Selasa, 7 Jun 2011

SYURA ASAS POLITIK


1. Politik perlu berdiri di atas syura (mesyuarat) kerana kepemimpinan politik bukan bererti Kaisar atau Kisra, jauh sekali berasaskan monarki (keturunan) yang telah menyempitkan ruang politik hanya untuk satu keluarga sahaja atau keturunannya. Politik bukan seperti harta atau rumah yang boleh diwarisi daripada satu generasi ke generasi seterusnya walaupun tidak memiliki kebijaksanaan akal dan ketinggian akhlak.


2. Kebijaksanaan dan kebaikan itu tidak boleh diwarisi. Walaupun seorang ayah soleh tetapi tidak mustahil anaknya rosak. Firman Allah SWT tentang nabi Ibrahim dan nabi Ishaq di dalam surah al-Soffaat ayat 113 bermaksud:
Dan Kami beri dia khabar gembira dengan (kelahiran) Ishaq seorang nabi yang termasuk orang-orang yang saleh. Kami limpahkan keberkatan atasnya dan atas Ishaq. Dan di antara anak cucunya ada yang berbuat baik dan ada (pula) yang zalim terhadap dirinya sendiri dengan nyata.
           
3. Al-Qur’an sangat menitikberatkan prinsip syura sehingga terdapat salah satu surah di dalamnya yang dinamakan dengan surah al-Syura. Di dalamnya, menerangkan tentang sifat-sifat orang mukmin, menjadikan kehidupan mereka di atas dasar syura, bahkan mereka disuruh untuk melakukan syura dalam seluruh urusan hidup mereka. Firman Allah SWT di dalam surah ini ayat 38:
Dan (bagi) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan solat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah di antara mereka; dan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang kami berikan kepada mereka.


4. Manusia yang paling banyak melakukan syura adalah Rasulullah SAW sendiri. Walaupun diperteguhkan dengan wahyu, tetapi nabi SAW menunjukkan kepada kita contoh yang perlu kita ikuti. Ia boleh kita lihat dengan nyata sebanyak tiga kali dalam peristiwa Badar al-Kubra tahun kedua Hijrah, iaitu dua kali sebelum berlaku peperangan dan sekali selepas tamat peperangan ketika ingin memutuskan tentang tawanan perang. Begitu juga boleh kita lihat dalam peperangan Uhud dan banyak lagi peristiwa lain yang wahyu tidak turun padanya. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah katanya:
Aku tidak pernah melihat seseorang yang paling banyak mesyuaratnya dengan sahabat-sahabatnya selain Rasulullah SAW. (Riwayat Tirmizi)


5. Jika nabi SAW pun banyak melakukan syura, maka kita lebih lagi dituntut untuk melakukannya. Sebab itu kita melihat para sahabat melaksanakan tuntutan ini sejurus selepas kewafatan nabi SAW, ketika ingin melantik khalifah (pengganti) nabi SAW yang berfungsi sebagai penjaga agama dan mentadbir dunia dengan agama. Peristiwa Saqifah Bani Sa’idah menjadi bukti kukuh dalam hal ini. Ibn Hajar al-Asqolani dalam Fathu al-Bari menyatakan bahawa kesemua Khulafa’ al-Rashidin telah melaksanakan prinsip ini sama ada ketika dicalonkan atau selepas dilantik menjadi khalifah. Inilah yang menjadi penanda aras dan syiar kepimpinan mereka. Abu al-A’la al-Maududi menyatakan:
Ummah telah menamakan kepimpinan mereka dengan Khilafah al-Rashidah.
 (al-Maududi, al-Khilafah wa al-Mulk, Dar al-Qayim, Kuwait, hlmn 49)  


6. Melantik ketua negara pada hari ini tidak boleh lari dari prinsip ini. Cuma pendekatannya berbeza kerana suasana yang sudah berbeza. Ramai yang inginkan agar dikembalikan kaedah perlantikan khalifah Abu Bakar di Saqifah Bani Sa’idah ketika melantik Perdana Menteri atau Presiden pada hari ini, sambil menyatakan kaedah pilihanraya yang sedia ada pada hari ini tidak syar’ie. Perlu difahami bahawa syura yang disebut dalam bahasa Melayu sebagai mesyuarat maksudnya ialah memberi dan menerima pandangan untuk mendapatkan keputusan bersama. Ibn al-‘Arabi al-Andalusi (543H) menyatakan bahawa syura adalah:
Berhimpun dalam satu perkara untuk meminta padangan setiap mereka dan mengeluarkan apa yang ada padanya. (Ibn al-‘Arabi, Ahkam al-Qur’an)


7. Apabila syura itu ialah menyatakan pandangan masing-masing, maka kaedah mengundi untuk memilih seorang pemimpin pada hari ini masih menepati ruh syura yang sebenar. Kerana setiap kita akan menterjemahkan pandangan masing-masing di atas kertas undi. Di samping itu menghimpunkan jumlah penduduk yang sangat ramai pada hari ini menjadi masyaqqah (susah), terutamanya di tempat dan masa yang sama. Jika dibiarkan pula masing-masing bercakap dan bersuara menyatakan pandangannya, yang mungkin menjadi kekecohan maka ia sudah lari daripada tujuan asal.


Maqasid (tujuan) syura adalah untuk mengambil keputusan bersama selepas mengeluarkan pandangan. Boleh sahaja kita melakukan syura menggunakan video confrence dan sebarang perbincangan dalam talian, asalkan objektif syura tercapai. Kaedah menyebut al-masyaqqah tajlibu al-taisir (kesusahan mengundang kemudahan).


8. Apa yang penting adalah menerima keputusan syura. Ia adalah keputusan ramai yang mesti dilaksanakan, walaupun mungkin ia bercanggah dengan pandangan peribadi kita. Inilah akhlak dalam syura. Nabi SAW adalah sebaik-baik qudwah ketika keputusan berperang di luar Kota Madinah dicapai dalam peperangan Uhud pada tahun ketiga Hijrah, walaupun pandangan nabi SAW berlainan iaitu bertahan dalam Kota Madinah. Namun selepas ia menjadi keputusan bersama, maka nabi SAW melaksanakannya. Diriwayatkan bahawa para sahabat ingin menarik balik cadangan mereka lalu menyerahkan sahaja kepada nabi SAW, maka nabi SAW menjawab dengan tegas:
Tidak patut bagi seorang nabi apabila memakai baju besi untuk umatnya (pergi berperang) akan menanggalkannya sehinggalah datang ketentuan Allah SWT. (Riwayat al-Baihaqi)


9. Tamat peperangan Uhud yang berpihak kepada Musyrikin Quraisy, kita tidak berjumpa dengan satu riwayat pun sebarang ‘komplen’ dan ejekan daripada kumpulan yang pandangannya tidak diterima ketika berbincang menentukan tempat peperangan. Maka, syura adalah asas dalam membuat keputusan. Ia juga asas dalam khilafah. Kita disuruh untuk menerima keputusan syura dengan hati yang terbuka.


Seorang ketua yang dilantik pula mesti meminta pandangan orang lain dalam sesuatu urusan jika dia bukan ahli dalam bidang tersebut. Al-Qurtubi (671H) ketika mentafsirkan ayat 38 daripada surah al-Syuraa berkata:
Syura merupakan asas syariat dan tunjang hukum-hakam, sesiapa yang tidak melakukan syura dengan ahli ilmu dan agama maka wajib dipecat, tiada khilaf dalam perkara ini,... wajib ke atas para pemimpin melakukan syura dengan para ulama’ dalam perkara yang mereka tidak tahu dan pada perkara agama yang mereka musykil. (al-Qurtubi, Jami’ Li Ahkam al-Qur’an)


10. Selain itu, Abu Bakar RA juga melakukan syura ketika ingin berhadapan dengan golongan yang enggan membayar zakat. Tidak ketinggalan Umar al-Khattab juga melakukan syura. Ibn al-Qaiyim (751H) menyatakan:
Apabila satu isu timbul dan Amir al-Mukminin Umar al-Khattab tidak menjumpai sebarang nas al-Qur’an atau al-Hadith, maka dia mengumpulkan para sahabat nabi SAW dan melakukan syura tentangnya. (Ibn al-Qaiyim, I’lam al-Muwaqqi’in)


11. Syura jika dilakukan menghasilkan keputusan yang tepat dan mantap kerana berlaku pertukaran pandangan dan idea, ini berbeza jika sesuatu keputusan hanya merupakan pandangan individu tertentu sahaja. Ia lebih cenderung untuk melakukan kesilapan bahkan kezaliman kepada orang ramai. Firman Allah SWT kepada nabi Ibrahim di dalam surah al-Baqarah ayat 124 bermaksud:
Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia. Ibrahim berkata: (Dan saya mohon juga) dari keturunanku. Allah berfirman: JanjiKu ini tidak mengenai orang yang zalim.


12. Namun syura hanya terbatas dalam perkara yang tiada nas padanya. Kerana perkara yang telah ada nas merupakan ketentuan Allah Azza wa Jalla kepada hambaNya yang tidak boleh diubah. Oleh itu, sebarang institusi yang berfungsi untuk syura dengan mengadakan perbincangan dan bertukar-tukar pandangan seperti Majlis al-Sya’b, Dewan Rakyat, Dewan Undangan Negeri dan sebagainya tidak boleh menjangkau batasan ini. Menjangkau batasan ini bermakna mengambil hak Allah SWT.  


13. Kesimpulannya, syura adalah sunnah nabi SAW dan asas dalam kepimpinan politik, kerana ia melibatkan urusan ummah yang berkaitan dengan kepentingan hidup manusia. Bagaimana pula sekiranya melibatkan kepentingan urusan agama?  


petikan: http://hjanhar.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan