Rabu, 6 Januari 2010
PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH KEPADA BUKAN ISLAM
Alhamdulillah saya panjatkan kesyukuran kepada Allah Taala kerana dipanjangkan usia untuk terus mendalami ilmu dari ulama-ulama Al Azhar As Sharif. Pada kesempatan kali ini saya ingin berkongsi keberkatan ilmu dari ulama-ulama terdahulu tentang satu isu yang sedang hangat diperkatakan dan diperbahaskan oleh masyarakat kita di Malaysia. Isu kali ini sedikit hangat kerana melibatkan non-muslim iaitu ‘Penggunaan Kalimah Allah Kepada Bukan Islam’.
Isu ini tercetus rentetan daripada tindakan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan membenarkan akhbar mingguan terbitan Gereja Katholik, Herald menggunakan kalimah Allah sebagai ganti God dalam Bahasa Inggeris.
Sebelum kita teruskan perbincangan ini, sama-samalah kita pohon pertolongan dari Allah Taala supaya memandu kita untuk memahami isu ini dengan ilmu dan bukan dengan hawa nafsu demi untuk kebaikan Islam dan penganut-penganutnya Insyaallah.
Kita perlu fokuskan isu ini kepada beberapa bahagian.
Bahagian pertama hukum orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah.
Kebanyakan ulama-ulama membenarkannya seperti Syeikh Fauzi Az Zafzaf (Bekas Timbalan Rektor Al Azhar As Sharif dan sekarang Pengerusi Jawatankuasa Dialog Antara Agama Universiti Al Azhar As Sharif). Walaupun begitu ada juga ulama-ulama yang tidak membenarkannya seperti Syeikh Abdul Muhsin Al Abikan(Penasihat Undang-Undang Kementerian Kehakiman Arab Saudi).
Izinkan saya mengutarakan pandangan ulama' yang membenarkan penggunaan kalimah Allah bagi orang bukan Islam.
1. Surah Ali Imran ayat 64 yang bermaksud ‘Katakanlah(wahai Muhammad) ‘Wahai Ahli Kitab,marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah ,dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun, dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewa selain dari Allah. Kemudian jika mereka(Ahli Kitab) berpaling(enggan menerimanya)maka katakanlah kepada mereka ‘Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam’.
2. Surah Al Ankabut ayat 61 yang bermaksud ‘Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka ‘Siapakah yang menjadikan langit dan bumi dan menundukkan matahari dan bulan? Tentu mereka akan menjawab Allah,maka betapakah mereka dapat dipalingkan dari jalan yang benar’.
3. Surah Al Ankabut ayat 63 yang bermaksud ‘Dan sesungguhnya jika kamu menanyakan kepada mereka ‘Siapakah yang menurunkan air dari langit lalu menghidupkan dengan air itu bumi sesudah matinya? Tentu mereka akan menjawab Allah. Katakanlah ‘Sesungguhnya puji bagi Allah, tetapi kebanyakan mereka tidak memahaminya’.
4. Surah Al Ankabut ayat 65 yang bermaksud ‘Dalam pada itu,apabila mereka naik bahtera lalu menemui sesuatu bahaya di laut, mereka memohon pertolongan kepada Alah dengan doa yang tulus ikhlas kepadaNya. Kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka(naik) ke darat, mereka berlaku syirik kepadaNya.
5. Surah Luqman ayat 25 yang bermaksud ‘Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad )bertanya kepada mereka (yang musyrik itu )‘Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?Sudah tentu mereka akan menjawab Allah. Ucapkanlah (wahai Muhammad ) ‘Alhamdulillah’,bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui .
6. Surah Al Mukminum ayat 86-87 yang bermaksud ‘Tanyakanlah lagi ‘Siapakah Tuhan yang memiliki dan mentadbirkan Langit Yang Tujuh, dan Tuhan yang mempunyai Arash Yang Besar? Meraka akan menjawab ‘(Semuanya) kepunyaan Allah’. Katakanlah ‘Mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?.
7. Surah Al Zukhruf ayat 87-88 yang bermaksud ‘Dan sesungguhnya , jika kamu (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka ‘Siapakah yang menciptakan mereka? Sudah tentu mereka akan menjawab Allah. (jika demikian)maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dialah Tuhan yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata ‘Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!.
8. Rasulullah Saw bersabda yang bermaksud: ‘Tidak akan berlaku kiamat kecuali tidak ada lagi di bumi ini orang menyebut Allah ‘Allah’.(2)
9. Dalam bab Sumpah dalam kitab feqh, ada satu bab yang bertajuk ‘Taqhlizh Al Yamin Bil Lafhzi Wa Bizzaman Wal Makan(Bersumpah Dengan Bersungguh-sungguh Dengan Lafaz ,Masa Dan Tempat)’.
‘Adapun orang kafir yang bukan muslim maka bolehlah bersumpah dengan bersungguh-sungguh di sisi Mazhab Hanbali dan sekiranya Qadhi mahukan sumpah tersebut di sisi Mazhab Hanafi dan Syafie dan pendapat yang marjuh di sisi Mazhab Maliki.
Sekiranya orang yang bersumpah itu Yahudi, maka bersumpahlah dengan lafaz ‘Dengan nama Allah yang menurunkan kitab Taurat kepada nabi Musa’. Tambahan dari mazhab Syafie ‘Dan yang menyelamatkannya dari tenggelam’.
Sekiranya orang yang bersumpah itu Nasrani, maka bersumpahlah dengan lafaz ‘Dengan nama Allah yang menurunkan kitab Injil kepada nabi Isa’.
Sekiranya orang yang bersumpah itu Majusi atau Wasani,maka bersumpahlah dengan lafaz ‘Dengan nama Allah yang menjadikan kamu ‘.(3)
Saya yakin dan percaya sahabat-sahabat sudah pun memahami isu ini dengan jelas dengan dalil-dalil dari Al Quran, Hadis dan kalam ulama-ulama yang muktabar. Bolehlah saya simpulkan bahawa pada asasnya Allah adalah untuk semua manusia di dunia ini tidak mengira agama.
Bahagian yang kedua ,situasi ,suasana dan keadaan yang berlaku di tanah air.
Selama saya berada di Mesir dan pengamatan saya, aliran Kristian di negara-negara arab seperti Mesir meletakkan kalimah Allah di dalam gereja –gereja dan restoran –restoran mereka. Mereka sememangnya menganggap Allah Taala adalah Tuhan yang menciptakan manusia dan memberi rezeki. Bahkan mereka menggunakan kalimah Allah Taala sejak ribuan tahun lagi.
Situasi ini sangat berbeza dengan aliran Kristian di negara barat dan Malaysia. Sejak awal lagi mereka tidak pernah menggunakan kalimah Allah sebagai merujuk kepada Tuhan yang mereka sembah di dalam upacara ibadat, penerbitan dan gereja-geraja mereka. Sebaliknya mereka menggunakan kalimah God sebagai tuhan mereka dan Jesus merujuk kepada Nabi Isa.
Apabila timbul isu ini, maka tercetuslah kesangsian di kalangan umat Islam. Apakah motif sebenar penggunaan kalimah Allah tersebut.J ika untuk tujuan ibadah tidak pernahlah pula mereka menggunakan kalimah tersebut sebelum ini. Penggunaan kalimah Allah oleh pihak tersebut tanpa motif yang jelas menimbulkan prasangka dan kebimbangan oleh umat Islam serta dibimbangi berlakunya penyalahgunaan kalimah Allah(1).
Dalam konteks masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian pelbagai kaum dan agama walaupun hukum membenarkannya.
Mungkin saya dapat simpulkan bahawa kebimbangan oleh umat Islam di Malaysia adalah pada tujuan, niat atau motif sebenar pihak tersebut untuk menggunakannya serta dibimbangi berlakunya penyalahgunaan kalimah Allah dan bukan pada hukum penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.
Kesimpulannya;
1. Mendapatkan penjelasan dari pihak tersebut motif sebenar penggunaan kalimah Allah supaya tidak berlaku penyalahgunaan kalimah tersebut.
2. Menganjurkan dialog atau seminar untuk menjelaskan isu ini supaya tidak berlaku kekeliruan dan penyalahgunaan kalimah Allah. Ini semua bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip-prinsip keadilan seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam.
3. Memastikan kalimah Allah tidak disalahgunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama di tanah air khusunya dan Islam amnya.
4. Menyediakan garis panduan dan mewujudkan undang-undang serta hukuman sekiranya menyalahgunakan kalimah Allah ini.
Alhamdulillah saya mengharapkan sahabat-sahabat semakin jelas dalam memahami isu ini dan bersependapat dengan saya. Kita akan bersama-sama menentang sekiranya ada pihak-pihak yang cuba menyalahgunakan kalimah Allah yang mulia ini.
Rujukan:
1.Ustaz Nasruddin Hassan At Tantawi –Episode Sebuah Perjuangan (Isu Penggunaan Kalimah Allah)
2.Sahih Muslim 1/354.
3.Feqh Islami Wa Adillatuh 8/6071.
20 Muharram 1431 H.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan