Isnin, 9 Januari 2012

PAS Lucut Ahli : Sejarah PAS Bertindak Terhadap Ahli dan Pimpinan

PAS telah memecat keahlian Dato' Dr.Hasan Ali, seorang pimpinan tertinggi parti,bukan ahli parti biasa di peringkat cawangan bahkan pernah menjawat Naib Presiden PAS, Pesuruhjaya negeri dan berada dalam Jawatankuasa Pusat hingga hari ini. Ramai juga yang terkejut. Ada yang terkejut dengan kegembiraan dan ada yang terkejut dalam kedukaan.

Sudah lama PAS, sebuah gerakan Islam di Malaysia tidak mengambil tindakan yang tegas terhadap ahli-ahlinya. PAS sebagai sebuah organisasi menjunjung perlembagaan dan dasarnya. Seseorang yang menganggotainya, maka dia perlu tahu hak sebagai seorang ahli dan hak parti yang perlu ditunaikannya. Untuk menjaga perlembagaan dan dasar parti, maka memerlukan sebarang tindakan terhadap ahli yang berkelakuan di luar batasan demi menjaga kemaslahatan parti.

Dua tahun lalu ketika Jawatankuasa Disiplin PAS diketuai oleh Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man (yang juga Naib Presiden parti) telah mengenakan tindakan tatatertib terhadap Khalid Samad dan Dato' Hasan Ali. Khalid digantung keahlian sementara Hasan Ali dikenakan amaran.Teruk Jawatankuasa Disiplin PAS diserang ketika itu. Membuka lembaran tahun baru 2012, PAS sekali lagi bertindak terhadap seorang pimpinan tertingginya.

Itulah tegasnya PAS. Tidak pernah berkompromi dalam sebarang tindakan yang menjejaskan nama baik parti. Sejarahnya yang panjang sejak ditubuhkan 61 tahun lalu, menyaksikan banyak tindakan ahli malah pimpinan tingginya yang menyalahi parti diambil tindakan tegas.

PAS pernah kehilangan Presidennya, Allahyarham Dato' Asri Haji Muda (atau dikenali sebagai Yang Dipertua Agung ketia itu) apabila Dato' Asri mengisytiharkan diri keluar dari PAS ketika hari kedua Muktamar Agung PAS masih berlangsung pada tahun 1982 di Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur. Surat peletakan jawatan beliau dibacakan oleh Setiausaha Agung PAS pada masa itu, Dato' Abu Bakar Umar.

Keluarnya Asri meninggalkan PAS juga diikut serta oleh beberapa pimpinan tertinggi PAS yang lain yang melihat ketokohan Dato' Asri tiada tolok bandingnya pada masa itu. Telahan masyarakat ketika itu bahawa "PAS akan mati selepas tiadanya Dato' Asri". Intima' syakhsi yang membarah ketika itu menyebabkan PAS berpecah. 

Selepas beliau berundur, Pemangku Timbalan Yang Dipertua Agung PAS ketika itu, Allahyarham Haji Yusuf Rawa yang mengetuai Jawatankuasa Disiplin PAS telah mengambil tindakan tatatertib terhadap 13 orang pimpinan PAS lain termasuk Dato' Asri atas kesalahan yang disifatkannya sebagai "kesalahan yang amat berat".

Selesai Dato' Abu Bakar membacakan surat peletakan jawatan, ahli PAS yang hadir pada muktamar tersebut menyambutnya dengan laungan takbir. Seorang perwakilan ulamak telah bangun lantas membacakan sepotong firman Allah dalam surah Ali-Imran yang bermaksud:

"Tidaklah Muhammad itu hanyalah seorang Rasul, telah berlalu sebelumnya beberapa orang Rasul. Adakah jika Muhammad itu mati atau terbunuh maka kamu akan memalingkan tumit-tumit kamu (berpaling dari agamaNya)? Dan sesiapa yang berpaling maka dia sedikitpun tidak memberikan mudarat kepada Allah".

Dato' Asri kemudian kembali ke Kelantan dan  menubuhkan parti baru, Hizbul Muslimin Malaysia atau singkatannya HAMIM bagi mengambil semangat Hizbul Muslimin yang ditubuhkan oleh Al-Marhum Ustaz Abu Bakar Al-Baqir pada tahun 1948. Pada tahun 1988, Dato' Asri meninggalkan HAMIM seterusnya menyertai UMNO dan meninggal dunia pada tahun 1992 dalam parti tersebut. Parti HAMIM kemudiannya berkubur kira-kira 15 tahun setelah ditubuhkan.

PAS juga pernah kehilangan Naib Presiden (atau dikenali Naib Yang Dipertua pada masa itu) Ustaz Nakhaie Ahmad kerana tindakannya keluar parti dan menyertai UMNO.

Ketika PAS berada di penghujung persahabatan antara UMNO dalam kerajaan campuran tahun 1977,  pernah pimpinannya melakukan tindakan yang menyalahi dasar dan prinsip parti lalu disingkirkan. Antaranya Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Hasan Adli Arshad.

Ketika itu, Kerajaan Pusat telah membentangkan Undang-Undang Darurat bagi negeri Kelantan yang dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Dr.Mahathir Mohammad pada 4 November 1977.  Undang-Undang tersebut akhirnya telah meletakkan Kelantan di bawah pentadbiran MAGERAN dan menyaksikan berakhirnya penguasaan PAS terhadap negeri itu yang dikuasai sejak tahun 1959. 

Sebagai bantahan terhadap tindakan UMNO itu, mesyuarat Jawatankuasa Agung PAS Pusat dalam mesyuarat khasnya pada 6 November 1977 telah mengarahkan semua pimpinan PAS yang menjawat jawatan Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen dalam kerajaan campuran Barisan Nasional (BN) agar meletakkan jawatan sebagai tanda protes.

Yang Dipertua Agung PAS Pusat pada masa itu, Dato' Asri Haji Muda yang memegang jawatan Menteri Kemajuan Tanah dan Wilayah turut meletakkan jawatan. Tetapi, Dato' Hasan Adli  sebagai Menteri Kerajaan Tempatan yang merupakan orang nombor dua dalam parti tidak mengikuti keputusan mesyuarat tersebut. 

Tindakan itu menyebabkan beliau terlucut keahlian PAS kerana mengingkari arahan yang dikeluarkan. Dato' Hasan Adli memegang jawatan tersebut hingga akhir penggal Parlimen dan kemudiannya dilantik sebagai Duta Besar ke Republik Arab Mesir.

Sejarah juga membuktikan bahawa PAS pernah memecat keahlian Menteri Besar Kelantan pada era kerajaan campuran Perikatan iaitu Allahyarham Dato' Haji Mohamed Nasir. Dato' Asri Haji Muda yang memimpin PAS Pusat ketika itu mengambil keputusan tersebut setelah desakan meminta Dato' Mohamed Nasir meletakkan jawatan gagal. 

Antara kesalahan utama yang dilihat oleh PAS Pusat terhadap kepimpinan Dato' Mohamed Nasir ialah beliau dilihat terlalu mengikut telunjuk UMNO Kelantan dalam pentadbiran negeri. Figure utama UMNO Kelantan ketika itu ialah Tengku Razaleigh Hamzah dan Dato' Abdullah Ahmad (Ahli Parlimen Kok Lanas).

Keputusan tegas PAS Pusat itu telah meledakkan kemarahan Dato' Mohamed Nasir dan penyokong-penyokongnya yang kemudian menubuhkan parti baru, Barisan Jemaah Islamiyah atau ringkasnya BERJASA. 

BERJASA ini kemudian menyertai Pilihanraya Umum pada tahun 1978 dan bergabung bersama-sama UMNO Kelantan dalam  menumbangkan kerajaan PAS. BERJASA juga akhirnya menerima nasib yang sama seperti HAMIM apabila dibubarkan beberapa tahun selepas penubuhannya.

Namun, di akhir hayat Dato' Mohamed Nasir, beliau telah kembali bersama PAS dan mengungkapkan bahawa "PAS tidak pernah luput dalam hidupnya."  Kata beliau, apa yang ditentangnya hingga menubuhkan parti politik baru adalah kerana tidak bersetuju dengan beberapa tindakan peribadi yang dilakukan oleh Dato' Asri pada masa itu. 

Setelah Dato' Asri berundur dan mengakhiri hayat dalam perjuangan UMNO, Dato' Mohamed Nasir kembali ke pangkuan PAS dan meninggal dunia pada tahun 1997 di luar negara.

PAS juga pernah memecat keahlian pimpinan PAS di negeri Terengganu iaitu Ustaz Abdul Latif Mohammad yang juga merupakan Yang Dipertua PAS kawasan Besut dan pernah menganggotai Dewan Undangan Negeri Terengganu. Tindakan PAS Pusat itu menyebabkan Ustaz Latif dipergunakan oleh UMNO khasnya anjuran UMNO Besut dalam program "Selamat Tinggal PAS" (STP) sekitar tahun 1998.

Tidak ketinggalan seorang pimpinan PAS kawasan Pasir Puteh, Kelantan, Allahyarham Cikgu Musa Salleh yang dipecat keahliannya pada tahun 1993 yang membawa penubuhan Angkatan Keadilan Insan Malaysia atau singkatannya AKIM.

Semua peristiwa hitam yang terukir dalam sejarah perjuangan PAS walaupun kelihatan pada mulanya agak bergelora, namun ia kembali jernih dan tenang. Pimpinan yang sedia ada terus mengemudi bahtera perjuangan kerana kehebatan PAS bukan kerana pimpinannya sahaja tetapi bergantung kepada ahli-ahlinya yang ikhlas dan dasarnya yang membawa Al-Quran dan Sunnah. 

Ia termaktub jelas dalam Perlembagaan partinya iaitu dasarnya Islam dan seruannya ialah ALLAHU AKBAR sekaligus menafikan bahawa "krisis identiti" telah melanda PAS.

14 ulasan:

  1. menyelak kembali sejarah yang tak pernah diketahui oleh sesetengah orang... Syukran atas infonya...

    BalasPadam
  2. bagi saya,pemecatan sememangnya ia adalah perkara biasa dlm sesebuah organisasi @ pertubuhan.

    cumanya berbeza dgn pemecatan sblm ini ia berkenaan dgn umno. bagaimana pula hassan ali?

    isunya tak jelas, dia hanya menegur PAS yg terikut dgn rentak pakatan lain. dialah yg paling lantang mengangkat nama Islam di selangor berbanding khalid samad dan dr rani.

    luarnya sama tp dalamnya sedikit kelainan...

    BalasPadam
  3. Dr Hasan Ali ni ahli parti yang tak senonoh (pinjam kata-kata Tok Guru Nik Aziz). Kritik atau tegur parti tak ada masalah tapi kena ikut saluran parti. Ini tidak, mesyuarat banyak tak hadir. Tapi kritik kat akhbar.. kena ke gitu?

    BalasPadam
  4. Tahniah kepada penulis. Memang patut generasi baru yang menyertai PAS terutama selepas 1998 agar mengetahui sejarah PAS dan bukan hanya menjadi ahli PAS kerana semangat bencikan BN atau lain-lain. Tulisan ini satu daripadanya yang menceritakan sedikit sejarah perjalanan PAS.

    Abu Mundzir.

    Wassalam.

    BalasPadam
  5. ya kalu pun betul perlu diambil tindakan pada pendapat peribapi saya bukan jatuhkan trus dengan membuang ahli,,, mugkin boleh dijaduhkan hukuman berat(disiplin).. kerana apa?? kerana apabila dijatuhkan sesuatu yg tindakan berat tnpa disusuli yg ringgan maka revolusi(protes) rakyat akan berlaku tidak lama lagi... bkan kita menyatakan tidak pada tindakan menghukum.. tetapi mengatakan tidak pada hukumam yg berat tnpa menghukum dngan hukumam ringan dahulu...kalau saudara tidak percaya..kita lihat impaknya selepas ini...

    BalasPadam
  6. Assalamualaikum ..

    Sy hanya bawa ini sbg tatapan semua >> Ikhwan Muslimin pun pernah pecat ahli dia, bukannya yg biasa tapi mmg yg berada dlm majlis shura sbbnya tidak berpuas hati dgn keputusan shura Ikhwan, setelhmana beliau mencalonkan dirinya untuk pilihnraya presiden akan dtg walhal ikhwan dah maklum bahawa tidak ada wakilnya utk pilihnraya tersebut. Pemecatan ini pada waktu selepas revolusi 25 Januari menjatuhkan Mubarak dan di ambang pilihnraya parlimen Mesir. Pada waktu yg sama, beliau yg dipecat dari ikhwan juga mempunyai pengikut2 yg ramai di samping juga tergolong dlm profesional dan dikagumi ramai, termasuk sy sndiri. Pun begitu, keputusan shura adalah wajib diikuti. Perkara ini juga menjadi santapan kpd media2 massa di Mesir, terutama suratkhabar Masry Al-Youm yg kerap membuat liputan dan ada juga laporan akhbar ini disanggah oleh Murshid Ikhwan sndiri dan ikhwan juga pernah boikot Masry Al-Youm. Jelasnya, ikhwan tidak benarkan utk anggotanya bertnding dlm plhnraya presiden adalah kerana strateginya. Wlupun sedemikian, ketika sedang menanti keputusan rasmi pilihanraya parlimen yg merangkumi ketiga2 peringkat(fasa), sayap politik ikhwan, parti hurriyah wal Adalah tetap menjadi pilihan. Terkini, pakatan dalam parti hurriyah wal adalah bakal mnjadi parti pemerintah. Sekian, mg mnjdi iktibar kepada kita. Hasbiallahu Wa Ni3mal Wakil.

    BalasPadam
  7. Keadaan politik sesuatu negara x sama dgn negara yg lain... ok ikhwan muslimin dimesir kerenahnya berbeza dgn dimalaysia.. di mesir demografi n kapasiti rakyat budaya dan segala macam hmpir 160 darjah berbeza dgn malaysia..kesannya berlainan dgn mlysia..dimesir cntohnya media masa bnyak diberi secara adil selepas revolution..masalhnya adakah mlysia mempunya media masa sebegini..???? jika tidak,parah menanti.. tapi ape2 pun saya tetap menyokong kputusan majlis syura sbb kputusan jemaah itu rahmat

    BalasPadam
  8. Betulkan hadaf masig2,, klu kita gagal pun pilihanraya ,, biar islam menang dan prinsip perlu dipertahankan... jgn takut akan kegagalan dalam pilihanraya..hidup islam.. pas trus bergerak

    BalasPadam
  9. sape2 yang xfaham konsep berjemaah,xyahla nak komen lebih2 pasal pemecatan Hassan Ali..corak jemaah dalam pas ada persamaan ngan ikhwanul muslimin dimana ketaatan terhadap keputusan shura itu sesuatu yg dipandang berat..bile ade kes yg ambik tindakan sendiri dan membelakangkan keputusan shura, memang layakla kena pecat..lgpun Hassan Ali dah penah kena warning kan..

    BalasPadam
  10. Adakah Hassan Ali ni, orang PAS minda Umno?

    BalasPadam
  11. bagi sy hasan ali mmg org pas yg asli..kerana dia masih masih mahu pas yg pure yg tidak ada pakatan langsung dengan bukan islam.sbb dia tau bila dh pakat dengan bukan islam,mmg sah apa sahaja keputusan yg diambil pas harus diambil kira juga pandangan rakan pakatan yg bkn islam wlupun perkara yg berkaitan dgn agama.jd dimana perjuangan islam itu..perjuangan pas nampak sangat bukan nak perjuangkan islam tapi semata-mata bencikan umno...kalau nk perjuang islam kena pakat dengan orang islam..bukan yg bukan islam..logikkk..

    BalasPadam
  12. Pokok Pangkalnya Perjuangan Islam Mesti Ikhlas kerana Allah , sesiapa sekali pun , Bukan kerana YDP , Bukan kerana YB dan Sebagainya, Kebiasaan Keikhlasan ini susah hendak dikawal di Peringkat Pimpinan atasan , Atas Keimanan masing-masinglah Ahli bawahan InsyaAllah.....

    BalasPadam
  13. Nabi Adam pun dipecat dari syurga. hasilnya kita semua ada di dunia ini. Allah ciptakan sesuatu yang hanya DIA saja tahu disebaliknya wpun kita tak suka/setuju. Allah lebih tahu. Untuk Dr Hassan muhasabahlah . Untuk Pimpinan bersyuralah.

    BalasPadam
  14. Tujuan admin post berkaitan sejarah ni, adalah utk nak cerita balik kpd generasi2 baru bahawa pecat dan buang keahlian ni bukan perkara baru..dah lama berlaku dalam PAS dan perkara biasa bahkan berlaku kpd smua organisasi politik Islam d seluruh dunia. Cuma beza dulu xde facebook dan internet. Xpayah la pergi jauh, menyimpang dari tajuk dan ia hnya mengisahkan sejarah PAS

    BalasPadam