Sabtu, 4 Jun 2011

Dadah Seperti Arak




Soalan:
Salam ustaz. Hampir saban hari kita mendengar berita pengedar dadah dikenakan hukuman gantung sampai mati di negara kita (rujuk berita harian online 20 Mei 2011, warga emas 64 tahun dijatuhkan hukuman mati). Namun begitu masalah tidak pernah selesai malah makin bertambah. Kita menerima bahawa ini adalah undang2 negara dan kita menghormatinya. Cuma persoalan saya ustaz, dari segi Islam dan undang-undang syariah, adakah berbaloi untuk menjatuhkan hukuman mati terhadap pengedar dadah? kerana sekiranya kita merujuk kepada hukuman kesalahan dadah paling tinggi iaitu Seksyen 39B (rujuk website PEMADAM) kebanyakan kesalahan itu melibatkan hanya beberapa gram sahaja. Minta pandangan ustaz, dari sudut undang-undang Islam, apakah kaedah yang akan digunakan untuk menangani kes-kes seperti ini. Terima kasih.

Hairul Anuar, Brunei.

1. Waalaikumussalam. Syukran kepada saudara Hairul yang mengutarakan persoalan ini. Dadah memang memudharatkan dan merosakkan akal manusia. Bagi menjawab persoalan ini, kita perlu mengetahui hukum yang berkaitan dengan dadah terlebih dahulu. Ia merangkumi hukum mengambil dadah dan hukum mengedar dadah. Mengambil dadah hukumnya sama dengan meminum arak kerana ia memberi kesan kepada akal, iaitu memabukkan (menghilangkan fungsi akal). Ibn Hajar al-Asqolani (852H) menyatakan:

Dalilnya adalah mutlaknya sabda nabi SAW yang berbunyi (maksudnya): Semua yang memabukkan itu haram –Riwayat al-Bukhari dan Muslim. (Ibn Hajar, Fath al-Bari)

2. Tiadanya ayat al-Quran atau hadith nabi SAW yang menyebut secara khusus perkataan dadah (al-mukhaddarat) bukan bermakna ia halal. Para ulama’ silam juga tidak menyebut perkataan ini, kerana ia merupakan perkara yang baru timbul yang tidak ada pada zaman nabi SAW atau para sahabat. Yang ada dalam kitab para ulama’ silam adalah perkataan al-ufiun (opium) dan al-hashish. Mereka menggunakan dalil umumnya nas hadith nabi SAW atau secara qias terhadap arak kerana kedua-duanya mempunyai 'illah (sebab) yang sama iaitu al-iskar (memabukkan). Semua perkara baru termasuk dadah tetap ada hukumnya. Imam al-Qurtubi (671H) menyatakan:

Jika kita mewajibkan agar tidak menghukum sesuatu sehinggalah kita jumpa dalilnya (secara khusus), nescaya akan rosaklah syariat, kerana nas-nas (dalil) itu sedikit. Maka sesungguhnya ia termasuk daripada perkara-perkara zahir dan umum serta boleh diqiaskan. (al-Qurtubi, Jami’ li Ahkam al-Qur’an)

3. Maka silaplah mereka yang menyatakan bahawa tiada dalil yang mengharamkan dadah dan yang seumpama dengannya. Menghisap dadah menyebabkan akal tidak dapat berfungsi dengan baik sedangkan kita wajib menjaga akal kerana ia merupakan punca pentaklifan seorang hamba Allah SWT. Para ulama’ mengkategorikan ia sebagai dosa besar yang menyebabkannya mendapat hukuman di dunia dan di akhirat. Al-Zahabi (748H) berkata:

Dadah yang berasal daripada daun, hukumnya haram seperti arak. Yang mengambilnya dikenakan hukum hudud sebagaimana peminum arak. (al-Zahabi, al-Kaba’ir)

Imam al-Bahuti (1051H) menyatakan:

Tidak dibolehkan mengambil dadah yang boleh memabukkan. (al-Bahuti, Kashaf al-Qina’ an Matni al-Iqna’)

Manakala Ibn al-Qaiyim (751H) pula menegaskan bahawa:

Termasuk daripada arak itu semua perkara yang memabukkan sama ada cecair atau pepejal, perahan atau yang dimasak. Ia juga merangkumi suapan kefasikan dan maksiat (maksudnya dadah), kerana semuanya adalah arak dengan nas hadith nabi SAW yang jelas dan sahih. (Ibn al-Qaiyim, Zaad al-Ma’aad)

4. Jika ia disamakan dengan hukum meminum arak, maka sebarang hukum yang berkaitan dengan arak boleh dihukumkan juga kepada dadah. Terdapat lapan golongan yang mendapat laknat Allah Azza wa Jalla yang dikira sama seperti peminum arak, dan mengedar adalah salah satu daripadanya. Diriwayatkan daripada Ibn Umar RA bahawa nabi SAW bersabda:

Allah melaknat arak, peminumnya, yang menuangnya, penjualnya, pembelinya, pemerahnya, yang meminta memerahnya, pembawanya dan yang akan dihantar kepadanya. (Riwayat Abu Daud)

5. Namun tiadanya hukum hudud bagi selain peminum arak (dalam konteks arak), maka selain penghisap dadah juga tiada hukum hudud baginya. Jadi hukuman ta’zir (tiada hukuman yang tetap, diserahkan kepada pemerintah untuk menjatuhkan hukuman) boleh dijalankan, sebagai menghalang pintu daripada berleluasanya gejala mengambil dadah. Ia dipanggil sebagai kaedah Sadd al-Zara’ie’.

Dalam undang-undang jenayah Islam pula menetapkan, hukuman ta’zir mestilah lebih rendah daripada sebarang hukuman yang paling minimum dalam hudud. Sebagai contoh jika minimum hukum sebat dalam hudud ialah 40 sebatan, maka sebatan dalam hukuman ta’zir adalah 39 sebatan yang paling maksimum. Ia tidak boleh 40 sebab menyamai dengan hukuman hudud. Jadi bagaimana pengedar dadah boleh dijatuhkan hukumaan mati sedangkan yang menghisapnya pula hanya masuk Pusat Serenti?

6. Satu perkara yang sangat penting dalam perlaksanaan undang-undang jenayah Islam ialah dilaksanakan di khalayak ramai. Supaya menjadi pengajaran dan mendatangkan perasaan takut kepada orang ramai. Firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 2 tentang perlaksanaan hukuman hudud bagi pelaku zina:

Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina (yang telah berkahwin), hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang daripada keduanya seratus kali sebatan; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan daripada orang-orang yang beriman.
7. Perlu di khalayak ramai bukan untuk memalukan tetapi sebagai didikan. Yang dihukum akan terdidik dan yang menyaksikan juga akan mendapat pengajaran. Memang menakutkan, tetapi itulah hikmahnya mengapa Allah Azza wa Jalla memerintahkan agar disaksikan oleh orang ramai. Orang lain yang menyaksikannya akan menjadi takut, dan pastinya terlintas di hatinya untuk tidak sekali-kali melakukan kesalahan tersebut kerana akibatnya sangat dahsyat.

Jadi apa yang kita harapkan jika ia dilaksanakan secara ‘indoor’? Walaupun sudah berpuluh pengedar dadah sudah mati di tali gantung, tetapi ia sedikitpun tidak menakutkan yang di luar sana, adakah ia berbaloi? Sebab itu hukuman yang dilaksanakan tidak mampu mengurangkan kadar jenayah di negara kita, bahkan semakin bertambah dan meningkat.

8. Selain itu, perlu ditegaskan juga bahawa yang dihukum adalah pengedar dadah yang mungkin ‘terpaksa mengedar’ untuk mendapatkan sedikit duit meneruskan kehidupan yang semakin sempit. Tetapi kita melepaskan ‘tuan besar’ atau pemilik sebenar dadah yang diedarkan ini. Dalam hal ini, Islam tidak hanya menghukum pelaku jenayah sahaja, tetapi juga tuan yang menjadi dalang kepada jenayah tersebut.

Mereka inilah yang berkuasa dan menjadi kaya raya mengaut keuntungan di atas kemusnahan hidup orang lain. Nabi SAW mengingatkan kita agar berlaku adil dalam menjatuhkan hukuman, bukan hanya terhadap orang-orang bawahan yang lemah sahaja, tetapi mereka yang ada kedudukan juga mesti dihukum jika bersalah.

Diriwayatkan daripada ‘Aisyah RA bahawa Usamah RA bercakap dengan nabi SAW tentang wanita, nabi SAW bersabda bermaksud:

Sesungguhnya telah binasa orang-orang sebelum kamu kerana mereka menjatuhkan hukuman, hanya kepada orang kebanyakan dan melepaskan orang yang mempunyai kedudukan. Demi sesungguhnya yang jiwaku berada dalam genggamanNya, jika Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya aku akan potong tangannya. (Riwayat al-Bukhari).

9. Ditambah pula dengan pernyataan yang mengelirukan, apabila diwar-warkan tentang najis dadah, untuk menggambarkan buruknya mengambil dadah, yang pengedarnya akan dihukum gantung mandatori. Tidak dinafikan yang dadah memang merbahaya dan memberikan kesan negatif, kita juga wajib memeranginya, namun bila agaknya arak akan dinajiskan?

10. Kesimpulannya, hukuman bagi kesalahan dadah dan semua jenayah lain perlu diberi nafas baru dan diselaraskan dengan syariat, yang datangnya daripada al-Khaliq (pencipta) kepada pelaku jenayah. Ia pasti lebih efisyen dan berbaloi kerana Dia maha mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya di dunia dan akhirat.

sumber: http://hjanhar.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan