Rabu, 26 Oktober 2011

MAJLIS PEMBACAAN KUTUB SITTAH SIRI III & MAJLIS APRESIASI & KECEMERLANGAN





MAJLIS PEMBACAAN KUTUB SITTAH SIRI III
Tarikh :29, 30, dan 31 Oktober 2011
Tempat : Nadi Riadhi, Madinah Nasr.

MAJLIS APRESIASI & KECEMERLANGAN
Tarikh : 2 November 2011
Tempat :AL-AZHAR CONFERENCE CENTER [ACC].

http://kutubsittah-pmram.blogspot.com/

Khamis, 29 September 2011

TIADA TAKTIK KOTOR MENCAPAI KEMENANGAN DALAM AJARAN ISLAM


Tindakan negatif dilakukan oleh generasi umat Islam hari ini bagi mencapai sesuatu impian untuk berjaya dalam cita-cita hidupnya, walaupun mungkin matlamat kejayaannya itu menyanggah cara atau teknik apa yang ingin dicapainya, bukanlah satu hal yang dibenarkan dalam Islam. Justeru Islam datang memberi teguran menerusi satu pendekatan yang amat popular dalam Usul Fiqh "matlamat tidak menghalalkan cara". Kerakusan individu tertentu hari ini untuk berjaya sama ada dalam bidang politik, pemiagaan, keusahawanan, korporat dan sebagainya dengan menjatuhkan pihak lain telah menjadi fenomena yang menggusarkan banyak pihak Ini akibat tidak menyandarkan diri mereka dengan elemen keagamaan yang menjadi teras, pelindung daripada gejala yang haram.

"Matlamat tidak menghalalkan cara" adalah satu kaedah yang diperkenalkan oleh ilmuan-ilmuan mazhab sejak beberapa abad lalu, jadi ia bukan perkara yang tersirat, malah telah tersurat dalam lembaran-lembaran kitab agama yang mesti diketahui dan dipelajari oleh segenap individu Muslim. Kegagalan untuk memahami dan beramal dengannya adalah satu kesalahan yang akan dipertanggungjawab pada hari Kiamat.

Maka mana-mana individu Muslim yang tidak bersungguh untuk mendalami serta memahami aspek keagamaan yang wajib ke atasnya, maka dibimbangi termasuk himpunan golongan yang fasik yang akhirnya menghuni neraka Allah. Perkara ini telah ditegaskan Allah menerusi ayat 24 surah At Taubah maksudnya, "Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)".

Pada hari ini ketika ramai individu Muslim tidak berusaha menghubungkan diri dengan ilmu-ilmu agama, maka mereka akan terdedah kepada bahaya yang disebut oleh Baginda menerusi hadisnya yang diriwayatkan oleh At Tabarani daripada Abi Bakrah maksudnya, "Jadilah kamu seorang yang alim, atau yang suka belajar, atau yang suka mendengar (ilmu-ilmu agama), atau menjadi golongan yang cinta kepada tiga golongan di atas, tetapi jangan kamu jadi golongan kelima".

Individu Muslim yang tidak suka duduk dalam majlis ilmu akan sentiasa terbabit dalam kesalahan dan percanggahan ketara terhadap ajaran agama. Sudahlah hidupnya tidak berbakti atau berjasa kepada Islam melalui program dakwah, malah suka pula buat perkara-perkara yang boleh merosakkan gambaran Islam sebenar. Bagaimana boleh memperolehi syafaat Nabi Muhammad S.A.W pada hari kiamat.

Oleh sebab itu, ramai individu terjebak pada perkara matlamat tidak menghalalkan cara. Mungkin kita boleh bincangkan beberapa kategori perkara di atas dalam kesempatan yang terbatas ini.

1. Terlibat dalam rasuah untuk mendapatkan sesuatu projek

Hal ini berlaku dalam masyarakat umat Islam hari ini yang mengambil jalan pintas untuk berjaya dalam hidup, memberi dan menerima rasuah adalah satu perkara biasa pada hari ini, siapa yang beri lebih, maka dia berjaya mendapatkan tender dan sebagainya, ia bukan lagi suatu perkara yang boleh disembunyikan, banyak pihak bercakap mengenainya hatta di kedai-kedai kopi, namun tiada perasaan sensitiviti dalam diri umat Islam kerana jauh daripada nilai agama.

2. Mengekalkan kuasa dengan menipu

Ia biasa berlaku dalam proses pilihan raya dengan mengimport para pengundi hantu untuk memenangkan kawasan individu-individu penting dan pelbagai pendekatan lain yang dikira perlu dan munasabah. Tindakan seumpama itu boleh dianggap sebagai tindakan matlamat tidak menghalalkan cara.

3. Jatuh menjatuh untuk meraih kedudukan tertinggi

Ia juga sudah menjadi perkara biasa hingga dapat diterima dalam masyarakat, bukan sahaja masyarakat bandaran, malah masyarakat yang menghuni kawasan kampung dan pedalaman. Fitnah sudah menjadi darah daging sesetengah individu Muslim, mereka-reka lakonan yang dirakam dalam cakera padat dan disebarkan kepada umum adalah bertujuan untuk mematikan karier seseorang dan menjatuhkannya, malah mengaib serta memalukan orang lain sudah menjadi amalan biasa muslim hari ini.

4. Menipu untuk dapat kerja/ jawatan lebih baik

Ia boleh disifatkan kepada seorang pelajar peringkat universiti, di mana dia melakukan penipuan dalam menjawab soalan peperiksaan dengan meniru jawapan yang terselit dalam bajunya, hingga meraih kejayaan cemerlang dan ditawarkan pekerjaan dengan gaji yang lumayan. Sedangkan matlamamya untuk berjaya tetap diraihnya, tetapi cara untuk berjaya dengan meniru dalam peperiksaan adalah salah, selagi mana dia mendapat pendapatan dengan penipuan, selagi itulah dia makan sumber yang haram. Tidak kurang juga yang menipu agar dinaikkan pangkat oleh majikan, walaupun majikan tidak tahu, akan tetapi perbuataan penipuan itu boleh mengakibatkan rugi di akhirat.

5. Tutup kes dengan membunuh

Terdapat juga individu Muslim yang sanggup melakukan jenayah membunuh musuhnya kerana mahu menutup sesuatu kes, ia juga termasuk tintakan matlamat tidak menghalalkan cara. Apabila pandai berpolitik lebih sedikit, besar kemungkinan dia terlepas daripada hukuman, inilah adat dunia pada hari ini yang kuat terselamat dan lemah teraniaya.

6. Pecah amanah kerana mahu cepat kaya

Terdapat individu Muslim dengan gelaran haji kemudian diamanahkan oleh sesebuah syarikat seperti Tabung Haji, tetapi dia menyalah-gunakan kepercayaan yang telah diberikan ke atasnya dengan melakukan pecah amanah kerana mahu menjadi orang yang paling kaya tetapi dengan cara yang menyanggah matlamat ajaran agama Islam.

7. Ragut untuk jadi senang tetapi menyalahi agama

Berapa ramai di kalangan individu Muslim yang mengambil jalan mudah meragut atau mengambil hak orang lain dengan cara paksa hingga boleh mengakibatkan mangsa mati di tempat kejadian dan sebagainya. Walaupun matlamat peragut untuk senang, tetapi dia telah melakukan satu cara yang diharamkan agama, di akhirat nanti dia akan ditanya di hadapan mahkamah Allah di Padang Mahsyar.

8. Tipu untuk meraih sesuatu habuan dunia

Ia kebanyakannya melibatkan orang kahwin dua atau lebih, mereka sanggup melakukan penipuan dengan alsan tipu dalam perkara ini adalah sunnat, mereka berpegang kepada lagu 'Madu Tiga' iaitu mesti pandai membohong, mesti pandai temberang...kesemua itu berlaku akibat tidak belajar ilmu agama.

9. Membunuh ayah untuk segera mendapatkan harta pusaka

Terdapat anak-anak yang tidak sabar untuk mendapatkan harta pusaka, iaitu anak-anak yang tidak pernah diberikan pendidikan agama, ada di kalangan mereka ini mengupah orang agar melanggar ayahnya agar segera proses pengebumian dijalankan dan pembahagian harta di kalangan anak-anak.

10. Berlakon watak baik dalam filem, tapi sebenarnya tidak begitu

Kebanyakan para artis melakonkan watak baik seperti pendakwah, ustazah dan sebagainya dalam sesebuah filem, bertujuan untuk menyedarkan para penonton, tetapi pada hakikatnya di luar filem terkenal sebagai artis paling seksi, penderhaka kepada ibu bapa kandung, sedangkan tindakan itu tidak disukai Allah SWT seperti yang ditegaskan-Nya menemsi ayat 3 surah As Saf yang bermaksud, "Besar kemarahan Allah terhadap apa yang kamu cakap tetapi tidak dilakukan".

Dan bermacam-macam lagi bentuk pendekatan tentang matiamat tidak menghalalkan cara, apa pun apabila seseorang itu menerima Islam, maka Islam akan membimbingnya ke jalan yang benar dan menyelamatkan pada hari kiamat.

Dalam kesempatan yang terbatas ini, penulis ingin mengakhiri tulisan ini dengan mengajak para pembaca sekalian untuk memerhatikan senikata lagu yang kiranya boleh menyentuh sensitiviti pembaca jika Al-Quran dan Hadis tidak mendapat tempat di hati anda sekalian, iaitu lagu 'Tak Seindah Wajah' yang dinyanyikan oleh Tan Sri SM Salim :

Kusangka aur di pinggir tebing
Kiranya tebu di pinggir bibir
Kusangka jujur pancaran batin
Rupanya palsu penghias zahir

Kukira hatijiwa nurani
Suci seindah wajah terbayang
Kukira puji seikhlas budi
Kulupa lidah tidak bertulang

Di manis gula semut binasa
Kail berduri bersalut umpan
Di manis kata insan terlena
Kerana budi hamba terkorban

Inikah dia lakonan hidup
Di pentas dunia insan berpura
Tipu dan daya pencapai maksud
Budi dan harta merangkung noda

petikan: http://tarbawi.my/

Ahad, 25 September 2011

PENYAKIT DI KALANGAN AKTIVIS GERAKAN ISLAM

Penyakit yang biasa melanda para aktivis adalah ghurur (terpedaya oleh diri sendiri). Penyakit ini berlaku kerana para aktivis merasakan dirinya telah lama dalam kerja-kerja dakwah, usaha-usahanya sentiasa berjaya, jamaah yang disertainya terkenal dan barisan kepimpinannya masyhur serta disanjung oleh masyarakat dengan label professor, doktor dan sebagainya.

Keadaan seperti inilah yang cepat menjadikan mereka berpuas hati dengan sedikit amal dakwah yang mereka lakukan. Mereka cepat berpuas hati dengan sedikit pengorbanan yang mereka lakukan kerana mereka dapat berlindung di belakang sebuah jamaah yang terkenal.

Penyakit lain yang biasa juga melanda para aktivis adalah penyakit cintakan kemasyhuran dan suka menonjolkan kehebatan–kehebatan. Penyakit ini biasa menyerang para aktivis yang terlibat dalam dakwah secara terbuka, seperti memberi ceramah atau menjadi tempat rujukan masyarakat dalam beberapa perkara.

Tanda awal kepada penyakit ini ialah apabila seorang aktivis itu merasa manis dengan kejayaannya dalam menyampaikan ceramah-ceramah di khalayak ramai. Kemudian dia suka bertanya-tanya pendapat beberapa orang temannya yang mendengar ceramahnya tadi berkenaan ceramah yang telah disampaikannya.

Selangkah selepas itu dia merasa kurang bermanfaat atau merugikan masanya jika dia diminta untuk menyampaikan ceramah kepada khalayak yang kecil bilangannya. Selepas tahap tersebut dia mula kagum dengan dirinya sendiri dan merasakan kejayaan jamaah adalah disebabkan oleh kemasyhurannya. Akhirnya ia merasakan bahawa ia boleh bergerak dan berperanan dalam dakwah tanpa berintima’ atau menyertai jamaah Islam. Lantas ia meninggalkan jamaah dan bergerak dengan meninggalkan dasar-dasar amal jama’ie.

Masalah Disiplin Para Aktivis

Di antara perkara yang selalu berlaku ialah tidak patuhnya aktivis-aktivis terhadap keputusan jamaaah. Ini berlaku apabila seseorang aktivis itu melakukan tindakan-tindakan yang menyanggahi peraturan-peraturan jamaah, Perkara ini termasuk juga tindakan seseorang aktivis menyatakan kepada masyarakat umum sesuatu perkara seolah-olah apa yang disampaikannya itu adalah pendirian jamaah. Sedangkan ia berbuat demikian tanpa kebenaran daripada pimpinan jamaah. Dalam hal ini ia bertindak seolah-olah sebagai wakil jamaah kepada masyarakat umum. Sedangkan apa yang dikatakan mungkin bercanggah atau tidak selaras dengan pendirian tanzim yang sebenar.

Masalah Kutlah/ Kelompok Yang Membawa Fitnah Dalam Tanzim

Untuk mencapai kesepakatan atau kebersamaan dalam semua hal adalah satu perkara yang rumit dalam harakah Islamiyyah. Para aktivis hendaklah ditarbiyyah hingga dapat menghayati adab-adab musyawarah dan adab-adab khilaf (berbeza pendapat) dalam sesuatu perkara. Namun demikian, masalah kutlah tetap wujud dan berlaku dalam jamaah Islam.

Masalah yang paling berat berkaitan dengan perbezaan pendapat adalah apabila beberapa aktivis yang tidak berpuas hati dengan sesuatu keputusan jamaah mula mendapatkan pengaruh daripada aktivis-aktivis lain. Bermula daripada itu, mereka mula mewujudkan kelompok atau kutlah yang sentiasa mendesak tanzim untuk menerima pendapat mereka. Tindakan mereka itu akhirnya menjadi fitnah dalam jamaah Islam.

Selalunya jika pendapat-pendapat mereka tidak juga diterima oleh jamaah, mereka memutuskan untuk meninggalkan jamaah dengan membawa bersama mereka ahli-ahli lain. Kemudian mulalah mereka menyerang jamaah yang asal dengan kata-kata dan tuduhan-tuduhan yang keji lagi dusta.

Saidina Umar Al Khattab R.A pernah berkata, "Kembali kepada kebenaran adalah lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan (kesalahan)".

Manakala Imam Fudhail berkata, "Sesungguhnya di antara tanda-tanda munafik ialah, sukakan pujian terhadap perkara yang tidak dimiliki, bencikan celaan terhadap keburukan diri dan marahkan mereka yang menunjukkan kelemahan dirinya".

"Sesungguhnya, antara tanda-tanda munafik ialah, dia merasa gembira apabila mendengar keburukan salah seorang sahabatnya".

Sebenarnya bukanlah satu keaiban/ kehinaan jikalau para aktivis tersalah atau tersilap jalan kerana setiap manusia tidak terlepas dari kesalahan, dan sebaik-baik orang melakukan kesalahan ialah orang yang bertaubat serta kembali kepada kebenaran. Tetapi yang menjadi satu kesilapan dan dosa besar adalah sifat takabbur (sombong) serta berterusan melakukan kesalahan.

Bertaubatlah kepada Allah, kembalilah kepada kebenaran dan jamaah sebelum diri diperdaya oleh fitnah istidraj disebabkan oleh dosa yang dilakukan yang kemudian Allah menambahkan lagi nikmatnya sehingga melupakan mereka daripada istighfar (taubat).

petikan: http://tarbawi.my/

Sabtu, 20 Ogos 2011

Iftor Jamaie bersama [MAPIM]& Forum Kemerdekaan Anak-anak Malaysia di Mesir



Maklumat & Tentatif Program

Hari : Isnin
Tarikh : 22 Ramadhan 1432 H/22 Ogos 2o11
Tempat : Dataran Hayyu 10
Masa : Bermula solat Asar
- Ramah Mesra Bersama Dato' Syeikh Muzaffar
- Majlis berbuka Puasa
- Solat (Maghrib+Isya'+Terawih)
- Forum Kemerdekaan
Panelis:
- Mohd Azmi Abdul Hamid(S/UA [MAPIM])
- Dr Jamnul Azhar Mulkan
- Muhamad Zuhaili Saiman(Presiden [PMRAM] 2011)

* Semua dijemput Hadir

Anjuran Bersama:
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir[PMRAM], Pegawai HEP selangor, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia[MAPIM]


Sabtu, 30 Julai 2011

Puisi Khas Buat Ust Khairi Jalaluddin


U - untung dan mulia manusia pada ad Deen

S - sayu hati bila dunia menyelubungi diri

T - tak pernah endah pada tuntutan ilahi

A - angkuh, bongkak, takbur pakaian diri

Z - zalim dan biadab melaksanakan amanah ilahi


K - kau hadir tanpa undangan

H - harapan menggunung meng-kudakan mahasiswa

A - ayat ANGKUH kau lafazkan Mesir Waa punyaa

I - itulah EGO Atase Pendidikan EM kita

R - rasa bangga mengkhianati bangsa sendiri

I - inzar dan ingat, Allah itu Maha Kuasa


J - jaga-jaga doa orang dizalimi

A - Allah tak pernah mungkir janji-Nya

L -lambat laun tersingkap jua akhirnya

A -Arwah Kak Limah datang menjelma

L -lampiran-lampiran pengkhianatan dibongkar

U -ustaz Khairi mula menyepi, sunyi

D -demi menyelamatkan maruah diri

D -doa dan pergantungan kami hanya pada Allah

I -INGAT!, jangan cabar kami mahasiswa Islam Mesir

N -nantikan, nusrah Allah pasti akan menjelma…

Ahad, 24 Julai 2011

WARKAH TERBUKA BUAT T.Y.T DATO’ DUTA

T.Y.T DATO’ DUTA & ISTERI

Kepada T.Y.T Dato’ Dr. Fakhruddin Abdul Mokti Duta Besar Malaysia Kaherah, semoga sentiasa diberikan petunjuk ke jalan yang diredhaiNya.

T.Y.T Dato’,

1. Awalnya ketika diumumkan kehadiran Dato’ ke Mesir sebagai duta menggantikan Dato’ Zainal Abidin Abdul Kadir, kami para mahasiswa dan mahasiswi berasa amat berbesar hati. Ini kerana berdasarkan perkhidmatan Dato’ yang agak memberansangkan ketika berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) sebelum ini. Harapan kami semoga Dato’ dan isteri, Datin Zaharah Hashim yang seperti ibu dan bapa kami akan menjalinkan kerjasama baik dengan pelajar di sini.

2. Apatah lagi, pada pandangan rakyat Malaysia, Dato’ sebagai golongan akademik tentunya akan mengurangkan pergeseran dengan pelajar di Mesir, berbeza dengan beberapa Duta sebelum ini. Tambahan pula, Dato’ tidak pernah terlibat dengan mana-mana politik kepartian di Malaysia, berbeza dengan mantan Duta, Dato’ Zainal Abidin yang mempunyai latar belakang politik kepartian UMNO, sebagai bekas ADUN BN bagi kawasan Melor dalam Parlimen Peringat merangkap Ketua Pembangkang DUN Kelantan (1995-1999), kemudian bertanding sekali lagi dalam Pilihanraya Umum tahun 1999 tetapi tewas di tangan YB Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh, seterusnya dilantik oleh Dr.Mahathir Mohammad (sekarang Tun) sebagai Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan Malaysia.

3. Akan tetapi kegembiraan kami rupanya tidak lama. Hanya tidak sampai setahun Dato’ dilantik sebagai Duta di sini, Dato’ telah menggunakan kuasa dan pengaruh yang ada untuk menyusahkan pelajar di sini. Dato’ dengan bersusah-payah bertemu dengan Mufti Mesir, Dr.Ali Jum’ah bagi pihak Darul Ifta’ menyingkirkan saudara Mohd Firdaus Mazlan dari meneruskan pengajian yang hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi.

4. Pihak kami ingin bertanya pada pihak Dato’, atas arahan siapa Dato’ bertindak sebegitu kejam? Pihak kami boleh bersetuju jika Dato’ mengambil tindakan agak waras selain meminta dibuang pengajian. Seribu satu lagi tindakan lain yang boleh dibuat jika jawapan Dato’ kepada soalan tadi ialah “Saya diarahkan untuk bertindak” ataupun “saya terpaksa bertindak mengikut arahan”. Antara tindakan yang pasti memberikan kesan mendalam ialah Dato’ boleh menasihati dengan amaran atau berleter berapa jam yang Dato’ mahu kepada mereka yang menyertai perhimpunan BERSIH 9 Julai lalu. Bukankah kegemaran Dato’ ialah bersyarah setiap kali mukadimah memulakan mesyuarat sewaktu Dato’ mengetuai JPMK sebelum ini?

5. Perkara yang amat kami kesalkan ialah kenapa tindakan dan ugutan hanya dibuat terhadap pelajar di Mesir? Bukankah hampir kebanyakan negara yang mempunyai rakyat Malaysia, himpunan BERSIH dibuat? Bahkan di United Kingdom juga berlaku ketika kunjungan YAB Perdana Menteri Malaysia ke negara berkenaan baru-baru ini. Kenapa pihak kedutaan di negara-negara berkenaan tidak membuat tindakan yang sedrastik Dato’? Jika perjuangan Dato’ dan parti kerajaan yang Dato’ terhutang budi dengannya kerana melantik Dato’ bergelar TYT hari ini memperjuangkan kebangsaan Melayu, tidakkah kami semua warga Malaysia di Mesir adalah orang-orang Melayu tulen? Atau Melayu yang jenis manakah yang Dato’ dan parti kerajaan yang Dato’ terhutang budi dengannya yang mahu dibela?

6. Kami seterusnya memperingatkan Dato’ dan pegawai-pegawai Dato’ agar jangan cuba mengheret Syeikh Al-Azhar, Dr.Ahmad Toyyib, Mufti Dr.Ali Juma’h dan ulamak Al-Azhar terjerumus ke kancah politik sempit Dato’. Apa yang Dato’ dan pegawai-pegawai Dato’ sampaikan kepada mereka, itulah yang mereka percayai tambahan pangkat dan jawatan Dato’ mewakili kerajaan, jangan sesekali disalahgunakan untuk kepentingan politik parti kerajaan yang Dato’ terhutang budi dengannya. Dato’ perlu sedar bahawa bahang revolusi Mesir 25 Januari yang dicetuskan rakyat Mesir masih terasa kehangatannya. Dato’ pun memahami sikap dan perangai warga Arab Mesir yang menjatuhkan Mubarak.

7. Kami semua adalah saksi yang melihat dan merasai revolusi tersebut dengan pancaindera kami sehingga tumbangnya sebuah kerajaan Fir’aun moden yang begini hebat. Pelbagai cara yang difikirkan Mubarak bagi memastikan kuasanya bertahan, tetapi kehendak ALLAH mahukan dia jatuh, maka tetap akan jatuh. Itulah yang kami pelajari di universiti tertua di dunia, Al-Azhar Al-Syarif (Semoga ALLAH menambahkan kemuliaan ke atasnya) bahawa tiada satu kuasa pun atau satu kerajaan atas dunia akan kekal sampai kiamat kecuali kuasa dan kerajaan ALLAH.

8. ALLAH pernah memberikan kerajaan kepada Nabi Daud, Nabi Sulaiman dan kepada Nabi kita Muhammad s.a.w. yang memerintah Madinah. ALLAH juga pernah memberikan kerajaan kepada musuh-musuhNya seperti Fir’aun,Haman, Namrud, Abu Lahab serta Abu Sufiyan yang menjadi pembesar Mekah. Tetapi semua itu kini telah tiada. Baik kerajaan yang memerintah itu adil atau zalim, bila sampai ketentuan ALLAH maka akan luputlah kekuasaannya.

9. Sebelum jatuhnya kerajaan UMNO hari ini, kami memohon agar Dato’ kembali ke pangkal jalan. Ini kerana tindakan Dato’ sudah jauh tersasar dari redha ALLAH dan RasulNya s.a.w. Jika Nabi kita Rasulullah s.a.w masih hidup, cuba Dato’ fikirkan adakah Baginda s.a.w akan meredhai perbuatan Dato’ ini? Setidak-tidaknya pun di akhirat kelak, bagaimana perlu Dato’ buat apabila terserempak dengan Baginda s.a.w di Padang Mahsyar nanti?

Adakah Dato’ mahu menangis semahunya apabila Baginda s.a.w menempis tangan Dato’ ketika mana Dato’ memohon syafaat Baginda s.a.w sepertimana Dato’ menempis dan menolak tangan yang menghulurkan memorandum pada Dato’ di Rumah Wilayah Persekutuan tempoh hari? Dalam keadaan dahaga di Mahsyar, Dato’ menuju ke kolam Kauthar, sekali lagi Rasulullah s.a.w memalingkan wajah Baginda s.a.w yang mulia dari melihat wajah Dato’. Apakah jawapan Dato’ apabila Rasulullah s.a.w bertanyakan kenapa seorang penuntut ilmu agama kerana ALLAH diperlakukan sebegini?

10. Kami cadangkan supaya Dato’ menyediakan satu jawapan yang membuatkan Rasulullah s.a.w terpaku mendengarnya, seperti suara lantang Dato’ berucap di dalam mana-mana majlis di dunia ini. Atau Dato’ gunakanlah sijil Phd, Master dan title T.Y.T serta beberapa darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Dato’ untuk dimanfaatkan semaksimum mungkin kelak di hadapan ALLAH bagi melepaskan Dato’ dari kesengsaraan di akhirat kelak. Jika semua itu boleh memberi manfaat maka tiada guna ayat ALLAH dalam Al-Quran Surah As-Syu’ara’ ayat 88:

Yang bermaksud: "Hari Yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun. Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang Yang datang mengadap Allah Dengan hati Yang Selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik)”.

11. Jika Dato’ merasakan tidak dapat menyediakan satu jawapan yang memuaskan hati Baginda Rasulullah s.a.w maka saranan kami takutilah ancaman ALLAH kepada mereka yang memerangi waliNya dalam Hadith Qudsi ALLAH berfirman:

Maksud “Sesiapa yang memerangi waliKu maka Aku izinkan perang terhadapnya.”

12. Belumpun lagi bahang isu pembatalan Kutub Sittah yang diarahkan batal oleh bekas Pengarah JPMK, Dr.Jamil Hashim berakhir, tiba-tiba Dato’ pula cetuskan kemarahan pelajar. Kepada Dr.Jamil Hashim, kami minta Dato’ sampaikan salam kepadanya. Sekalipun dia boleh pulang tanpa melunaskan ‘hutang’ nya memohon maaf kepada pelajar, kami pasti akan tuntut di akhirat kelak. Ketika itu, bukan manusia lagi menjadi hakim tetapi ALLAH. Dia pasti tidak akan menzalimi kerana Dialah sebaik-baik hakim yang memutus.

13. Permintaan kami kepada Dato’ ialah minta maaf secara terbuka kepada pelajar dan bersihkan nama pelajar-pelajar yang Dato’ telah kotorkan di kalangan ulamak Al-Azhar yang menerima maklumat tidak tepat langsung dari Dato’. Teramat mudah tetapi Dato’ perlu mujahadah menekan nafsu dan syaitan yang ada disekeliling Dato’ terlebih dahulu. Ini kerana nilaian harga syurga di sisi ALLAH teramatlah mahal. Tidak memadai hanya solat dan puasa sahaja.

14. Kami tahu Dato’ berasa serba salah sekarang. Mungkin juga Dato’ tidak lena tidur ketika ini. Itulah bahana kezaliman, sedangkan ALLAH sendiri mengharamkan diriNya melakukan kezaliman dan mengharamkannya ke atas hamba-hambaNya.

15. Jika Dato’ tetap meneruskan kedegilan dan ego pada Dato’ kami tiada pilihan lain kecuali meneruskan perjuangan kami ini. Maafkan kami jika berkasar kelak kerana Dato’ lah yang memulakannya dengan memilih jalan untuk berkonfrantasi dengan pelajar.

16. Harapan menggunung kami kepada Dato’ dan isteri Datin Zaharah Hashim hancur luluh kini. Tiada apa yang hendak diharapkan kecuali menanti masa kejatuhan kerajaan UMNO/ BN. Ketika itu, kami akan mencadangkan kepada kerajaan baru Malaysia supaya menukar Dato’ ke jawatan yang lain atau berkhidmat sebagai Duta bagi negara-negara lain yang tidak mempunyai warga Malaysia yang ramai. Pada ketika itu, Dato’ tak perlu terhegeh-hegeh meminta maaf atau berlakon memakai kopiah putih dan mengisi borang keahlian PAS atau PKR kerana takut kehilangan sumber periuk nasi Dato’ kepada kerajaan baru yang pasti bukan namanya UMNO/BN lagi ketika itu.

Semoga ALLAH memberikan petunjuk kepada Dato’ sebelum sampai azabNya.


Selasa, 28 Jun 2011

HIMPUNAN AMAN RAKYAT..WASILAH AMAR MAKRUF NAHI MUNKAR

Gambar Hiasan

Sudah menjadi kebiasaan di dalam sebuah negara maju dan yang mempunyai rakyat berkesedaran tinggi menjadikan himpunan umum atau demonstrasi sebagai cara menyuarakan pendirian mereka. Lebih-lebih lagi berdemonstrasi dibenarkan dalam sebuah negara demokrasi selagi berlangsung dengan aman dan tidak menyebabkan huru-hara dalam negara.


Rakyat Malaysia yang mempunyai kesedaran tinggi tentang keadilan dan hak, mereka juga tidak ketinggalan mengadakan beberapa siri perhimpunan umum untuk menegur golongan pemerintah. Islam juga menyarankan konsep "amar makruf nahi mungkar" hatta kepada pemerintah sekiranya tidak berlaku adil.


Persoalannya, adakah menegur pemerintah dengan cara ini dibenarkan dalam Islam? Atau cara ini ditegah hanya kerana diceduk dari pengamalan masyarakat Barat yang tidak beragama Islam? Persoalan ini harus segera dijawab lebih-lebih lagi ia sudah menjadi amalan masyarakat di kebanyakan negara lebih-lebih lagi di Malaysia.


Pandangan ulamak tentang himpunan aman atau demostrasi.


1. Kebanyakan ulamak muktabar seperti Dr. Yusof Al-Qadhowi (klik), Dr. Ali Jumaah (klik) , Syeikh Abdul Rahman Abdul Khaliq dalam kitabnya ( فصول من السياسة الشرعية ), Syeikh Salman Fahd Audah dan Dr. Sa'aduddin Mus'ad Hilali serta kebanyakan ulamak masa kini berpendapat HARUS mengadakan demostrasi aman lebih-lebih lagi ia dibenarkan oleh perlembagaan sebagai cara untuk rakyat menuntut keadilan dan menyuarakan hak serta pendirian mereka.


Malah gabungan suara rakyat yang ramai lebih didengari dari menyuarakannya bersendirian. Ini berdasarkan Firman Allah bermaksud : "Dan tolong-menolonglah dalam mengerjakan perkara kebaikan dan taqwa, jangan tolong menolong dalam perkara dosa dan permusuhan" (al-Maidah : 2).


Dalam kaedah fiqh juga ada menyatakan : "Asal sesuatu perkara itu harus selagi tidak ada dalil qat'ie dan sorih yang mengharamkannya.


2. Diriwayat dari ibnu Abbas bahawa Sayyidina Umar al-Khattab ketika menjawab soalan ibnu Abbas tentang kenapa dia digelar Al-Faruq oleh Rasulullah S.A.W . Ini kerana disebabkan keberaniannya bersama dengan Sayyidina Hamzah memimpin dua saff muslimin yang turut disertai oleh Nabi S.A.W berjalan beramai-ramai menuju ke Masjidil Haram untuk menzahirkan Islam dan kekuatan muslimin di Mekah. (تاريخ دمشق /حلية الأولياء)


3. Demonstrasi walaupun dilihat berasal dari Barat tetapi intipatinya tidak bercanggah dengan dasar Islam dan erti kemanusiaan. Malah himpunan umum menjadi salah satu syi'ar islam dalam menzahirkan' izzah, kekuatan dan kesatuan umat Islam seperti himpunan ketika solat berjemaah, hari raya dan ketika ibadat haji.


4. Diriwayatkan dari ibnu Abbas, Hadis yang dikeluarkan oleh Syaikhan (Bukhari dan Muslim) bahawa Nabi S.A.W suka menyamai Ahli Kitab pada perkara yang tidak ada perintah tertentu berkenaannya. Malah Rasulullah S.A.W ketika membina parit dalam perang Khandak,membuat cop dan asal kaedah jual beli salam juga mengambil contoh dari orang bukan islam. Sistem Kharaj juga diambil oleh sahabat dari negara Parsi.


5. Demonstrasi bukan bermaksud menentang atau mengangkat senjata menghadapi pemerintah. Ia adalah sebagai salah satu cara untuk menasihati pemerintah dan menegahnya dari terus melakukan mungkar serta ketidakadilan terhadap rakyat.


Ini berdasarkan dua Hadis Rasulullah S.A.W : "Agama itu nasihat". Adapun Hadis yang kedua : "Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah menegahnya dengan tangan, sekiranya tidak mampu, tegurlah menggunakan lidah dan jika tidak mampu juga, maka dengan hati dan ia selemah-lemah iman".


6. Kaedah المصلحة المرسلة " dan " للوسائل حكم المقاصد " juga menjadi hujjah selagi tujuan iaitu maslahah yang mahu dicapai diakui oleh Islam serta mendatangkan manfaat kepada rakyat. Antara maslahah yang diperakui mendatangkan padanya manfaat seperti nasihat kepada pemerintah, meneguhkan pendirian umat Islam pada perkara hak dan memperkukuhkan suara rakyat menentang ketidakadilan pemerintah.


Maka cara ini dikira harus seperti hukum tujuannya juga. Dengan cara ini juga, ia dapat menolak kerosakan (مفسدة) dalam sesebuah masyarakat seperti rakyat akan selamanya dilihat lemah dan boleh ditindas sesuka hati oleh pemerintah dan rakyat akan terus diperintah oleh pemerintah yang zalim.


7. Di Malaysia contohnya,terdapat peruntukan undang-undang yang memberikan kebebasan bercakap,berhimpun dan berpesatuan kepada rakyat seperti yang termaktub di dalam Perlembagan Perseketuan Malaysia pada perenggan (a),(b) dan (c) di dalam fasa 1,perkara 10,bahagian 2. Peruntukan ini jelas membenarkan himpunan aman diadakan selagi tidak melanggar syarat yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan. (di sini)


8. Terdapat sesetengah ulamak yang berpendapat HARAM mengadakan demonstrasi dengan beberapa hujjah seperti perbuatan ini tidak pernah dilakukan oleh para sahabat dan ia dikira perkara bida'ah yang ditolak.


Cara ini juga diambil dari Barat dan melakukannya seolah-olah mnyerupai orang bukan islam sebagaimana sabda Nabi S.A.W yang bermaksud : "Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia dari kalangan mereka". Ayat Al-Quran yang mewajibkan taat kepada pemerintah dan kaedah "" سد الزريعة juga menjadi hujjah pendapat ini.


9. Hujjah pendapat ini dijawab oleh ulamak seperti Dr. Sa'aduddin Mus'ad Hilali di dalam kitabnya( الجديد في الفقه السيا سي المعا صر ) bahawa demonstrasi tidak termasuk perkara bida'ah yang ditolak kerana pernah dilakukan dan dipimpin oleh saidina Umar dan saidina Hamzah ketika zaman Rasulullah S.A.W. cara ini juga walaupun dilihat menyerupai perbuatan bukan Islam tidaklah menjadikan ia haram kerana Islam hanya mengharamkan menyerupai bukan Islam pada perkara yang bertentangan dengan sesuatu Nas daripada syara' seperti cara ibadah mereka.


Demonstrasi juga tidak menafikan suruhan mentaati pemerintah disebabkan ia dibenarkan oleh perlembagaan. Maka himpunan tersebut boleh dilakukan selagi mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.


Diriwayat dari Imam Bukhari sesungguhnya Nabi S.A.W bersabda : " المسلمون عند شروطهم".Kewajipan mentaati pemerintah juga hanyalah kepada perkara taat dan bukan maksiat seperti sabda Nabi S.A.W yang bermaksud : "Tidak ada ketaatan pada makhluk pada perbuatan maksiat kepada pencipta".


10. Adapun hujjah "menutup ruang" yang boleh mendatangkan kerosakan seperti kerosakan harta awam, perbalahan dan kerugian peniaga-peniaga dijawab oleh Dr. Yusof al-Qardhawi bahawa kaedah ini tidak harus digunakan sehingga menjadi wasilah untuk melarang usaha mencapai maslahah yang lebih utama dan diakui oleh Islam.


Ini kerana kerosakan yang dijangka berlaku boleh diatasi dengan kawalan pihak keselamatan dan janji dari penganjur untuk tidak melakukan kerosakan dan perbalahan sepanjang himpunan aman. Malah beberapa siri himpunan yang telah lalu membuktikan peniaga-peniaga tidak mengalami kerugian bahkan mendapat keuntungan berlipat kali ganda dari hari-hari biasa.


Wallahu 'alam...

Sabtu, 25 Jun 2011

KENYATAAN ILMAM TERHADAP KARIKATUR UTUSAN MELAYU


Merujuk karikatur yang dimuat di dalam dada akhbar Utusan bertarikh 15 Jun 2011, ia dilihat sebagai usaha mempersenda agama Islam. Konten karikatur tersebut menggambarkan bahawa Islam tidak sedikit pun membela hak dan maruah manusia. Di dalam surah al-Taubah ayat 65 dan 66, Allah telah mencela golongan yang mempersenda-senda agama Islam:

“Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu) tentulah mereka akan menjawab : sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main sahaja. Katakanlah : Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan rasul-Nya kamu selalu mempersendakan? (65) Tidak perlu kamu beralasan kerana kamu telah kufur setelah beriman. Jika Kami memaafkan segolongan daripada kamu (lantaran mereka bertaubat) nescaya Kami akan mengazab golongan yang lain disebabkan mereka adalah orang-orang yang selalu berbuat dosa”.(66)

Berdasarkan ayat ini, terbit hukum terbatal keIslaman seseorang apabila dia melancarkan sendaan terhadap Islam, samada dengan hati, kata-kata atau perbuatan. Pelaku kesalahan tersebut kekal dengan kekufurannya sehingga taubat nasuhanya diterima oleh Allah SWT.

Bahkan kefahaman pelukis yang bertanggungjawab atas karikatur tersebut dengan agama Islam ternyata amat dangkal. Beliau keliru antara pensabitan jenayah zina dan jenayah rogol. Zina tiada unsur paksaan manakala rogol pula sebaliknya. Islam telah memperuntukkan jenayah rogol dengan cara pensabitan yang cukup berbeza dengan jenayah zina. Rogol tidak memerlukan empat orang saksi yang adil sebagaimana zina. Sebaliknya jenayah rogol hanya memerlukan 'qarinah' untuk sabit kesalahan ke atas pesalah.

Menurut Imam al-Jurjani di dalam ensiklopedianya ‘al-Ta’irifat’, qarinah merupakan bukti jelas yang difikirkan logik bagi membantu siasatan kes. Qarinah mestilah sesuatu sumber maklumat yang diketahui umum yang difikirkan relevan untuk dijadikan bahan bukti. Dengan itu, ia mampu merungkai persoalan tersirat terhadap sesuatu kes. Autoriti qarinah dalam mengadili sesuatu dakwaan telah disebut di dalam al-Quran melalui surah Yusuf ayat 27 dan 28;

“Dan jika baju gamisnya koyak di belakang, maka wanita itulah yang dusta, dan Yusuf termasuk orang-orang yang benar. Maka tatkala suami wanita itu melihat baju gamis Yusuf koyak di belakang berkatalah dia: Sesungguhnya kejadian itu adalah di antara tipu daya kamu, sesungguhnya tipu daya kamu adalah besar”

Nabi Yusuf terbukti tidak bersalah dengan dakwaan rogol apabila didapati terdapat kesan koyak di belakang bajunya. Pada zaman tersebut, ia dianggap qarinah yang cukup jelas menggambarkan situasi antara perogol dan mangsa rogol.

Imam Ibnu Qayyim al-Jauzi di dalam karyanya ‘al-Turuq al-Hukmiyyah Fi al-Siyasah al-Syar’iyyah’ menyebutkan bahawa para sahabat telah menjadikan hamil sebagai qarinah kepada jenayah zina. Bahkan Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad yang mewakili majoriti ulama’ berpendapat bahawa qarinah yang cukup jelas amat berautoriti menjadi pelengkap bagi bahan bukti.

Adapun qarinah bagi kes rogol yang relevan diguna pakai di zaman sekarang, ia termasuk DNA, rakaman video, gambar, cop jari dan sumber-sumber lain mengikut peredaran semasa. Justeru ILMAM MALAYSIA mencadangkan beberapa inisiatif bersama:

1) Pelukis karikatur dan pihak-pihak yang terlibat diminta bertaubat kerana mempersenda hukum agama Islam. Mereka juga perlu memohon maaf kepada seluruh umat Islam. Ini demi memelihara sensitiviti umat Islam tehadap cara hidup anutan mereka.

2) Kajadian ini membuktikan kekeliruan masyarakat Islam Malaysia terhadap agama anutan mereka sendiri. Ahli akademik Islam perlu mengadakan usaha bersepadu ke arah penerangan dan pemahaman terhadap hukum hakam Islam.

Sekian, Wassalam

Ustaz Farhan bin Mazlan
Timbalan Presiden
Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM)

sumber: SerambiAzhari & ILMAM

Sabtu, 18 Jun 2011

Ikhwan Muslimin Lucut Keahlian Abul Futuh


Dr.Mohammad Badi'e (kanan) merasmikan mesyuarat Majlis Syura Ikhwan bersama Setiausaha Agung Ikhwan,Dr.Mahmud Husein (tengah) dan Naib Mursyidul 'Am, Khairat Syatir (kiri).

Majlis Syura 'Am Ikhwan Muslimin pada mesyuarat kali keempat bagi penggal 2011-2014 yang berlangsung hari ini, Sabtu 16 Rejab 1432H bersamaan 18 Jun 2011 bertempat di Pejabat Utama di Muqattam menetapkan untuk melucutkan keahlian bekas anggota Majlis Syuranya, Dr.Abdul Mun'im Abul Futuh.

Pelucutan keahlian beliau ini atas pendirian beliau yang telah mengumumkan untuk bertanding dalam pilihanraya Presiden Mesir, satu tindakan yang melanggari ketetapan Majlis Syura 'Am Ikhwan yang bermesyuarat pada 10 Februari 2011 dan diputuskan sebulat suara pada himpunan Syura yang diadakan pada 29 dan 30 April lalu.

Ikhwan Muslimin dalam mesyuarat Majlis Syura mereka April lalu memutuskan :

* Untuk tidak mencalonkan mana-mana dari kalangan ahli mereka dalam pertandingan Presiden Mesir.

* Untuk tidak akan menyokong mana-mana individu yang mencalonkan diri untuk ke jawatan tersebut.

Pengumuman pelucutan tersebut diumumkan oleh Setiausaha Agung Ikhwan, Dr.Mahmud Husein selepas berakhir mesyuarat yang dipengerusikan oleh Mursyidul 'Am Dr.Mohammad Bad'ie selaku Pengerusi Majlis Syura 'Am Ikhwan Muslimin dengan dihadiri seramai 105 anggota Syura manakala 15 orang lagi tidak hadir termasuk 11 dari mereka yang bermusafir dan sakit. Keputusan Majlis Syura 'Am itu dicapai setelah mendengar penjelasan dari Jawatankuasa Tetap Siasatan dan Pemilihan Ikhwan yang menjalankan siasatan terhadap Abul Futuh.

Dr.Abdul Mun'im

Dr.Abdul Mun'im Abul Futuh Abul Futuh adalah bekas pemimpin kanan Ikhwan Muslimin, bekas anggota Maktab Irsyad, sebuah organisasi tertinggi Ikhwan (bermula 1987 hingga 2009) selain ahli Majlis Syura 'Am Ikhwan. Selepas Revolusi 25 Januari lepas, beliau mengumumkan untuk bertanding dalam pilihanraya Presiden Mesir. Walau bagaimanapun keputusan tersebut bercanggah dengan ketetapan Ikhwan yang hanya mengumumkan untuk bertanding bagi kerusi Parlimen, tidak kerusi Presiden Mesir.

Abul Futuh adalah Setiausaha Agung Kesatuan Doktor-Doktor Arab (bermula Mac 2004 hingga sekarang) adalah graduan Fakulti Perubatan Universiti Kaherah tahun 1976 selain memegang Ijazah Pertama Fakulti Undang-Undang Universiti Kaherah dan Ijazah Kedua (Master) di Fakulti Perniagaan Universiti Helwan. Pernah dipenjarakan pada tahun 1996 selama 5 tahun di bawah rejim Mubarak.

Sumber: Secebis Nota Seorang Perantau