Selasa, 28 Jun 2011

HIMPUNAN AMAN RAKYAT..WASILAH AMAR MAKRUF NAHI MUNKAR

Gambar Hiasan

Sudah menjadi kebiasaan di dalam sebuah negara maju dan yang mempunyai rakyat berkesedaran tinggi menjadikan himpunan umum atau demonstrasi sebagai cara menyuarakan pendirian mereka. Lebih-lebih lagi berdemonstrasi dibenarkan dalam sebuah negara demokrasi selagi berlangsung dengan aman dan tidak menyebabkan huru-hara dalam negara.


Rakyat Malaysia yang mempunyai kesedaran tinggi tentang keadilan dan hak, mereka juga tidak ketinggalan mengadakan beberapa siri perhimpunan umum untuk menegur golongan pemerintah. Islam juga menyarankan konsep "amar makruf nahi mungkar" hatta kepada pemerintah sekiranya tidak berlaku adil.


Persoalannya, adakah menegur pemerintah dengan cara ini dibenarkan dalam Islam? Atau cara ini ditegah hanya kerana diceduk dari pengamalan masyarakat Barat yang tidak beragama Islam? Persoalan ini harus segera dijawab lebih-lebih lagi ia sudah menjadi amalan masyarakat di kebanyakan negara lebih-lebih lagi di Malaysia.


Pandangan ulamak tentang himpunan aman atau demostrasi.


1. Kebanyakan ulamak muktabar seperti Dr. Yusof Al-Qadhowi (klik), Dr. Ali Jumaah (klik) , Syeikh Abdul Rahman Abdul Khaliq dalam kitabnya ( فصول من السياسة الشرعية ), Syeikh Salman Fahd Audah dan Dr. Sa'aduddin Mus'ad Hilali serta kebanyakan ulamak masa kini berpendapat HARUS mengadakan demostrasi aman lebih-lebih lagi ia dibenarkan oleh perlembagaan sebagai cara untuk rakyat menuntut keadilan dan menyuarakan hak serta pendirian mereka.


Malah gabungan suara rakyat yang ramai lebih didengari dari menyuarakannya bersendirian. Ini berdasarkan Firman Allah bermaksud : "Dan tolong-menolonglah dalam mengerjakan perkara kebaikan dan taqwa, jangan tolong menolong dalam perkara dosa dan permusuhan" (al-Maidah : 2).


Dalam kaedah fiqh juga ada menyatakan : "Asal sesuatu perkara itu harus selagi tidak ada dalil qat'ie dan sorih yang mengharamkannya.


2. Diriwayat dari ibnu Abbas bahawa Sayyidina Umar al-Khattab ketika menjawab soalan ibnu Abbas tentang kenapa dia digelar Al-Faruq oleh Rasulullah S.A.W . Ini kerana disebabkan keberaniannya bersama dengan Sayyidina Hamzah memimpin dua saff muslimin yang turut disertai oleh Nabi S.A.W berjalan beramai-ramai menuju ke Masjidil Haram untuk menzahirkan Islam dan kekuatan muslimin di Mekah. (تاريخ دمشق /حلية الأولياء)


3. Demonstrasi walaupun dilihat berasal dari Barat tetapi intipatinya tidak bercanggah dengan dasar Islam dan erti kemanusiaan. Malah himpunan umum menjadi salah satu syi'ar islam dalam menzahirkan' izzah, kekuatan dan kesatuan umat Islam seperti himpunan ketika solat berjemaah, hari raya dan ketika ibadat haji.


4. Diriwayatkan dari ibnu Abbas, Hadis yang dikeluarkan oleh Syaikhan (Bukhari dan Muslim) bahawa Nabi S.A.W suka menyamai Ahli Kitab pada perkara yang tidak ada perintah tertentu berkenaannya. Malah Rasulullah S.A.W ketika membina parit dalam perang Khandak,membuat cop dan asal kaedah jual beli salam juga mengambil contoh dari orang bukan islam. Sistem Kharaj juga diambil oleh sahabat dari negara Parsi.


5. Demonstrasi bukan bermaksud menentang atau mengangkat senjata menghadapi pemerintah. Ia adalah sebagai salah satu cara untuk menasihati pemerintah dan menegahnya dari terus melakukan mungkar serta ketidakadilan terhadap rakyat.


Ini berdasarkan dua Hadis Rasulullah S.A.W : "Agama itu nasihat". Adapun Hadis yang kedua : "Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah menegahnya dengan tangan, sekiranya tidak mampu, tegurlah menggunakan lidah dan jika tidak mampu juga, maka dengan hati dan ia selemah-lemah iman".


6. Kaedah المصلحة المرسلة " dan " للوسائل حكم المقاصد " juga menjadi hujjah selagi tujuan iaitu maslahah yang mahu dicapai diakui oleh Islam serta mendatangkan manfaat kepada rakyat. Antara maslahah yang diperakui mendatangkan padanya manfaat seperti nasihat kepada pemerintah, meneguhkan pendirian umat Islam pada perkara hak dan memperkukuhkan suara rakyat menentang ketidakadilan pemerintah.


Maka cara ini dikira harus seperti hukum tujuannya juga. Dengan cara ini juga, ia dapat menolak kerosakan (مفسدة) dalam sesebuah masyarakat seperti rakyat akan selamanya dilihat lemah dan boleh ditindas sesuka hati oleh pemerintah dan rakyat akan terus diperintah oleh pemerintah yang zalim.


7. Di Malaysia contohnya,terdapat peruntukan undang-undang yang memberikan kebebasan bercakap,berhimpun dan berpesatuan kepada rakyat seperti yang termaktub di dalam Perlembagan Perseketuan Malaysia pada perenggan (a),(b) dan (c) di dalam fasa 1,perkara 10,bahagian 2. Peruntukan ini jelas membenarkan himpunan aman diadakan selagi tidak melanggar syarat yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan. (di sini)


8. Terdapat sesetengah ulamak yang berpendapat HARAM mengadakan demonstrasi dengan beberapa hujjah seperti perbuatan ini tidak pernah dilakukan oleh para sahabat dan ia dikira perkara bida'ah yang ditolak.


Cara ini juga diambil dari Barat dan melakukannya seolah-olah mnyerupai orang bukan islam sebagaimana sabda Nabi S.A.W yang bermaksud : "Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia dari kalangan mereka". Ayat Al-Quran yang mewajibkan taat kepada pemerintah dan kaedah "" سد الزريعة juga menjadi hujjah pendapat ini.


9. Hujjah pendapat ini dijawab oleh ulamak seperti Dr. Sa'aduddin Mus'ad Hilali di dalam kitabnya( الجديد في الفقه السيا سي المعا صر ) bahawa demonstrasi tidak termasuk perkara bida'ah yang ditolak kerana pernah dilakukan dan dipimpin oleh saidina Umar dan saidina Hamzah ketika zaman Rasulullah S.A.W. cara ini juga walaupun dilihat menyerupai perbuatan bukan Islam tidaklah menjadikan ia haram kerana Islam hanya mengharamkan menyerupai bukan Islam pada perkara yang bertentangan dengan sesuatu Nas daripada syara' seperti cara ibadah mereka.


Demonstrasi juga tidak menafikan suruhan mentaati pemerintah disebabkan ia dibenarkan oleh perlembagaan. Maka himpunan tersebut boleh dilakukan selagi mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.


Diriwayat dari Imam Bukhari sesungguhnya Nabi S.A.W bersabda : " المسلمون عند شروطهم".Kewajipan mentaati pemerintah juga hanyalah kepada perkara taat dan bukan maksiat seperti sabda Nabi S.A.W yang bermaksud : "Tidak ada ketaatan pada makhluk pada perbuatan maksiat kepada pencipta".


10. Adapun hujjah "menutup ruang" yang boleh mendatangkan kerosakan seperti kerosakan harta awam, perbalahan dan kerugian peniaga-peniaga dijawab oleh Dr. Yusof al-Qardhawi bahawa kaedah ini tidak harus digunakan sehingga menjadi wasilah untuk melarang usaha mencapai maslahah yang lebih utama dan diakui oleh Islam.


Ini kerana kerosakan yang dijangka berlaku boleh diatasi dengan kawalan pihak keselamatan dan janji dari penganjur untuk tidak melakukan kerosakan dan perbalahan sepanjang himpunan aman. Malah beberapa siri himpunan yang telah lalu membuktikan peniaga-peniaga tidak mengalami kerugian bahkan mendapat keuntungan berlipat kali ganda dari hari-hari biasa.


Wallahu 'alam...

Sabtu, 25 Jun 2011

KENYATAAN ILMAM TERHADAP KARIKATUR UTUSAN MELAYU


Merujuk karikatur yang dimuat di dalam dada akhbar Utusan bertarikh 15 Jun 2011, ia dilihat sebagai usaha mempersenda agama Islam. Konten karikatur tersebut menggambarkan bahawa Islam tidak sedikit pun membela hak dan maruah manusia. Di dalam surah al-Taubah ayat 65 dan 66, Allah telah mencela golongan yang mempersenda-senda agama Islam:

“Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu) tentulah mereka akan menjawab : sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main sahaja. Katakanlah : Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan rasul-Nya kamu selalu mempersendakan? (65) Tidak perlu kamu beralasan kerana kamu telah kufur setelah beriman. Jika Kami memaafkan segolongan daripada kamu (lantaran mereka bertaubat) nescaya Kami akan mengazab golongan yang lain disebabkan mereka adalah orang-orang yang selalu berbuat dosa”.(66)

Berdasarkan ayat ini, terbit hukum terbatal keIslaman seseorang apabila dia melancarkan sendaan terhadap Islam, samada dengan hati, kata-kata atau perbuatan. Pelaku kesalahan tersebut kekal dengan kekufurannya sehingga taubat nasuhanya diterima oleh Allah SWT.

Bahkan kefahaman pelukis yang bertanggungjawab atas karikatur tersebut dengan agama Islam ternyata amat dangkal. Beliau keliru antara pensabitan jenayah zina dan jenayah rogol. Zina tiada unsur paksaan manakala rogol pula sebaliknya. Islam telah memperuntukkan jenayah rogol dengan cara pensabitan yang cukup berbeza dengan jenayah zina. Rogol tidak memerlukan empat orang saksi yang adil sebagaimana zina. Sebaliknya jenayah rogol hanya memerlukan 'qarinah' untuk sabit kesalahan ke atas pesalah.

Menurut Imam al-Jurjani di dalam ensiklopedianya ‘al-Ta’irifat’, qarinah merupakan bukti jelas yang difikirkan logik bagi membantu siasatan kes. Qarinah mestilah sesuatu sumber maklumat yang diketahui umum yang difikirkan relevan untuk dijadikan bahan bukti. Dengan itu, ia mampu merungkai persoalan tersirat terhadap sesuatu kes. Autoriti qarinah dalam mengadili sesuatu dakwaan telah disebut di dalam al-Quran melalui surah Yusuf ayat 27 dan 28;

“Dan jika baju gamisnya koyak di belakang, maka wanita itulah yang dusta, dan Yusuf termasuk orang-orang yang benar. Maka tatkala suami wanita itu melihat baju gamis Yusuf koyak di belakang berkatalah dia: Sesungguhnya kejadian itu adalah di antara tipu daya kamu, sesungguhnya tipu daya kamu adalah besar”

Nabi Yusuf terbukti tidak bersalah dengan dakwaan rogol apabila didapati terdapat kesan koyak di belakang bajunya. Pada zaman tersebut, ia dianggap qarinah yang cukup jelas menggambarkan situasi antara perogol dan mangsa rogol.

Imam Ibnu Qayyim al-Jauzi di dalam karyanya ‘al-Turuq al-Hukmiyyah Fi al-Siyasah al-Syar’iyyah’ menyebutkan bahawa para sahabat telah menjadikan hamil sebagai qarinah kepada jenayah zina. Bahkan Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad yang mewakili majoriti ulama’ berpendapat bahawa qarinah yang cukup jelas amat berautoriti menjadi pelengkap bagi bahan bukti.

Adapun qarinah bagi kes rogol yang relevan diguna pakai di zaman sekarang, ia termasuk DNA, rakaman video, gambar, cop jari dan sumber-sumber lain mengikut peredaran semasa. Justeru ILMAM MALAYSIA mencadangkan beberapa inisiatif bersama:

1) Pelukis karikatur dan pihak-pihak yang terlibat diminta bertaubat kerana mempersenda hukum agama Islam. Mereka juga perlu memohon maaf kepada seluruh umat Islam. Ini demi memelihara sensitiviti umat Islam tehadap cara hidup anutan mereka.

2) Kajadian ini membuktikan kekeliruan masyarakat Islam Malaysia terhadap agama anutan mereka sendiri. Ahli akademik Islam perlu mengadakan usaha bersepadu ke arah penerangan dan pemahaman terhadap hukum hakam Islam.

Sekian, Wassalam

Ustaz Farhan bin Mazlan
Timbalan Presiden
Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM)

sumber: SerambiAzhari & ILMAM

Sabtu, 18 Jun 2011

Ikhwan Muslimin Lucut Keahlian Abul Futuh


Dr.Mohammad Badi'e (kanan) merasmikan mesyuarat Majlis Syura Ikhwan bersama Setiausaha Agung Ikhwan,Dr.Mahmud Husein (tengah) dan Naib Mursyidul 'Am, Khairat Syatir (kiri).

Majlis Syura 'Am Ikhwan Muslimin pada mesyuarat kali keempat bagi penggal 2011-2014 yang berlangsung hari ini, Sabtu 16 Rejab 1432H bersamaan 18 Jun 2011 bertempat di Pejabat Utama di Muqattam menetapkan untuk melucutkan keahlian bekas anggota Majlis Syuranya, Dr.Abdul Mun'im Abul Futuh.

Pelucutan keahlian beliau ini atas pendirian beliau yang telah mengumumkan untuk bertanding dalam pilihanraya Presiden Mesir, satu tindakan yang melanggari ketetapan Majlis Syura 'Am Ikhwan yang bermesyuarat pada 10 Februari 2011 dan diputuskan sebulat suara pada himpunan Syura yang diadakan pada 29 dan 30 April lalu.

Ikhwan Muslimin dalam mesyuarat Majlis Syura mereka April lalu memutuskan :

* Untuk tidak mencalonkan mana-mana dari kalangan ahli mereka dalam pertandingan Presiden Mesir.

* Untuk tidak akan menyokong mana-mana individu yang mencalonkan diri untuk ke jawatan tersebut.

Pengumuman pelucutan tersebut diumumkan oleh Setiausaha Agung Ikhwan, Dr.Mahmud Husein selepas berakhir mesyuarat yang dipengerusikan oleh Mursyidul 'Am Dr.Mohammad Bad'ie selaku Pengerusi Majlis Syura 'Am Ikhwan Muslimin dengan dihadiri seramai 105 anggota Syura manakala 15 orang lagi tidak hadir termasuk 11 dari mereka yang bermusafir dan sakit. Keputusan Majlis Syura 'Am itu dicapai setelah mendengar penjelasan dari Jawatankuasa Tetap Siasatan dan Pemilihan Ikhwan yang menjalankan siasatan terhadap Abul Futuh.

Dr.Abdul Mun'im

Dr.Abdul Mun'im Abul Futuh Abul Futuh adalah bekas pemimpin kanan Ikhwan Muslimin, bekas anggota Maktab Irsyad, sebuah organisasi tertinggi Ikhwan (bermula 1987 hingga 2009) selain ahli Majlis Syura 'Am Ikhwan. Selepas Revolusi 25 Januari lepas, beliau mengumumkan untuk bertanding dalam pilihanraya Presiden Mesir. Walau bagaimanapun keputusan tersebut bercanggah dengan ketetapan Ikhwan yang hanya mengumumkan untuk bertanding bagi kerusi Parlimen, tidak kerusi Presiden Mesir.

Abul Futuh adalah Setiausaha Agung Kesatuan Doktor-Doktor Arab (bermula Mac 2004 hingga sekarang) adalah graduan Fakulti Perubatan Universiti Kaherah tahun 1976 selain memegang Ijazah Pertama Fakulti Undang-Undang Universiti Kaherah dan Ijazah Kedua (Master) di Fakulti Perniagaan Universiti Helwan. Pernah dipenjarakan pada tahun 1996 selama 5 tahun di bawah rejim Mubarak.

Sumber: Secebis Nota Seorang Perantau

Selasa, 7 Jun 2011

SYURA ASAS POLITIK


1. Politik perlu berdiri di atas syura (mesyuarat) kerana kepemimpinan politik bukan bererti Kaisar atau Kisra, jauh sekali berasaskan monarki (keturunan) yang telah menyempitkan ruang politik hanya untuk satu keluarga sahaja atau keturunannya. Politik bukan seperti harta atau rumah yang boleh diwarisi daripada satu generasi ke generasi seterusnya walaupun tidak memiliki kebijaksanaan akal dan ketinggian akhlak.


2. Kebijaksanaan dan kebaikan itu tidak boleh diwarisi. Walaupun seorang ayah soleh tetapi tidak mustahil anaknya rosak. Firman Allah SWT tentang nabi Ibrahim dan nabi Ishaq di dalam surah al-Soffaat ayat 113 bermaksud:
Dan Kami beri dia khabar gembira dengan (kelahiran) Ishaq seorang nabi yang termasuk orang-orang yang saleh. Kami limpahkan keberkatan atasnya dan atas Ishaq. Dan di antara anak cucunya ada yang berbuat baik dan ada (pula) yang zalim terhadap dirinya sendiri dengan nyata.
           
3. Al-Qur’an sangat menitikberatkan prinsip syura sehingga terdapat salah satu surah di dalamnya yang dinamakan dengan surah al-Syura. Di dalamnya, menerangkan tentang sifat-sifat orang mukmin, menjadikan kehidupan mereka di atas dasar syura, bahkan mereka disuruh untuk melakukan syura dalam seluruh urusan hidup mereka. Firman Allah SWT di dalam surah ini ayat 38:
Dan (bagi) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan solat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah di antara mereka; dan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang kami berikan kepada mereka.


4. Manusia yang paling banyak melakukan syura adalah Rasulullah SAW sendiri. Walaupun diperteguhkan dengan wahyu, tetapi nabi SAW menunjukkan kepada kita contoh yang perlu kita ikuti. Ia boleh kita lihat dengan nyata sebanyak tiga kali dalam peristiwa Badar al-Kubra tahun kedua Hijrah, iaitu dua kali sebelum berlaku peperangan dan sekali selepas tamat peperangan ketika ingin memutuskan tentang tawanan perang. Begitu juga boleh kita lihat dalam peperangan Uhud dan banyak lagi peristiwa lain yang wahyu tidak turun padanya. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah katanya:
Aku tidak pernah melihat seseorang yang paling banyak mesyuaratnya dengan sahabat-sahabatnya selain Rasulullah SAW. (Riwayat Tirmizi)


5. Jika nabi SAW pun banyak melakukan syura, maka kita lebih lagi dituntut untuk melakukannya. Sebab itu kita melihat para sahabat melaksanakan tuntutan ini sejurus selepas kewafatan nabi SAW, ketika ingin melantik khalifah (pengganti) nabi SAW yang berfungsi sebagai penjaga agama dan mentadbir dunia dengan agama. Peristiwa Saqifah Bani Sa’idah menjadi bukti kukuh dalam hal ini. Ibn Hajar al-Asqolani dalam Fathu al-Bari menyatakan bahawa kesemua Khulafa’ al-Rashidin telah melaksanakan prinsip ini sama ada ketika dicalonkan atau selepas dilantik menjadi khalifah. Inilah yang menjadi penanda aras dan syiar kepimpinan mereka. Abu al-A’la al-Maududi menyatakan:
Ummah telah menamakan kepimpinan mereka dengan Khilafah al-Rashidah.
 (al-Maududi, al-Khilafah wa al-Mulk, Dar al-Qayim, Kuwait, hlmn 49)  


6. Melantik ketua negara pada hari ini tidak boleh lari dari prinsip ini. Cuma pendekatannya berbeza kerana suasana yang sudah berbeza. Ramai yang inginkan agar dikembalikan kaedah perlantikan khalifah Abu Bakar di Saqifah Bani Sa’idah ketika melantik Perdana Menteri atau Presiden pada hari ini, sambil menyatakan kaedah pilihanraya yang sedia ada pada hari ini tidak syar’ie. Perlu difahami bahawa syura yang disebut dalam bahasa Melayu sebagai mesyuarat maksudnya ialah memberi dan menerima pandangan untuk mendapatkan keputusan bersama. Ibn al-‘Arabi al-Andalusi (543H) menyatakan bahawa syura adalah:
Berhimpun dalam satu perkara untuk meminta padangan setiap mereka dan mengeluarkan apa yang ada padanya. (Ibn al-‘Arabi, Ahkam al-Qur’an)


7. Apabila syura itu ialah menyatakan pandangan masing-masing, maka kaedah mengundi untuk memilih seorang pemimpin pada hari ini masih menepati ruh syura yang sebenar. Kerana setiap kita akan menterjemahkan pandangan masing-masing di atas kertas undi. Di samping itu menghimpunkan jumlah penduduk yang sangat ramai pada hari ini menjadi masyaqqah (susah), terutamanya di tempat dan masa yang sama. Jika dibiarkan pula masing-masing bercakap dan bersuara menyatakan pandangannya, yang mungkin menjadi kekecohan maka ia sudah lari daripada tujuan asal.


Maqasid (tujuan) syura adalah untuk mengambil keputusan bersama selepas mengeluarkan pandangan. Boleh sahaja kita melakukan syura menggunakan video confrence dan sebarang perbincangan dalam talian, asalkan objektif syura tercapai. Kaedah menyebut al-masyaqqah tajlibu al-taisir (kesusahan mengundang kemudahan).


8. Apa yang penting adalah menerima keputusan syura. Ia adalah keputusan ramai yang mesti dilaksanakan, walaupun mungkin ia bercanggah dengan pandangan peribadi kita. Inilah akhlak dalam syura. Nabi SAW adalah sebaik-baik qudwah ketika keputusan berperang di luar Kota Madinah dicapai dalam peperangan Uhud pada tahun ketiga Hijrah, walaupun pandangan nabi SAW berlainan iaitu bertahan dalam Kota Madinah. Namun selepas ia menjadi keputusan bersama, maka nabi SAW melaksanakannya. Diriwayatkan bahawa para sahabat ingin menarik balik cadangan mereka lalu menyerahkan sahaja kepada nabi SAW, maka nabi SAW menjawab dengan tegas:
Tidak patut bagi seorang nabi apabila memakai baju besi untuk umatnya (pergi berperang) akan menanggalkannya sehinggalah datang ketentuan Allah SWT. (Riwayat al-Baihaqi)


9. Tamat peperangan Uhud yang berpihak kepada Musyrikin Quraisy, kita tidak berjumpa dengan satu riwayat pun sebarang ‘komplen’ dan ejekan daripada kumpulan yang pandangannya tidak diterima ketika berbincang menentukan tempat peperangan. Maka, syura adalah asas dalam membuat keputusan. Ia juga asas dalam khilafah. Kita disuruh untuk menerima keputusan syura dengan hati yang terbuka.


Seorang ketua yang dilantik pula mesti meminta pandangan orang lain dalam sesuatu urusan jika dia bukan ahli dalam bidang tersebut. Al-Qurtubi (671H) ketika mentafsirkan ayat 38 daripada surah al-Syuraa berkata:
Syura merupakan asas syariat dan tunjang hukum-hakam, sesiapa yang tidak melakukan syura dengan ahli ilmu dan agama maka wajib dipecat, tiada khilaf dalam perkara ini,... wajib ke atas para pemimpin melakukan syura dengan para ulama’ dalam perkara yang mereka tidak tahu dan pada perkara agama yang mereka musykil. (al-Qurtubi, Jami’ Li Ahkam al-Qur’an)


10. Selain itu, Abu Bakar RA juga melakukan syura ketika ingin berhadapan dengan golongan yang enggan membayar zakat. Tidak ketinggalan Umar al-Khattab juga melakukan syura. Ibn al-Qaiyim (751H) menyatakan:
Apabila satu isu timbul dan Amir al-Mukminin Umar al-Khattab tidak menjumpai sebarang nas al-Qur’an atau al-Hadith, maka dia mengumpulkan para sahabat nabi SAW dan melakukan syura tentangnya. (Ibn al-Qaiyim, I’lam al-Muwaqqi’in)


11. Syura jika dilakukan menghasilkan keputusan yang tepat dan mantap kerana berlaku pertukaran pandangan dan idea, ini berbeza jika sesuatu keputusan hanya merupakan pandangan individu tertentu sahaja. Ia lebih cenderung untuk melakukan kesilapan bahkan kezaliman kepada orang ramai. Firman Allah SWT kepada nabi Ibrahim di dalam surah al-Baqarah ayat 124 bermaksud:
Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia. Ibrahim berkata: (Dan saya mohon juga) dari keturunanku. Allah berfirman: JanjiKu ini tidak mengenai orang yang zalim.


12. Namun syura hanya terbatas dalam perkara yang tiada nas padanya. Kerana perkara yang telah ada nas merupakan ketentuan Allah Azza wa Jalla kepada hambaNya yang tidak boleh diubah. Oleh itu, sebarang institusi yang berfungsi untuk syura dengan mengadakan perbincangan dan bertukar-tukar pandangan seperti Majlis al-Sya’b, Dewan Rakyat, Dewan Undangan Negeri dan sebagainya tidak boleh menjangkau batasan ini. Menjangkau batasan ini bermakna mengambil hak Allah SWT.  


13. Kesimpulannya, syura adalah sunnah nabi SAW dan asas dalam kepimpinan politik, kerana ia melibatkan urusan ummah yang berkaitan dengan kepentingan hidup manusia. Bagaimana pula sekiranya melibatkan kepentingan urusan agama?  


petikan: http://hjanhar.blogspot.com/

Sabtu, 4 Jun 2011

Dadah Seperti Arak




Soalan:
Salam ustaz. Hampir saban hari kita mendengar berita pengedar dadah dikenakan hukuman gantung sampai mati di negara kita (rujuk berita harian online 20 Mei 2011, warga emas 64 tahun dijatuhkan hukuman mati). Namun begitu masalah tidak pernah selesai malah makin bertambah. Kita menerima bahawa ini adalah undang2 negara dan kita menghormatinya. Cuma persoalan saya ustaz, dari segi Islam dan undang-undang syariah, adakah berbaloi untuk menjatuhkan hukuman mati terhadap pengedar dadah? kerana sekiranya kita merujuk kepada hukuman kesalahan dadah paling tinggi iaitu Seksyen 39B (rujuk website PEMADAM) kebanyakan kesalahan itu melibatkan hanya beberapa gram sahaja. Minta pandangan ustaz, dari sudut undang-undang Islam, apakah kaedah yang akan digunakan untuk menangani kes-kes seperti ini. Terima kasih.

Hairul Anuar, Brunei.

1. Waalaikumussalam. Syukran kepada saudara Hairul yang mengutarakan persoalan ini. Dadah memang memudharatkan dan merosakkan akal manusia. Bagi menjawab persoalan ini, kita perlu mengetahui hukum yang berkaitan dengan dadah terlebih dahulu. Ia merangkumi hukum mengambil dadah dan hukum mengedar dadah. Mengambil dadah hukumnya sama dengan meminum arak kerana ia memberi kesan kepada akal, iaitu memabukkan (menghilangkan fungsi akal). Ibn Hajar al-Asqolani (852H) menyatakan:

Dalilnya adalah mutlaknya sabda nabi SAW yang berbunyi (maksudnya): Semua yang memabukkan itu haram –Riwayat al-Bukhari dan Muslim. (Ibn Hajar, Fath al-Bari)

2. Tiadanya ayat al-Quran atau hadith nabi SAW yang menyebut secara khusus perkataan dadah (al-mukhaddarat) bukan bermakna ia halal. Para ulama’ silam juga tidak menyebut perkataan ini, kerana ia merupakan perkara yang baru timbul yang tidak ada pada zaman nabi SAW atau para sahabat. Yang ada dalam kitab para ulama’ silam adalah perkataan al-ufiun (opium) dan al-hashish. Mereka menggunakan dalil umumnya nas hadith nabi SAW atau secara qias terhadap arak kerana kedua-duanya mempunyai 'illah (sebab) yang sama iaitu al-iskar (memabukkan). Semua perkara baru termasuk dadah tetap ada hukumnya. Imam al-Qurtubi (671H) menyatakan:

Jika kita mewajibkan agar tidak menghukum sesuatu sehinggalah kita jumpa dalilnya (secara khusus), nescaya akan rosaklah syariat, kerana nas-nas (dalil) itu sedikit. Maka sesungguhnya ia termasuk daripada perkara-perkara zahir dan umum serta boleh diqiaskan. (al-Qurtubi, Jami’ li Ahkam al-Qur’an)

3. Maka silaplah mereka yang menyatakan bahawa tiada dalil yang mengharamkan dadah dan yang seumpama dengannya. Menghisap dadah menyebabkan akal tidak dapat berfungsi dengan baik sedangkan kita wajib menjaga akal kerana ia merupakan punca pentaklifan seorang hamba Allah SWT. Para ulama’ mengkategorikan ia sebagai dosa besar yang menyebabkannya mendapat hukuman di dunia dan di akhirat. Al-Zahabi (748H) berkata:

Dadah yang berasal daripada daun, hukumnya haram seperti arak. Yang mengambilnya dikenakan hukum hudud sebagaimana peminum arak. (al-Zahabi, al-Kaba’ir)

Imam al-Bahuti (1051H) menyatakan:

Tidak dibolehkan mengambil dadah yang boleh memabukkan. (al-Bahuti, Kashaf al-Qina’ an Matni al-Iqna’)

Manakala Ibn al-Qaiyim (751H) pula menegaskan bahawa:

Termasuk daripada arak itu semua perkara yang memabukkan sama ada cecair atau pepejal, perahan atau yang dimasak. Ia juga merangkumi suapan kefasikan dan maksiat (maksudnya dadah), kerana semuanya adalah arak dengan nas hadith nabi SAW yang jelas dan sahih. (Ibn al-Qaiyim, Zaad al-Ma’aad)

4. Jika ia disamakan dengan hukum meminum arak, maka sebarang hukum yang berkaitan dengan arak boleh dihukumkan juga kepada dadah. Terdapat lapan golongan yang mendapat laknat Allah Azza wa Jalla yang dikira sama seperti peminum arak, dan mengedar adalah salah satu daripadanya. Diriwayatkan daripada Ibn Umar RA bahawa nabi SAW bersabda:

Allah melaknat arak, peminumnya, yang menuangnya, penjualnya, pembelinya, pemerahnya, yang meminta memerahnya, pembawanya dan yang akan dihantar kepadanya. (Riwayat Abu Daud)

5. Namun tiadanya hukum hudud bagi selain peminum arak (dalam konteks arak), maka selain penghisap dadah juga tiada hukum hudud baginya. Jadi hukuman ta’zir (tiada hukuman yang tetap, diserahkan kepada pemerintah untuk menjatuhkan hukuman) boleh dijalankan, sebagai menghalang pintu daripada berleluasanya gejala mengambil dadah. Ia dipanggil sebagai kaedah Sadd al-Zara’ie’.

Dalam undang-undang jenayah Islam pula menetapkan, hukuman ta’zir mestilah lebih rendah daripada sebarang hukuman yang paling minimum dalam hudud. Sebagai contoh jika minimum hukum sebat dalam hudud ialah 40 sebatan, maka sebatan dalam hukuman ta’zir adalah 39 sebatan yang paling maksimum. Ia tidak boleh 40 sebab menyamai dengan hukuman hudud. Jadi bagaimana pengedar dadah boleh dijatuhkan hukumaan mati sedangkan yang menghisapnya pula hanya masuk Pusat Serenti?

6. Satu perkara yang sangat penting dalam perlaksanaan undang-undang jenayah Islam ialah dilaksanakan di khalayak ramai. Supaya menjadi pengajaran dan mendatangkan perasaan takut kepada orang ramai. Firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 2 tentang perlaksanaan hukuman hudud bagi pelaku zina:

Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina (yang telah berkahwin), hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang daripada keduanya seratus kali sebatan; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan daripada orang-orang yang beriman.
7. Perlu di khalayak ramai bukan untuk memalukan tetapi sebagai didikan. Yang dihukum akan terdidik dan yang menyaksikan juga akan mendapat pengajaran. Memang menakutkan, tetapi itulah hikmahnya mengapa Allah Azza wa Jalla memerintahkan agar disaksikan oleh orang ramai. Orang lain yang menyaksikannya akan menjadi takut, dan pastinya terlintas di hatinya untuk tidak sekali-kali melakukan kesalahan tersebut kerana akibatnya sangat dahsyat.

Jadi apa yang kita harapkan jika ia dilaksanakan secara ‘indoor’? Walaupun sudah berpuluh pengedar dadah sudah mati di tali gantung, tetapi ia sedikitpun tidak menakutkan yang di luar sana, adakah ia berbaloi? Sebab itu hukuman yang dilaksanakan tidak mampu mengurangkan kadar jenayah di negara kita, bahkan semakin bertambah dan meningkat.

8. Selain itu, perlu ditegaskan juga bahawa yang dihukum adalah pengedar dadah yang mungkin ‘terpaksa mengedar’ untuk mendapatkan sedikit duit meneruskan kehidupan yang semakin sempit. Tetapi kita melepaskan ‘tuan besar’ atau pemilik sebenar dadah yang diedarkan ini. Dalam hal ini, Islam tidak hanya menghukum pelaku jenayah sahaja, tetapi juga tuan yang menjadi dalang kepada jenayah tersebut.

Mereka inilah yang berkuasa dan menjadi kaya raya mengaut keuntungan di atas kemusnahan hidup orang lain. Nabi SAW mengingatkan kita agar berlaku adil dalam menjatuhkan hukuman, bukan hanya terhadap orang-orang bawahan yang lemah sahaja, tetapi mereka yang ada kedudukan juga mesti dihukum jika bersalah.

Diriwayatkan daripada ‘Aisyah RA bahawa Usamah RA bercakap dengan nabi SAW tentang wanita, nabi SAW bersabda bermaksud:

Sesungguhnya telah binasa orang-orang sebelum kamu kerana mereka menjatuhkan hukuman, hanya kepada orang kebanyakan dan melepaskan orang yang mempunyai kedudukan. Demi sesungguhnya yang jiwaku berada dalam genggamanNya, jika Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya aku akan potong tangannya. (Riwayat al-Bukhari).

9. Ditambah pula dengan pernyataan yang mengelirukan, apabila diwar-warkan tentang najis dadah, untuk menggambarkan buruknya mengambil dadah, yang pengedarnya akan dihukum gantung mandatori. Tidak dinafikan yang dadah memang merbahaya dan memberikan kesan negatif, kita juga wajib memeranginya, namun bila agaknya arak akan dinajiskan?

10. Kesimpulannya, hukuman bagi kesalahan dadah dan semua jenayah lain perlu diberi nafas baru dan diselaraskan dengan syariat, yang datangnya daripada al-Khaliq (pencipta) kepada pelaku jenayah. Ia pasti lebih efisyen dan berbaloi kerana Dia maha mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya di dunia dan akhirat.

sumber: http://hjanhar.blogspot.com/