Sabtu, 2 Januari 2010

Sambutan Tahun Baru Masihi, Satu Pandangan.


Alhamdulillah..Segala pujian dipanjatkan kepda Allah S.W.T atas luangan masa dan tenaga yang diberikan kepada saya untuk berkongsi serba sedikit tentang pandangan dan perbincangan ulamak Al-Azhar dan yang lainnya berkaitan sambutan tahun baru masihi yang diraikan setiap awal tahun oleh kebanyakan orang samada yang beragama nasrani mahupun Islam. Semoga Allah Ta’ala memberi petunjuk kepada kita semua dalam mencari kebenaran.

1 Januari adalah hari pertama bagi permulaan tahun dalam kalender Gregory. Kalendar Gregory yang disebarluas pada tahun 1582 sebagai menggantikan kelendar Julius tidak menetapkan 1 Januari sebagai Hari Tahun Baru ataupun hari pertama untuk tahun yang dinomborkannya. Pada tanggal 1 Januari 1622 barulah ditetapkan 1 Januari sebagai permulaan tahun. Sebelumnya setiap negara Eropah berbeza-beza dalam menetapkan hari pertama bagi tahun baru. England misalnya baru mula menggunakan 1 Januari sebagai Hari Tahun Baru pada tahun 1752. Sebelum ini dan sejak abad ke-13, tahun baru bermula dengan 25 Mac. Tarikh ini bertepatan dengan hari Jesus mula dikandung Maria seperti kepercayaan mereka dan pada tarikh ini juga Jesus disalib.

Setiap tahun bila tiba 1 Januari seluruh dunia akan meraikan sambutan tahun baru. Malaysia antara Negara yang meraikannya dengan penuh gilang gemilang.. 1 Januari juga adalah salah satu hari perayaan keagamaan bagi sesetengah Mazhab Kristian.walaupun mereka menganggap hari kelahiran Nabi Isa (Hari Natal) jatuh pada 25 Disember ,1 Januari tetap juga disambut sebagai permulaan tahun baru Masihi.(1)

Sesetengah ahli sejarah kristian mengangap Nabi Isa lahir setahun sebelum masihi . Ada juga yang berpendapat empat tahun sebelum masihi.(2)

Persoalannya adakah harus kepada orang Islam meraikan sambutan tahun baru ini? adakah dikira mengiktiraf agama Kristian dan terkeluar dari Islam apabila ada orang Islam meraikannya? ataupun meraikannya diaggap mengada-adakan berkara yang baru dalam agama dan sesat?. Malaysia khususnya merupakan Negara yang berbilang kaum dan agama yang memerlukan lebih toleransi dan pergaulan yang baik antara rakyat, adakah dibolehkan menyambutnya dalam kedaan ini?. Segala persoalan ini harus dijawab oleh para ilmuan Islam dengan pertimbangan yang adil sesuai dengan maqasid syariah dan tidak hanya melihat pada pendapat dan hujah yang dicenderungi sahaja.

Sekarang, mari sama-sama kita meniliti pandangan Ulamak dalam masalah yang dibincangkan..

Pertama: Ulamak telah bersepakat mengharamkan orang Islam merayakan sambutan tahun baru sebagai perayaan keagamaan serta menganggapnya dii’tiraf oleh Islam atau menyertai mana-mana upacara keagamaan yang dilakukan oleh orang bukan Islam.(3)

Kedua: Ulamak berselisih pendapat tentang hukum meraikan sambutan tahun baru sebagai sambutan kemasyarakatan dan adat serta jauh dari tanggapan sebagai upacara keagamaan.

Pendapat Pertama: HARAM meraikan sambutan tahun baru.

Dalil Pengharaman:
1. Sambutan tahun baru merupakan perayaan keagamaan bagi agama Nasrani dan Yahudi. syariat Islam telah melarang mengikuti upacara keagamaan mereka.Firman Allah S.W.T:

لِكُلٍّ۬ جَعَلۡنَا مِنكُمۡ شِرۡعَةً۬ وَمِنۡهَاجً۬ا‌ۚ
“Untuk tiap-tiap umat di antara kamu ,Kami jadikan aturan dan jalan yang terang”.
(Al-Maidah 48).

2. Riwayat dari Imam Tabari dan Imam Tarmizi dengan sanad yang dhoif. Sesungguhnya Nabi S.A.W bersabda:”Bukanlah dari kalangan kami sesiapa yang menyerupai selain daripada kalangan kami.janganlah menyerupai yahudi dan nasrani.Sesungguahnya salam orang Yahudi itu memberi isyarat dengan jari dan salam orang Nasrani itu dengan menegakkan tapak tangan”.

3. Merayakan tahun baru masihi boleh menjatuhkan identiti Islam yang berberbeza dengan agama yang lain.kerana islam hanya mengiktiraf hari Raya Puasa dan hari raya haji sahaja.

4. Hadis yang diriwayatkan oleh Syaikhani daripada Sayyidatina ‘Aisyah R.A : Sesungguhnya Nabi S.A.W bersabda: ”Barang siapa yang mendatangkan perkara baru dalam urusan agama kami apa yang bukan darinya makan ia ditolak”.

5. Perayaan tahun baru kebiasaannya bercampur dengan perkara mungkar seperti minum arak dan pergaulan bebas.maka menjauhi perkara tersebut adalah wajib.

6. Tidak sabit dari Rasulullah S.A.W dan para Sahabat merayakannya.maka asal perkara ini adalah dilarang.

Pendapat Kedua: HARUS meraikan sambutan tahun baru sebagai sambutan kemasyarakatan (ijtima’i) dan adat sekiranya tidak bercampur dengan perkara yang mungkar seperti minum arak dan perbuatan yang fasiq.Inilah pendapat kebanyakan Ulamak masa kini.

Dalil Pengharusan:

1. Umum firman Allah S.W.T:

لَّا يَنۡهَٮٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَـٰتِلُوكُمۡ فِى ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَـٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡہِمۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِين

“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu dan membantu orang lain untuk mengusirmu”.(Al-Mumtahinah 8).

2. Kebanyakan Fuqahak mazhab Syafi’e,Hanafi dan Hambali berpendapat harus menerima jemputan walimah orang bukan Islam yang tidak bercampur dengan perkara yang ditegah syara’.(4) Sesetengah Ulamak pula berpendapat tidak harus kerana ditakuti bercampur makanan mereka dengan yang haram dan najis.

Pendapat Jumhur tersebut berdalilkan Hadis Riwayat Syaikhani daripada Ibnu Umar.Sabda Nabi S.A.W: “Apabila dijemput salah seorang dari kamu untuk ke walimah maka penuhilah jemputan tersebut”(5)

Dan Firman Allah S.W.T:
وَطَعَامُ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَـٰبَ حِلٌّ۬ لَّكُمۡ وَطَعَامُكُمۡ حِلٌّ۬ لَّهُمۡ‌ۖ
“Dan makanan Ahli Kitab itu halal untuk kamu dan makanan kamu halal untuk mereka”(Al-Maidah, 5)

Apabila Jumhur Ulamak telah berpendapat harus menerima jemputan orang bukan Islam, maka haruslah juga menyertai mereka dalam sambutan kemasyarakatan dan bukan keagamaan.

3. Umat Islam sebenarnya lebih utama dan lebih layak untuk menyambutnya sebagai perayaan keagamaan berdalilkan hadis riwayat Syaikhani daripada Ibnu Abbas R.A bahawa Nabi S.A.W ketika sampai di Madinah mendapati orang Yahudi berpuasa pada Hari As Syura. Apabila ditanya kenapa kalian berpuasa? mereka menjawab,Allah telah mnyelamatkan Nabi Musa dan Bani Israil dari kejahatan firaun pada hari ini. maka sebab itu kami berpuasa pada hari ini sebagai memuliakannya.lalu Nabi S.A.W bersabda: ”Kami lebih layak dari kalian untuk memuliakan Nabi Musa”.maka Baginda memerintahkan untuk berpuasa.(6)

4. Sambutan tahun baru yang diraikan oleh masyarakat Islam hanyalah sambutan berbentuk kemasyarakatan dan adat yang terserlah padanya amalan-amalan mulia yang menepati syariah sebagaimana yang dituntut seperti tolong menolong dalam perkara kebaikan dan taqwa, meraikan hak-hak persaudaraan insan, memberi hadiah,berbalas ucapan dan doa seperti “selamat tahun baru”, “moga sepanjang tahun kamu dalam kedaan baik” dan sebagainya. Kalau dilihat kepada semua amalan ini,ia tidaklah bercanggah dengan Islam ataupun menyerupai ibadat khusus orang bukan Islam.

5. Rasulullah S.A.W tidak menyambut tahun baru sebagai sambutan kemasyarakatan pada zamanNya tidaklah bermakna ianya haram.tetapi disebabkan orang Yahudi dan Nasrani pun tidak menyambutnya ketika itu. Malah pada masa itu dakwah Islam masih lagi pada peringkat permulaan yang berhajat kepada perbezaannya dengan ajaran yang lain sehinggalah agama Islam dapat berkembang dan tertegak dengan kukuh.

Hujah ini dikuatkan dengan Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Anas R.A bahawa Nabi S.A.W pernah menziarahi khadamNya seorang Yahudi ketika beliau sakit. Lalu Baginda duduk dekat dengan kepalanya dan berkata: “Peluklah islam! Lalu Yahudi tersebut memandang ayahnya yang berada disisi.ayahnya berkata: Taatilah Abu Qasim!,kemudian Yahudi itu memeluk Islam. Lalu Rasulullah S.A.W keluar dari sisinya dan berSabda: “Segala puji bagi Allah yang telah mnyelamatkannya dari neraka”. Kisah ini menunjukkan pergaulan yang baik dengan bukan Islam boleh menyebabkan hati mereka tertarik dan mendapat hidayah Allah Ta’ala.(7)

Segala perbincangan di atas menjelaskan kepada kita kebanyakan Ulamak mengharuskan sambutan tahun baru diadakan sebagai sambutan kemasyarakatan dan adat seperti program kemasyarakatan semperna tahun baru, memberi hadiah, berbalas ucapan dan mengadakan jamuan selagi tidak terdapat unsur-unsur yang bercanggah dengan syariah seperti minum arak, pergaulan bebas, menyerupai ibadat agama lain dan sebagainya.

Dr Yusof Al-Qardhawi dalam kitabnya “Dirasah Fi Fiqhi Maqasid Asy-syariah” menyebutkan harus kepada seorang muslim atau institusi Islam mengucapkan tahniah kepada orang bukan Islam sempena hari perayaan mereka samaada dengan lisan ataupun kad ucapan yang tidak menunjukkan persamaan dengan syiar agama mereka dan redha dengannya serta jelas bercanggah dengan syariah Islam.

Diriwayatkan penah seorang majusi berkata kepada Ibnu Abbas: “Assalamualaikum”.Maka Ibnu Abbas menjawab: “Wa’alaikumussalam WarahmatuLLAH”.lalu bertanya sesetengah sahabatnya: “Kamu katakan “WarahmatuLLAh”?,jawab Ibnu Abbas: “Bukankah dia hidup dengan Rahmat Allah”?.(8)

Majlis Fatwa Dan Kajian Eropah juga memutuskan perkara yang sama pada Qarar mereka yang bernombor (3/6).(9)

Firman Allah S.W.T:

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ۬ فَحَيُّواْ بِأَحۡسَنَ مِنۡہَآ أَوۡ رُدُّوهَآ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَىۡءٍ حَسِيبًا
“Apabila kamu dihormati dengan suatu penghormatan,maka balaslah penghormtan itu dengan yang lebih baik atau balaslah dengan yang serupa”.(An-Nisa’:86)

Kesimpulannya,saya berpendapat seperti kebanyakan Ulamak yang mengharuskan umat Islam untuk meraikan sambutan tahun baru Masihi lebih-lebih lagi tahun baru Hijrah dengan aktiviti-aktiviti yang baik seperti berhimpun beramai-beramai, berbalas ucapan dan hadiah,menghadiri jamuan,walaupun jamuan itu dianjurkan oleh orang bukan Islam seperti yang dilakukan oleh sesetengah pemimpin Islam di beberapa buah negeri selagi tidak menyertai ibadat khusus mereka. Malah amalan-amalan seperti ini sangat sesuai dilakukan di Malaysia yang masyarakatnya berbilang kaum dan agama untuk lebih menzahirkan keadilan Islam dan melahirkan sikap toleransi dalam meraikan hak-hak bersama selagi tidak bertentangan dengan perinsip agama. Cuma apa yang sedikit mengecewakan ialah sambutan tahun baru Masihi diraikan oleh umat-umat Islam termasuk di Negara kita lebih meriah berbanding dengan sambutan hari-hari kebesaran Islam terutama pada awal Muharram. Hal seperti ini harus diubah agar hari-hari kebesaran islam pun diraikan dengan meriah malah lebih meriah supaya agama Islam lebih dapat dihayati oleh masyarakat dalam kehidupan mereka.

Selamat Tahun Baru 2010.

Waallahu A’lam.


Rujukan.
1. http://id.wikipedia.org
2. Tarikh Al-Anbiyak Warrusul Wartibatu Zamani Wal-‘aqaidi (ms:295)
3. Thalathun Qadhiyyah Fi Masail Al-Fiqhiyyah Al-Ijtima’yyah Al-Mu’asorah, Dr Sa’aduddin Mus’ad hilali (ms:136)
4. Al-Fiqhu ‘ala Mazahib Al-Arba’ah.(2/ms:33-35)
5. Sahih Al-Bukhari. (3/5173)
6. Sahih Al-Bukhari. (3/3943)
7. Thalathun Qadhiyyah Fi Masail Al-Fiqhiyyah Al-Ijtima’yyah Al-Mu’asorah, Dr Sa’aduddin Mus’ad hilali (ms:138)
8. Dirasah Fi Fiqhi Maqasid Asy-syariah.(ms:274)
9. Qararat Wafatawa Al-Majlis Al-Oroba Lil-Ifta’ Wal-Buhuth.Fatwa (33),Qarar(3/6).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan