diri
T - tak pernah endah pada tuntutan ilahi
A - angkuh, bongkak, takbur pakaian diri
Z - zalim dan biadab melaksanakan amanah ilahi
K - kau hadir tanpa undangan
H - harapan menggunung meng-kudakan mahasiswa
A - ayat ANGKUH kau lafazkan “ Mesir Waa punyaa”
I - itulah EGO Atase Pendidikan EM kita
R - rasa bangga mengkhianati bangsa sendiri
I - inzar dan ingat, Allah itu Maha Kuasa
J - jaga-jaga doa orang dizalimi
A - Allah tak pernah mungkir janji-Nya
L -lambat laun tersingkap jua akhirnya
A -Arwah Kak Limah datang menjelma
L -lampiran-lampiran pengkhianatan dibongkar
U -ustaz Khairi mula menyepi, sunyi
D -demi menyelamatkan maruah diri
D -doa dan pergantungan kami hanya pada Allah
I -INGAT!, jangan cabar kami mahasiswa Islam Mesir
N -nantikan, nusrah Allah pasti akan menjelma…
Kepada T.Y.T Dato’ Dr. Fakhruddin Abdul Mokti Duta Besar Malaysia Kaherah, semoga sentiasa diberikan petunjuk ke jalan yang diredhaiNya.
T.Y.T Dato’,
1. Awalnya ketika diumumkan kehadiran Dato’ ke Mesir sebagai duta menggantikan Dato’ Zainal Abidin Abdul Kadir, kami para mahasiswa dan mahasiswi berasa amat berbesar hati. Ini kerana berdasarkan perkhidmatan Dato’ yang agak memberansangkan ketika berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) sebelum ini. Harapan kami semoga Dato’ dan isteri, Datin Zaharah Hashim yang seperti ibu dan bapa kami akan menjalinkan kerjasama baik dengan pelajar di sini.
2. Apatah lagi, pada pandangan rakyat Malaysia, Dato’ sebagai golongan akademik tentunya akan mengurangkan pergeseran dengan pelajar di Mesir, berbeza dengan beberapa Duta sebelum ini. Tambahan pula, Dato’ tidak pernah terlibat dengan mana-mana politik kepartian di Malaysia, berbeza dengan mantan Duta, Dato’ Zainal Abidin yang mempunyai latar belakang politik kepartian UMNO, sebagai bekas ADUN BN bagi kawasan Melor dalam Parlimen Peringat merangkap Ketua Pembangkang DUN Kelantan (1995-1999), kemudian bertanding sekali lagi dalam Pilihanraya Umum tahun 1999 tetapi tewas di tangan YB Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh, seterusnya dilantik oleh Dr.Mahathir Mohammad (sekarang Tun) sebagai Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan Malaysia.
3. Akan tetapi kegembiraan kami rupanya tidak lama. Hanya tidak sampai setahun Dato’ dilantik sebagai Duta di sini, Dato’ telah menggunakan kuasa dan pengaruh yang ada untuk menyusahkan pelajar di sini. Dato’ dengan bersusah-payah bertemu dengan Mufti Mesir, Dr.Ali Jum’ah bagi pihak Darul Ifta’ menyingkirkan saudara Mohd Firdaus Mazlan dari meneruskan pengajian yang hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi.
4. Pihak kami ingin bertanya pada pihak Dato’, atas arahan siapa Dato’ bertindak sebegitu kejam? Pihak kami boleh bersetuju jika Dato’ mengambil tindakan agak waras selain meminta dibuang pengajian. Seribu satu lagi tindakan lain yang boleh dibuat jika jawapan Dato’ kepada soalan tadi ialah “Saya diarahkan untuk bertindak” ataupun “saya terpaksa bertindak mengikut arahan”. Antara tindakan yang pasti memberikan kesan mendalam ialah Dato’ boleh menasihati dengan amaran atau berleter berapa jam yang Dato’ mahu kepada mereka yang menyertai perhimpunan BERSIH 9 Julai lalu. Bukankah kegemaran Dato’ ialah bersyarah setiap kali mukadimah memulakan mesyuarat sewaktu Dato’ mengetuai JPMK sebelum ini?
5. Perkara yang amat kami kesalkan ialah kenapa tindakan dan ugutan hanya dibuat terhadap pelajar di Mesir? Bukankah hampir kebanyakan negara yang mempunyai rakyat Malaysia, himpunan BERSIH dibuat? Bahkan di United Kingdom juga berlaku ketika kunjungan YAB Perdana Menteri Malaysia ke negara berkenaan baru-baru ini. Kenapa pihak kedutaan di negara-negara berkenaan tidak membuat tindakan yang sedrastik Dato’? Jika perjuangan Dato’ dan parti kerajaan yang Dato’ terhutang budi dengannya kerana melantik Dato’ bergelar TYT hari ini memperjuangkan kebangsaan Melayu, tidakkah kami semua warga Malaysia di Mesir adalah orang-orang Melayu tulen? Atau Melayu yang jenis manakah yang Dato’ dan parti kerajaan yang Dato’ terhutang budi dengannya yang mahu dibela?
6. Kami seterusnya memperingatkan Dato’ dan pegawai-pegawai Dato’ agar jangan cuba mengheret Syeikh Al-Azhar, Dr.Ahmad Toyyib, Mufti Dr.Ali Juma’h dan ulamak Al-Azhar terjerumus ke kancah politik sempit Dato’. Apa yang Dato’ dan pegawai-pegawai Dato’ sampaikan kepada mereka, itulah yang mereka percayai tambahan pangkat dan jawatan Dato’ mewakili kerajaan, jangan sesekali disalahgunakan untuk kepentingan politik parti kerajaan yang Dato’ terhutang budi dengannya. Dato’ perlu sedar bahawa bahang revolusi Mesir 25 Januari yang dicetuskan rakyat Mesir masih terasa kehangatannya. Dato’ pun memahami sikap dan perangai warga Arab Mesir yang menjatuhkan Mubarak.
7. Kami semua adalah saksi yang melihat dan merasai revolusi tersebut dengan pancaindera kami sehingga tumbangnya sebuah kerajaan Fir’aun moden yang begini hebat. Pelbagai cara yang difikirkan Mubarak bagi memastikan kuasanya bertahan, tetapi kehendak ALLAH mahukan dia jatuh, maka tetap akan jatuh. Itulah yang kami pelajari di universiti tertua di dunia, Al-Azhar Al-Syarif (Semoga ALLAH menambahkan kemuliaan ke atasnya) bahawa tiada satu kuasa pun atau satu kerajaan atas dunia akan kekal sampai kiamat kecuali kuasa dan kerajaan ALLAH.
8. ALLAH pernah memberikan kerajaan kepada Nabi Daud, Nabi Sulaiman dan kepada Nabi kita Muhammad s.a.w. yang memerintah Madinah. ALLAH juga pernah memberikan kerajaan kepada musuh-musuhNya seperti Fir’aun,Haman, Namrud, Abu Lahab serta Abu Sufiyan yang menjadi pembesar Mekah. Tetapi semua itu kini telah tiada. Baik kerajaan yang memerintah itu adil atau zalim, bila sampai ketentuan ALLAH maka akan luputlah kekuasaannya.
9. Sebelum jatuhnya kerajaan UMNO hari ini, kami memohon agar Dato’ kembali ke pangkal jalan. Ini kerana tindakan Dato’ sudah jauh tersasar dari redha ALLAH dan RasulNya s.a.w. Jika Nabi kita Rasulullah s.a.w masih hidup, cuba Dato’ fikirkan adakah Baginda s.a.w akan meredhai perbuatan Dato’ ini? Setidak-tidaknya pun di akhirat kelak, bagaimana perlu Dato’ buat apabila terserempak dengan Baginda s.a.w di Padang Mahsyar nanti?
Adakah Dato’ mahu menangis semahunya apabila Baginda s.a.w menempis tangan Dato’ ketika mana Dato’ memohon syafaat Baginda s.a.w sepertimana Dato’ menempis dan menolak tangan yang menghulurkan memorandum pada Dato’ di Rumah Wilayah Persekutuan tempoh hari? Dalam keadaan dahaga di Mahsyar, Dato’ menuju ke kolam Kauthar, sekali lagi Rasulullah s.a.w memalingkan wajah Baginda s.a.w yang mulia dari melihat wajah Dato’. Apakah jawapan Dato’ apabila Rasulullah s.a.w bertanyakan kenapa seorang penuntut ilmu agama kerana ALLAH diperlakukan sebegini?
10. Kami cadangkan supaya Dato’ menyediakan satu jawapan yang membuatkan Rasulullah s.a.w terpaku mendengarnya, seperti suara lantang Dato’ berucap di dalam mana-mana majlis di dunia ini. Atau Dato’ gunakanlah sijil Phd, Master dan title T.Y.T serta beberapa darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Dato’ untuk dimanfaatkan semaksimum mungkin kelak di hadapan ALLAH bagi melepaskan Dato’ dari kesengsaraan di akhirat kelak. Jika semua itu boleh memberi manfaat maka tiada guna ayat ALLAH dalam Al-Quran Surah As-Syu’ara’ ayat 88:
Yang bermaksud: "Hari Yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun. Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang Yang datang mengadap Allah Dengan hati Yang Selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik)”.
11. Jika Dato’ merasakan tidak dapat menyediakan satu jawapan yang memuaskan hati Baginda Rasulullah s.a.w maka saranan kami takutilah ancaman ALLAH kepada mereka yang memerangi waliNya dalam Hadith Qudsi ALLAH berfirman:
Maksud “Sesiapa yang memerangi waliKu maka Aku izinkan perang terhadapnya.”
12. Belumpun lagi bahang isu pembatalan Kutub Sittah yang diarahkan batal oleh bekas Pengarah JPMK, Dr.Jamil Hashim berakhir, tiba-tiba Dato’ pula cetuskan kemarahan pelajar. Kepada Dr.Jamil Hashim, kami minta Dato’ sampaikan salam kepadanya. Sekalipun dia boleh pulang tanpa melunaskan ‘hutang’ nya memohon maaf kepada pelajar, kami pasti akan tuntut di akhirat kelak. Ketika itu, bukan manusia lagi menjadi hakim tetapi ALLAH. Dia pasti tidak akan menzalimi kerana Dialah sebaik-baik hakim yang memutus.
13. Permintaan kami kepada Dato’ ialah minta maaf secara terbuka kepada pelajar dan bersihkan nama pelajar-pelajar yang Dato’ telah kotorkan di kalangan ulamak Al-Azhar yang menerima maklumat tidak tepat langsung dari Dato’. Teramat mudah tetapi Dato’ perlu mujahadah menekan nafsu dan syaitan yang ada disekeliling Dato’ terlebih dahulu. Ini kerana nilaian harga syurga di sisi ALLAH teramatlah mahal. Tidak memadai hanya solat dan puasa sahaja.
14. Kami tahu Dato’ berasa serba salah sekarang. Mungkin juga Dato’ tidak lena tidur ketika ini. Itulah bahana kezaliman, sedangkan ALLAH sendiri mengharamkan diriNya melakukan kezaliman dan mengharamkannya ke atas hamba-hambaNya.
15. Jika Dato’ tetap meneruskan kedegilan dan ego pada Dato’ kami tiada pilihan lain kecuali meneruskan perjuangan kami ini. Maafkan kami jika berkasar kelak kerana Dato’ lah yang memulakannya dengan memilih jalan untuk berkonfrantasi dengan pelajar.
16. Harapan menggunung kami kepada Dato’ dan isteri Datin Zaharah Hashim hancur luluh kini. Tiada apa yang hendak diharapkan kecuali menanti masa kejatuhan kerajaan UMNO/ BN. Ketika itu, kami akan mencadangkan kepada kerajaan baru Malaysia supaya menukar Dato’ ke jawatan yang lain atau berkhidmat sebagai Duta bagi negara-negara lain yang tidak mempunyai warga Malaysia yang ramai. Pada ketika itu, Dato’ tak perlu terhegeh-hegeh meminta maaf atau berlakon memakai kopiah putih dan mengisi borang keahlian PAS atau PKR kerana takut kehilangan sumber periuk nasi Dato’ kepada kerajaan baru yang pasti bukan namanya UMNO/BN lagi ketika itu.
Semoga ALLAH memberikan petunjuk kepada Dato’ sebelum sampai azabNya.
Sudah menjadi kebiasaan di dalam sebuah negara maju dan yang mempunyai rakyat berkesedaran tinggi menjadikan himpunan umum atau demonstrasi sebagai cara menyuarakan pendirian mereka. Lebih-lebih lagi berdemonstrasi dibenarkan dalam sebuah negara demokrasi selagi berlangsung dengan aman dan tidak menyebabkan huru-hara dalam negara.
Rakyat Malaysia yang mempunyai kesedaran tinggi tentang keadilan dan hak, mereka juga tidak ketinggalan mengadakan beberapa siri perhimpunan umum untuk menegur golongan pemerintah. Islam juga menyarankan konsep "amar makruf nahi mungkar" hatta kepada pemerintah sekiranya tidak berlaku adil.
Persoalannya, adakah menegur pemerintah dengan cara ini dibenarkan dalam Islam? Atau cara ini ditegah hanya kerana diceduk dari pengamalan masyarakat Barat yang tidak beragama Islam? Persoalan ini harus segera dijawab lebih-lebih lagi ia sudah menjadi amalan masyarakat di kebanyakan negara lebih-lebih lagi di Malaysia.
Pandangan ulamak tentang himpunan aman atau demostrasi.
1. Kebanyakan ulamak muktabar seperti Dr. Yusof Al-Qadhowi (klik), Dr. Ali Jumaah (klik) , Syeikh Abdul Rahman Abdul Khaliq dalam kitabnya ( فصول من السياسة الشرعية ), Syeikh Salman Fahd Audah dan Dr. Sa'aduddin Mus'ad Hilali serta kebanyakan ulamak masa kini berpendapat HARUS mengadakan demostrasi aman lebih-lebih lagi ia dibenarkan oleh perlembagaan sebagai cara untuk rakyat menuntut keadilan dan menyuarakan hak serta pendirian mereka.
Malah gabungan suara rakyat yang ramai lebih didengari dari menyuarakannya bersendirian. Ini berdasarkan Firman Allah bermaksud : "Dan tolong-menolonglah dalam mengerjakan perkara kebaikan dan taqwa, jangan tolong menolong dalam perkara dosa dan permusuhan" (al-Maidah : 2).
Dalam kaedah fiqh juga ada menyatakan : "Asal sesuatu perkara itu harus selagi tidak ada dalil qat'ie dan sorih yang mengharamkannya.
2. Diriwayat dari ibnu Abbas bahawa Sayyidina Umar al-Khattab ketika menjawab soalan ibnu Abbas tentang kenapa dia digelar Al-Faruq oleh Rasulullah S.A.W . Ini kerana disebabkan keberaniannya bersama dengan Sayyidina Hamzah memimpin dua saff muslimin yang turut disertai oleh Nabi S.A.W berjalan beramai-ramai menuju ke Masjidil Haram untuk menzahirkan Islam dan kekuatan muslimin di Mekah. (تاريخ دمشق /حلية الأولياء)
3. Demonstrasi walaupun dilihat berasal dari Barat tetapi intipatinya tidak bercanggah dengan dasar Islam dan erti kemanusiaan. Malah himpunan umum menjadi salah satu syi'ar islam dalam menzahirkan' izzah, kekuatan dan kesatuan umat Islam seperti himpunan ketika solat berjemaah, hari raya dan ketika ibadat haji.
4. Diriwayatkan dari ibnu Abbas, Hadis yang dikeluarkan oleh Syaikhan (Bukhari dan Muslim) bahawa Nabi S.A.W suka menyamai Ahli Kitab pada perkara yang tidak ada perintah tertentu berkenaannya. Malah Rasulullah S.A.W ketika membina parit dalam perang Khandak,membuat cop dan asal kaedah jual beli salam juga mengambil contoh dari orang bukan islam. Sistem Kharaj juga diambil oleh sahabat dari negara Parsi.
5. Demonstrasi bukan bermaksud menentang atau mengangkat senjata menghadapi pemerintah. Ia adalah sebagai salah satu cara untuk menasihati pemerintah dan menegahnya dari terus melakukan mungkar serta ketidakadilan terhadap rakyat.
Ini berdasarkan dua Hadis Rasulullah S.A.W : "Agama itu nasihat". Adapun Hadis yang kedua : "Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah menegahnya dengan tangan, sekiranya tidak mampu, tegurlah menggunakan lidah dan jika tidak mampu juga, maka dengan hati dan ia selemah-lemah iman".
6. Kaedah المصلحة المرسلة " dan " للوسائل حكم المقاصد " juga menjadi hujjah selagi tujuan iaitu maslahah yang mahu dicapai diakui oleh Islam serta mendatangkan manfaat kepada rakyat. Antara maslahah yang diperakui mendatangkan padanya manfaat seperti nasihat kepada pemerintah, meneguhkan pendirian umat Islam pada perkara hak dan memperkukuhkan suara rakyat menentang ketidakadilan pemerintah.
Maka cara ini dikira harus seperti hukum tujuannya juga. Dengan cara ini juga, ia dapat menolak kerosakan (مفسدة) dalam sesebuah masyarakat seperti rakyat akan selamanya dilihat lemah dan boleh ditindas sesuka hati oleh pemerintah dan rakyat akan terus diperintah oleh pemerintah yang zalim.
7. Di Malaysia contohnya,terdapat peruntukan undang-undang yang memberikan kebebasan bercakap,berhimpun dan berpesatuan kepada rakyat seperti yang termaktub di dalam Perlembagan Perseketuan Malaysia pada perenggan (a),(b) dan (c) di dalam fasa 1,perkara 10,bahagian 2. Peruntukan ini jelas membenarkan himpunan aman diadakan selagi tidak melanggar syarat yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan. (di sini)
8. Terdapat sesetengah ulamak yang berpendapat HARAM mengadakan demonstrasi dengan beberapa hujjah seperti perbuatan ini tidak pernah dilakukan oleh para sahabat dan ia dikira perkara bida'ah yang ditolak.
Cara ini juga diambil dari Barat dan melakukannya seolah-olah mnyerupai orang bukan islam sebagaimana sabda Nabi S.A.W yang bermaksud : "Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia dari kalangan mereka". Ayat Al-Quran yang mewajibkan taat kepada pemerintah dan kaedah "" سد الزريعة juga menjadi hujjah pendapat ini.
9. Hujjah pendapat ini dijawab oleh ulamak seperti Dr. Sa'aduddin Mus'ad Hilali di dalam kitabnya( الجديد في الفقه السيا سي المعا صر ) bahawa demonstrasi tidak termasuk perkara bida'ah yang ditolak kerana pernah dilakukan dan dipimpin oleh saidina Umar dan saidina Hamzah ketika zaman Rasulullah S.A.W. cara ini juga walaupun dilihat menyerupai perbuatan bukan Islam tidaklah menjadikan ia haram kerana Islam hanya mengharamkan menyerupai bukan Islam pada perkara yang bertentangan dengan sesuatu Nas daripada syara' seperti cara ibadah mereka.
Demonstrasi juga tidak menafikan suruhan mentaati pemerintah disebabkan ia dibenarkan oleh perlembagaan. Maka himpunan tersebut boleh dilakukan selagi mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.
Diriwayat dari Imam Bukhari sesungguhnya Nabi S.A.W bersabda : " المسلمون عند شروطهم".Kewajipan mentaati pemerintah juga hanyalah kepada perkara taat dan bukan maksiat seperti sabda Nabi S.A.W yang bermaksud : "Tidak ada ketaatan pada makhluk pada perbuatan maksiat kepada pencipta".
10. Adapun hujjah "menutup ruang" yang boleh mendatangkan kerosakan seperti kerosakan harta awam, perbalahan dan kerugian peniaga-peniaga dijawab oleh Dr. Yusof al-Qardhawi bahawa kaedah ini tidak harus digunakan sehingga menjadi wasilah untuk melarang usaha mencapai maslahah yang lebih utama dan diakui oleh Islam.
Ini kerana kerosakan yang dijangka berlaku boleh diatasi dengan kawalan pihak keselamatan dan janji dari penganjur untuk tidak melakukan kerosakan dan perbalahan sepanjang himpunan aman. Malah beberapa siri himpunan yang telah lalu membuktikan peniaga-peniaga tidak mengalami kerugian bahkan mendapat keuntungan berlipat kali ganda dari hari-hari biasa.
Wallahu 'alam...
PENA AZHARI | |
P | Pintar |
E | Emosional |
N | Naif |
A | Amanah |
A | Alim |
Z | Zingy |
H | Harum |
A | Abadi |
R | Ramah |
I | Ikhlas |
Apa ada pada nama? |