Rabu, 13 Januari 2010

GEREJA DAN HAK-HAK ORANG BUKAN ISLAM DALAM ISLAM

Alhamdulillah sekali lagi kita berjumpa dan dipanjangkan umur untuk bersama-sama mengambil mutiara-mutiara ilmu dengan ulama-ulama Al Azhar As Sharif.Perbincangan kita pada kali ini berkisar tentang hukum yang berkaitan dengan hak-hak bukan Islam termasuk dengan rumah-rumah ibadah mereka dan lain-lain.Ini rentetan dari peristiwa pengeboman ke atas beberapa gereja di Malaysia kerana ketidakpuasan hati terhadap keputusan mahkamah membenarkan penggunaan kalimah Allah ke atas akhbar mingguan Gereja Khatolik,Herald.

Seperti biasa izinkan saya fokuskan perbincangan kali ini kepada beberapa bahagian.

ISLAM MENJAMIN HAK-HAK BUKAN ISLAM DALAM MASYARAKAT ISLAM

Islam telah menetapkan bahawa hak orang bukan Islam (Ahli Zimmi) adalah seperti orang Islam kecuali pada beberapa perkara yang telah di tetapkan oleh Islam.

Islam menjamin keselamatan orang bukan Islam dari beberapa sudut:

1.Serangan dari musuh luar

2.Kezaliman yang berlaku ke atas mereka

3.Tubuh badan serta nyawa

4.Harta

5.Budaya dan amalan-amalan dalam kehidupan mereka seperti menyembah berhala dan lain-lain

6.Kebebasan beragama

7.Kebebasan bekerja dan muamalat-muamalat harian

Dan banyak lagi(1).

Ulama bersepakat mengatakan harta ahli zimmi berstatus haram, tidak boleh dilakukan sebarang jenayah ke atasnya. Bahkan ulama Syafieyyah menyatakan hukum berdosa perbuatan sesiapa yang memusnahkan harta zimmi termasuk arak dan khinzir sekiranya mereka tidak menzahirkan budaya arak dan khinzir walaupun tidak perlu membayar ganti rugi.(2).

Sabda Nabi Muhammad saw :

أَلَا مَنْ ظَلَمَ مُعَاهِدًا أَوْ انْتَقَصَهُ أَوْ كَلَّفَهُ فَوْقَ طَاقَتِهِ أَوْ أَخَذَ مِنْهُ شَيْئًا بِغَيْرِ طِيبِ نَفْسٍ فَأَنَا حَجِيجُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksud : Sesungguhnya sesiapa yang menzalimi kafir zimmi/musta’man atau menghinanya atau menyuruhnya melakukan sesuatu diluar kemampuannya atau mengambil sesuatu miliknya tanpa keredhaanya maka aku akan menjadi pendakwanya di hari akhirat. (Riwayat Abu Daud (3/347) no 3052)

Sesiapa yang merosakkan harta zimmi maka hendaklah diganti kerugiaan (dhoman) harta tersebut melainkan arak dan khinzir. Mazhab Hanafi dan Maliki mewajibkan dhoman arak dan khinzir, manakala Mazhab Syafie dan Hanbali tidak mewajibkannya.(3).

Islam adalah adil untuk semua manusia tidak mengira agama dan bangsa. Islam juga menjamin hak-hak bukan Islam apabila dalam peperangan.

Imam Yusuf Qaradhawi dalam kitab terbarunya Feqh Jihad menulis 1 bab yang bertajuk ‘Perlembagaan Tentang Akhlak Bagi Peperangan Dalam Islam’. Di sana Islam melarang tentera-tentera Islam membunuh perempuan, kanak-kanak, orang yang lemah, merosakkan tumbuh-tumbuhan, pokok-pokok, kayu-kayan, meruntuhkan serta merosakkan rumah-rumah kediaman dan lain-lain(4).

Ibnu Abbas sahabat besar Rasulullah Saw pernah mengatakan: ‘Mana-mana kawasan Ajam(bukan Arab) yang dibuka dengan izin Allah melalui kekuatan Islam, maka penduduk asal yang bukan Arab boleh mengekalkan binaan mereka’.

Ibnu Qudamah ada berkata: ‘Itu adalah kerana walaupun para sahabat membuka banyak Negara baru melalui jalan peperangan, tidak sama sekali mereka merobohkan mana-mana gereja’. Dan beliau menyambung lagi dengan mengatakan ‘Khalifah Umar Abd Aziz menulis kepada petugas-petugasnya agar tidak merosakkan gereja, biara-biara, rumah api(tempat ibadah) kerana telah ijma’ atas perkara itu, dan tidak dapat dinafikan wujud di Negara-negara umat Islam(5).

Jelaslah bahawa Islam menjamin hak-hak orang bukan Islam walaupun dalam apa jua keadaan. Maka kesimpulannya kita sebagai umat Islam di larang merosakkan rumah-rumah ibadah orang bukan Islam apatah lagi dalam keadaan tanah air aman dari peperangan.

RUMAH-RUMAH IBADAH DAN GEREJA DALAM ISLAM

Sebelum ini kita telah mengetahui kita sebagai umat Islam dilarang merosakkan rumah-rumah ibadah mereka. Sebagai tambahan, kita wajib mengetahui hukum-hukum yang lain berkaitan dengan gereja . Tidak dapat tidak kita kena mengetahiunya kerana kita hidup dalam masyarakat berbilang kaum.

1.BINA GEREJA

Ulama-ulama telah berselisih pendapat pada masalah ini. Bagi saya , cenderung kepada pendapat yang membenarkan pembinaan gereja dalam masyarakat Islam kerana mengikut pendapat Imam Yusuf Qaradhawi. Beliau menyebut dalam kitab beliau bahawa sebab beliau memilih pendapat ini kerana melihat, meneliti dan mengkaji nas-nas Al Quran, Maqasid Syariyyah, masa dan suasana yang berubah serta kefahaman masyarakat berbeza mengikut Negara. Beliau menyebut lagi bahawa kebanyakkan dalil-dalil adalah tidak jelas tentang pengharaman itu(6).

2.ROBOH GEREJA

Mengikut kajian penulis jumhur (majoriti) ulamak menyatakan tidak dibenarkan membina rumah ibadat baru di Negara tersebut kerana tidak harus dibina tempat perkumpulan orang kafir di negara milik muslim . Jadi mana-mana binaan rumah ibadat baru yang dibuat hendaklah diroboh. Mana-mana binaan yang telah wujud tidak boleh dimusnahkan.

Pendapat kedua iaitu Mazhab Zaidiyyah menyatakan harus bagi zimmi membina rumah ibadat baru sekiranya dibenarkan oleh Imam (ketua negara) jika dilihat ada maslahat.(7). Jadi berdasarkan pendapat ini tidak boleh dirobohkan rumat ibadat yang telah dibenarkan sama ada baru atau lama.

Pandangan kedua ini dipilih oleh Dr. Abdul Karim Zaidan dalam kitabnya Ahkam Al-Zimiyyin. Pandangan ini menjadi pegangan sesetengah negara arab Timur Tengah seperti Iraq.

3.MENBINA SEMULA GEREJA SETELAH DIMUSNAHKAN

Yang dimaksudkan adalah membina sebagaimana yang asal tanpa menambah keluasannya. Ulamak juga berselisih pendapat dalam masalah ini kepada dua pandangan.(8).

Pandangan Jumhur mengharuskan kerana binaan tidak akan kekal selama-lamanya. Oleh kerana al Imam telah membenarkannya kekal di tangan mereka, keizinan tersebut turut mengandungi kebenaran membinanya kembali.

Pandangan kedua iaitu sebahagian Syafieyyah dan Mazhab Hanbali tidak membenarkan binaan yang musnah berdasarkan sabda Nabi Muhammad saw :

لَا تُبْنَى الْكَنِيسَةُ فِي الْإِسْلَامِ وَلَا يُجَدَّدُ مَا خَرِبَ مِنْهَا

Maksud: Tidak dibina gereja dalam Islam dan tidak boleh diberbaharui apa yang musnah darinya.(dikeluarkan oleh Ibnu ’Adi dalam kitabnya Al-Kamil, sanadnya dhoif menurut al-Zaila’ie, Nasbu Al-Rayah 3/154)

4.ORANG ISLAM MEMASUKI GEREJA

Secara kesimpulannya terdapat tiga pandangan ulamak dalam masalah ini.

Pandangan Mazhab Hanafi menyatakan hukumnya makruh kerana ia merupakan tempat berhimpun syaitan di dalamnya.

Mazhab Maliki, Hanbali dan sebahagian Syafieyyah mengharuskannya,

Pandangan ketiga iaitu pendapat kedua Mazhab Syafie mensyaratkan keizinan daripada non muslim untuk memasukinya.(9).

Inilah perbahasan ringkas yang diutarakan oleh ulamak silam tentang tempat ibadat non muslim. Perbahasan yang terperinci ini menggambarkan betapa ulamak mengambil berat masalah non muslim dalam Negara umat Islam. Hakikat ini perlu didedahkan kepada umum supaya mereka mengetahui sikap Islam yang sebenarnya.

Semoga memberi manfaat kepada kita semua.

Rujukan:

1.Qhairul Muslimin Fi Mujtama’ Islami ms 12.

2.Mausuah Fiqhiah Kuwaitiah 36/40, Mugni Muhtaj 6/78.

3.Mugni Ibnu Qudamah 5/298-299,Mausuah Fiqhiah Kuwaitiah 13/170,Feqh Islami Wa Adillatuh 8/43.

4.Feqh Jihad 1/725.

5.Al Mugni 10/609.

6.Feqh Jihad 2/924.

7.Mausuah Fiqhiah Kuwaitiah 38/151-152,Ahkam Zimmiyyin 84-85.

8.Al Mugni 8/528,Raudah At Talibin 10/324,Muasuah Fiqhiah Kuwaitiah 38/153.

9.Muasuah Fiqhiah Kuwaitiah 20/246,Mugni Muhtaj 6/80.

27 Muharram 1431

Tiada ulasan:

Catat Ulasan