Ahad, 24 Julai 2011

WARKAH TERBUKA BUAT T.Y.T DATO’ DUTA

T.Y.T DATO’ DUTA & ISTERI

Kepada T.Y.T Dato’ Dr. Fakhruddin Abdul Mokti Duta Besar Malaysia Kaherah, semoga sentiasa diberikan petunjuk ke jalan yang diredhaiNya.

T.Y.T Dato’,

1. Awalnya ketika diumumkan kehadiran Dato’ ke Mesir sebagai duta menggantikan Dato’ Zainal Abidin Abdul Kadir, kami para mahasiswa dan mahasiswi berasa amat berbesar hati. Ini kerana berdasarkan perkhidmatan Dato’ yang agak memberansangkan ketika berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) sebelum ini. Harapan kami semoga Dato’ dan isteri, Datin Zaharah Hashim yang seperti ibu dan bapa kami akan menjalinkan kerjasama baik dengan pelajar di sini.

2. Apatah lagi, pada pandangan rakyat Malaysia, Dato’ sebagai golongan akademik tentunya akan mengurangkan pergeseran dengan pelajar di Mesir, berbeza dengan beberapa Duta sebelum ini. Tambahan pula, Dato’ tidak pernah terlibat dengan mana-mana politik kepartian di Malaysia, berbeza dengan mantan Duta, Dato’ Zainal Abidin yang mempunyai latar belakang politik kepartian UMNO, sebagai bekas ADUN BN bagi kawasan Melor dalam Parlimen Peringat merangkap Ketua Pembangkang DUN Kelantan (1995-1999), kemudian bertanding sekali lagi dalam Pilihanraya Umum tahun 1999 tetapi tewas di tangan YB Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh, seterusnya dilantik oleh Dr.Mahathir Mohammad (sekarang Tun) sebagai Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan Malaysia.

3. Akan tetapi kegembiraan kami rupanya tidak lama. Hanya tidak sampai setahun Dato’ dilantik sebagai Duta di sini, Dato’ telah menggunakan kuasa dan pengaruh yang ada untuk menyusahkan pelajar di sini. Dato’ dengan bersusah-payah bertemu dengan Mufti Mesir, Dr.Ali Jum’ah bagi pihak Darul Ifta’ menyingkirkan saudara Mohd Firdaus Mazlan dari meneruskan pengajian yang hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi.

4. Pihak kami ingin bertanya pada pihak Dato’, atas arahan siapa Dato’ bertindak sebegitu kejam? Pihak kami boleh bersetuju jika Dato’ mengambil tindakan agak waras selain meminta dibuang pengajian. Seribu satu lagi tindakan lain yang boleh dibuat jika jawapan Dato’ kepada soalan tadi ialah “Saya diarahkan untuk bertindak” ataupun “saya terpaksa bertindak mengikut arahan”. Antara tindakan yang pasti memberikan kesan mendalam ialah Dato’ boleh menasihati dengan amaran atau berleter berapa jam yang Dato’ mahu kepada mereka yang menyertai perhimpunan BERSIH 9 Julai lalu. Bukankah kegemaran Dato’ ialah bersyarah setiap kali mukadimah memulakan mesyuarat sewaktu Dato’ mengetuai JPMK sebelum ini?

5. Perkara yang amat kami kesalkan ialah kenapa tindakan dan ugutan hanya dibuat terhadap pelajar di Mesir? Bukankah hampir kebanyakan negara yang mempunyai rakyat Malaysia, himpunan BERSIH dibuat? Bahkan di United Kingdom juga berlaku ketika kunjungan YAB Perdana Menteri Malaysia ke negara berkenaan baru-baru ini. Kenapa pihak kedutaan di negara-negara berkenaan tidak membuat tindakan yang sedrastik Dato’? Jika perjuangan Dato’ dan parti kerajaan yang Dato’ terhutang budi dengannya kerana melantik Dato’ bergelar TYT hari ini memperjuangkan kebangsaan Melayu, tidakkah kami semua warga Malaysia di Mesir adalah orang-orang Melayu tulen? Atau Melayu yang jenis manakah yang Dato’ dan parti kerajaan yang Dato’ terhutang budi dengannya yang mahu dibela?

6. Kami seterusnya memperingatkan Dato’ dan pegawai-pegawai Dato’ agar jangan cuba mengheret Syeikh Al-Azhar, Dr.Ahmad Toyyib, Mufti Dr.Ali Juma’h dan ulamak Al-Azhar terjerumus ke kancah politik sempit Dato’. Apa yang Dato’ dan pegawai-pegawai Dato’ sampaikan kepada mereka, itulah yang mereka percayai tambahan pangkat dan jawatan Dato’ mewakili kerajaan, jangan sesekali disalahgunakan untuk kepentingan politik parti kerajaan yang Dato’ terhutang budi dengannya. Dato’ perlu sedar bahawa bahang revolusi Mesir 25 Januari yang dicetuskan rakyat Mesir masih terasa kehangatannya. Dato’ pun memahami sikap dan perangai warga Arab Mesir yang menjatuhkan Mubarak.

7. Kami semua adalah saksi yang melihat dan merasai revolusi tersebut dengan pancaindera kami sehingga tumbangnya sebuah kerajaan Fir’aun moden yang begini hebat. Pelbagai cara yang difikirkan Mubarak bagi memastikan kuasanya bertahan, tetapi kehendak ALLAH mahukan dia jatuh, maka tetap akan jatuh. Itulah yang kami pelajari di universiti tertua di dunia, Al-Azhar Al-Syarif (Semoga ALLAH menambahkan kemuliaan ke atasnya) bahawa tiada satu kuasa pun atau satu kerajaan atas dunia akan kekal sampai kiamat kecuali kuasa dan kerajaan ALLAH.

8. ALLAH pernah memberikan kerajaan kepada Nabi Daud, Nabi Sulaiman dan kepada Nabi kita Muhammad s.a.w. yang memerintah Madinah. ALLAH juga pernah memberikan kerajaan kepada musuh-musuhNya seperti Fir’aun,Haman, Namrud, Abu Lahab serta Abu Sufiyan yang menjadi pembesar Mekah. Tetapi semua itu kini telah tiada. Baik kerajaan yang memerintah itu adil atau zalim, bila sampai ketentuan ALLAH maka akan luputlah kekuasaannya.

9. Sebelum jatuhnya kerajaan UMNO hari ini, kami memohon agar Dato’ kembali ke pangkal jalan. Ini kerana tindakan Dato’ sudah jauh tersasar dari redha ALLAH dan RasulNya s.a.w. Jika Nabi kita Rasulullah s.a.w masih hidup, cuba Dato’ fikirkan adakah Baginda s.a.w akan meredhai perbuatan Dato’ ini? Setidak-tidaknya pun di akhirat kelak, bagaimana perlu Dato’ buat apabila terserempak dengan Baginda s.a.w di Padang Mahsyar nanti?

Adakah Dato’ mahu menangis semahunya apabila Baginda s.a.w menempis tangan Dato’ ketika mana Dato’ memohon syafaat Baginda s.a.w sepertimana Dato’ menempis dan menolak tangan yang menghulurkan memorandum pada Dato’ di Rumah Wilayah Persekutuan tempoh hari? Dalam keadaan dahaga di Mahsyar, Dato’ menuju ke kolam Kauthar, sekali lagi Rasulullah s.a.w memalingkan wajah Baginda s.a.w yang mulia dari melihat wajah Dato’. Apakah jawapan Dato’ apabila Rasulullah s.a.w bertanyakan kenapa seorang penuntut ilmu agama kerana ALLAH diperlakukan sebegini?

10. Kami cadangkan supaya Dato’ menyediakan satu jawapan yang membuatkan Rasulullah s.a.w terpaku mendengarnya, seperti suara lantang Dato’ berucap di dalam mana-mana majlis di dunia ini. Atau Dato’ gunakanlah sijil Phd, Master dan title T.Y.T serta beberapa darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Dato’ untuk dimanfaatkan semaksimum mungkin kelak di hadapan ALLAH bagi melepaskan Dato’ dari kesengsaraan di akhirat kelak. Jika semua itu boleh memberi manfaat maka tiada guna ayat ALLAH dalam Al-Quran Surah As-Syu’ara’ ayat 88:

Yang bermaksud: "Hari Yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun. Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang Yang datang mengadap Allah Dengan hati Yang Selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik)”.

11. Jika Dato’ merasakan tidak dapat menyediakan satu jawapan yang memuaskan hati Baginda Rasulullah s.a.w maka saranan kami takutilah ancaman ALLAH kepada mereka yang memerangi waliNya dalam Hadith Qudsi ALLAH berfirman:

Maksud “Sesiapa yang memerangi waliKu maka Aku izinkan perang terhadapnya.”

12. Belumpun lagi bahang isu pembatalan Kutub Sittah yang diarahkan batal oleh bekas Pengarah JPMK, Dr.Jamil Hashim berakhir, tiba-tiba Dato’ pula cetuskan kemarahan pelajar. Kepada Dr.Jamil Hashim, kami minta Dato’ sampaikan salam kepadanya. Sekalipun dia boleh pulang tanpa melunaskan ‘hutang’ nya memohon maaf kepada pelajar, kami pasti akan tuntut di akhirat kelak. Ketika itu, bukan manusia lagi menjadi hakim tetapi ALLAH. Dia pasti tidak akan menzalimi kerana Dialah sebaik-baik hakim yang memutus.

13. Permintaan kami kepada Dato’ ialah minta maaf secara terbuka kepada pelajar dan bersihkan nama pelajar-pelajar yang Dato’ telah kotorkan di kalangan ulamak Al-Azhar yang menerima maklumat tidak tepat langsung dari Dato’. Teramat mudah tetapi Dato’ perlu mujahadah menekan nafsu dan syaitan yang ada disekeliling Dato’ terlebih dahulu. Ini kerana nilaian harga syurga di sisi ALLAH teramatlah mahal. Tidak memadai hanya solat dan puasa sahaja.

14. Kami tahu Dato’ berasa serba salah sekarang. Mungkin juga Dato’ tidak lena tidur ketika ini. Itulah bahana kezaliman, sedangkan ALLAH sendiri mengharamkan diriNya melakukan kezaliman dan mengharamkannya ke atas hamba-hambaNya.

15. Jika Dato’ tetap meneruskan kedegilan dan ego pada Dato’ kami tiada pilihan lain kecuali meneruskan perjuangan kami ini. Maafkan kami jika berkasar kelak kerana Dato’ lah yang memulakannya dengan memilih jalan untuk berkonfrantasi dengan pelajar.

16. Harapan menggunung kami kepada Dato’ dan isteri Datin Zaharah Hashim hancur luluh kini. Tiada apa yang hendak diharapkan kecuali menanti masa kejatuhan kerajaan UMNO/ BN. Ketika itu, kami akan mencadangkan kepada kerajaan baru Malaysia supaya menukar Dato’ ke jawatan yang lain atau berkhidmat sebagai Duta bagi negara-negara lain yang tidak mempunyai warga Malaysia yang ramai. Pada ketika itu, Dato’ tak perlu terhegeh-hegeh meminta maaf atau berlakon memakai kopiah putih dan mengisi borang keahlian PAS atau PKR kerana takut kehilangan sumber periuk nasi Dato’ kepada kerajaan baru yang pasti bukan namanya UMNO/BN lagi ketika itu.

Semoga ALLAH memberikan petunjuk kepada Dato’ sebelum sampai azabNya.


3 ulasan:

  1. mai kito pakat terus berjuang atas nama keadilan (bkn parti) dan hak kita!!!

    BalasPadam
  2. very well written. meremang bulu roma baca.

    BalasPadam
  3. HANYA JIWA YANG MATI SAHAJA YG XKAN FAHAM

    BalasPadam