Rabu, 13 Januari 2010

GEREJA DAN HAK-HAK ORANG BUKAN ISLAM DALAM ISLAM

Alhamdulillah sekali lagi kita berjumpa dan dipanjangkan umur untuk bersama-sama mengambil mutiara-mutiara ilmu dengan ulama-ulama Al Azhar As Sharif.Perbincangan kita pada kali ini berkisar tentang hukum yang berkaitan dengan hak-hak bukan Islam termasuk dengan rumah-rumah ibadah mereka dan lain-lain.Ini rentetan dari peristiwa pengeboman ke atas beberapa gereja di Malaysia kerana ketidakpuasan hati terhadap keputusan mahkamah membenarkan penggunaan kalimah Allah ke atas akhbar mingguan Gereja Khatolik,Herald.

Seperti biasa izinkan saya fokuskan perbincangan kali ini kepada beberapa bahagian.

ISLAM MENJAMIN HAK-HAK BUKAN ISLAM DALAM MASYARAKAT ISLAM

Islam telah menetapkan bahawa hak orang bukan Islam (Ahli Zimmi) adalah seperti orang Islam kecuali pada beberapa perkara yang telah di tetapkan oleh Islam.

Islam menjamin keselamatan orang bukan Islam dari beberapa sudut:

1.Serangan dari musuh luar

2.Kezaliman yang berlaku ke atas mereka

3.Tubuh badan serta nyawa

4.Harta

5.Budaya dan amalan-amalan dalam kehidupan mereka seperti menyembah berhala dan lain-lain

6.Kebebasan beragama

7.Kebebasan bekerja dan muamalat-muamalat harian

Dan banyak lagi(1).

Ulama bersepakat mengatakan harta ahli zimmi berstatus haram, tidak boleh dilakukan sebarang jenayah ke atasnya. Bahkan ulama Syafieyyah menyatakan hukum berdosa perbuatan sesiapa yang memusnahkan harta zimmi termasuk arak dan khinzir sekiranya mereka tidak menzahirkan budaya arak dan khinzir walaupun tidak perlu membayar ganti rugi.(2).

Sabda Nabi Muhammad saw :

أَلَا مَنْ ظَلَمَ مُعَاهِدًا أَوْ انْتَقَصَهُ أَوْ كَلَّفَهُ فَوْقَ طَاقَتِهِ أَوْ أَخَذَ مِنْهُ شَيْئًا بِغَيْرِ طِيبِ نَفْسٍ فَأَنَا حَجِيجُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksud : Sesungguhnya sesiapa yang menzalimi kafir zimmi/musta’man atau menghinanya atau menyuruhnya melakukan sesuatu diluar kemampuannya atau mengambil sesuatu miliknya tanpa keredhaanya maka aku akan menjadi pendakwanya di hari akhirat. (Riwayat Abu Daud (3/347) no 3052)

Sesiapa yang merosakkan harta zimmi maka hendaklah diganti kerugiaan (dhoman) harta tersebut melainkan arak dan khinzir. Mazhab Hanafi dan Maliki mewajibkan dhoman arak dan khinzir, manakala Mazhab Syafie dan Hanbali tidak mewajibkannya.(3).

Islam adalah adil untuk semua manusia tidak mengira agama dan bangsa. Islam juga menjamin hak-hak bukan Islam apabila dalam peperangan.

Imam Yusuf Qaradhawi dalam kitab terbarunya Feqh Jihad menulis 1 bab yang bertajuk ‘Perlembagaan Tentang Akhlak Bagi Peperangan Dalam Islam’. Di sana Islam melarang tentera-tentera Islam membunuh perempuan, kanak-kanak, orang yang lemah, merosakkan tumbuh-tumbuhan, pokok-pokok, kayu-kayan, meruntuhkan serta merosakkan rumah-rumah kediaman dan lain-lain(4).

Ibnu Abbas sahabat besar Rasulullah Saw pernah mengatakan: ‘Mana-mana kawasan Ajam(bukan Arab) yang dibuka dengan izin Allah melalui kekuatan Islam, maka penduduk asal yang bukan Arab boleh mengekalkan binaan mereka’.

Ibnu Qudamah ada berkata: ‘Itu adalah kerana walaupun para sahabat membuka banyak Negara baru melalui jalan peperangan, tidak sama sekali mereka merobohkan mana-mana gereja’. Dan beliau menyambung lagi dengan mengatakan ‘Khalifah Umar Abd Aziz menulis kepada petugas-petugasnya agar tidak merosakkan gereja, biara-biara, rumah api(tempat ibadah) kerana telah ijma’ atas perkara itu, dan tidak dapat dinafikan wujud di Negara-negara umat Islam(5).

Jelaslah bahawa Islam menjamin hak-hak orang bukan Islam walaupun dalam apa jua keadaan. Maka kesimpulannya kita sebagai umat Islam di larang merosakkan rumah-rumah ibadah orang bukan Islam apatah lagi dalam keadaan tanah air aman dari peperangan.

RUMAH-RUMAH IBADAH DAN GEREJA DALAM ISLAM

Sebelum ini kita telah mengetahui kita sebagai umat Islam dilarang merosakkan rumah-rumah ibadah mereka. Sebagai tambahan, kita wajib mengetahui hukum-hukum yang lain berkaitan dengan gereja . Tidak dapat tidak kita kena mengetahiunya kerana kita hidup dalam masyarakat berbilang kaum.

1.BINA GEREJA

Ulama-ulama telah berselisih pendapat pada masalah ini. Bagi saya , cenderung kepada pendapat yang membenarkan pembinaan gereja dalam masyarakat Islam kerana mengikut pendapat Imam Yusuf Qaradhawi. Beliau menyebut dalam kitab beliau bahawa sebab beliau memilih pendapat ini kerana melihat, meneliti dan mengkaji nas-nas Al Quran, Maqasid Syariyyah, masa dan suasana yang berubah serta kefahaman masyarakat berbeza mengikut Negara. Beliau menyebut lagi bahawa kebanyakkan dalil-dalil adalah tidak jelas tentang pengharaman itu(6).

2.ROBOH GEREJA

Mengikut kajian penulis jumhur (majoriti) ulamak menyatakan tidak dibenarkan membina rumah ibadat baru di Negara tersebut kerana tidak harus dibina tempat perkumpulan orang kafir di negara milik muslim . Jadi mana-mana binaan rumah ibadat baru yang dibuat hendaklah diroboh. Mana-mana binaan yang telah wujud tidak boleh dimusnahkan.

Pendapat kedua iaitu Mazhab Zaidiyyah menyatakan harus bagi zimmi membina rumah ibadat baru sekiranya dibenarkan oleh Imam (ketua negara) jika dilihat ada maslahat.(7). Jadi berdasarkan pendapat ini tidak boleh dirobohkan rumat ibadat yang telah dibenarkan sama ada baru atau lama.

Pandangan kedua ini dipilih oleh Dr. Abdul Karim Zaidan dalam kitabnya Ahkam Al-Zimiyyin. Pandangan ini menjadi pegangan sesetengah negara arab Timur Tengah seperti Iraq.

3.MENBINA SEMULA GEREJA SETELAH DIMUSNAHKAN

Yang dimaksudkan adalah membina sebagaimana yang asal tanpa menambah keluasannya. Ulamak juga berselisih pendapat dalam masalah ini kepada dua pandangan.(8).

Pandangan Jumhur mengharuskan kerana binaan tidak akan kekal selama-lamanya. Oleh kerana al Imam telah membenarkannya kekal di tangan mereka, keizinan tersebut turut mengandungi kebenaran membinanya kembali.

Pandangan kedua iaitu sebahagian Syafieyyah dan Mazhab Hanbali tidak membenarkan binaan yang musnah berdasarkan sabda Nabi Muhammad saw :

لَا تُبْنَى الْكَنِيسَةُ فِي الْإِسْلَامِ وَلَا يُجَدَّدُ مَا خَرِبَ مِنْهَا

Maksud: Tidak dibina gereja dalam Islam dan tidak boleh diberbaharui apa yang musnah darinya.(dikeluarkan oleh Ibnu ’Adi dalam kitabnya Al-Kamil, sanadnya dhoif menurut al-Zaila’ie, Nasbu Al-Rayah 3/154)

4.ORANG ISLAM MEMASUKI GEREJA

Secara kesimpulannya terdapat tiga pandangan ulamak dalam masalah ini.

Pandangan Mazhab Hanafi menyatakan hukumnya makruh kerana ia merupakan tempat berhimpun syaitan di dalamnya.

Mazhab Maliki, Hanbali dan sebahagian Syafieyyah mengharuskannya,

Pandangan ketiga iaitu pendapat kedua Mazhab Syafie mensyaratkan keizinan daripada non muslim untuk memasukinya.(9).

Inilah perbahasan ringkas yang diutarakan oleh ulamak silam tentang tempat ibadat non muslim. Perbahasan yang terperinci ini menggambarkan betapa ulamak mengambil berat masalah non muslim dalam Negara umat Islam. Hakikat ini perlu didedahkan kepada umum supaya mereka mengetahui sikap Islam yang sebenarnya.

Semoga memberi manfaat kepada kita semua.

Rujukan:

1.Qhairul Muslimin Fi Mujtama’ Islami ms 12.

2.Mausuah Fiqhiah Kuwaitiah 36/40, Mugni Muhtaj 6/78.

3.Mugni Ibnu Qudamah 5/298-299,Mausuah Fiqhiah Kuwaitiah 13/170,Feqh Islami Wa Adillatuh 8/43.

4.Feqh Jihad 1/725.

5.Al Mugni 10/609.

6.Feqh Jihad 2/924.

7.Mausuah Fiqhiah Kuwaitiah 38/151-152,Ahkam Zimmiyyin 84-85.

8.Al Mugni 8/528,Raudah At Talibin 10/324,Muasuah Fiqhiah Kuwaitiah 38/153.

9.Muasuah Fiqhiah Kuwaitiah 20/246,Mugni Muhtaj 6/80.

27 Muharram 1431

Rabu, 6 Januari 2010

PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH KEPADA BUKAN ISLAM


Alhamdulillah saya panjatkan kesyukuran kepada Allah Taala kerana dipanjangkan usia untuk terus mendalami ilmu dari ulama-ulama Al Azhar As Sharif. Pada kesempatan kali ini saya ingin berkongsi keberkatan ilmu dari ulama-ulama terdahulu tentang satu isu yang sedang hangat diperkatakan dan diperbahaskan oleh masyarakat kita di Malaysia. Isu kali ini sedikit hangat kerana melibatkan non-muslim iaitu ‘Penggunaan Kalimah Allah Kepada Bukan Islam’.
Isu ini tercetus rentetan daripada tindakan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan membenarkan akhbar mingguan terbitan Gereja Katholik, Herald menggunakan kalimah Allah sebagai ganti God dalam Bahasa Inggeris.

Sebelum kita teruskan perbincangan ini, sama-samalah kita pohon pertolongan dari Allah Taala supaya memandu kita untuk memahami isu ini dengan ilmu dan bukan dengan hawa nafsu demi untuk kebaikan Islam dan penganut-penganutnya Insyaallah.
Kita perlu fokuskan isu ini kepada beberapa bahagian.

Bahagian pertama hukum orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah.

Kebanyakan ulama-ulama membenarkannya seperti Syeikh Fauzi Az Zafzaf (Bekas Timbalan Rektor Al Azhar As Sharif dan sekarang Pengerusi Jawatankuasa Dialog Antara Agama Universiti Al Azhar As Sharif). Walaupun begitu ada juga ulama-ulama yang tidak membenarkannya seperti Syeikh Abdul Muhsin Al Abikan(Penasihat Undang-Undang Kementerian Kehakiman Arab Saudi).

Izinkan saya mengutarakan pandangan ulama' yang membenarkan penggunaan kalimah Allah bagi orang bukan Islam.

1. Surah Ali Imran ayat 64 yang bermaksud ‘Katakanlah(wahai Muhammad) ‘Wahai Ahli Kitab,marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah ,dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun, dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewa selain dari Allah. Kemudian jika mereka(Ahli Kitab) berpaling(enggan menerimanya)maka katakanlah kepada mereka ‘Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam’.

2. Surah Al Ankabut ayat 61 yang bermaksud ‘Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka ‘Siapakah yang menjadikan langit dan bumi dan menundukkan matahari dan bulan? Tentu mereka akan menjawab Allah,maka betapakah mereka dapat dipalingkan dari jalan yang benar’.

3. Surah Al Ankabut ayat 63 yang bermaksud ‘Dan sesungguhnya jika kamu menanyakan kepada mereka ‘Siapakah yang menurunkan air dari langit lalu menghidupkan dengan air itu bumi sesudah matinya? Tentu mereka akan menjawab Allah. Katakanlah ‘Sesungguhnya puji bagi Allah, tetapi kebanyakan mereka tidak memahaminya’.

4. Surah Al Ankabut ayat 65 yang bermaksud ‘Dalam pada itu,apabila mereka naik bahtera lalu menemui sesuatu bahaya di laut, mereka memohon pertolongan kepada Alah dengan doa yang tulus ikhlas kepadaNya. Kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka(naik) ke darat, mereka berlaku syirik kepadaNya.

5. Surah Luqman ayat 25 yang bermaksud ‘Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad )bertanya kepada mereka (yang musyrik itu )‘Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?Sudah tentu mereka akan menjawab Allah. Ucapkanlah (wahai Muhammad ) ‘Alhamdulillah’,bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui .

6. Surah Al Mukminum ayat 86-87 yang bermaksud ‘Tanyakanlah lagi ‘Siapakah Tuhan yang memiliki dan mentadbirkan Langit Yang Tujuh, dan Tuhan yang mempunyai Arash Yang Besar? Meraka akan menjawab ‘(Semuanya) kepunyaan Allah’. Katakanlah ‘Mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?.

7. Surah Al Zukhruf ayat 87-88 yang bermaksud ‘Dan sesungguhnya , jika kamu (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka ‘Siapakah yang menciptakan mereka? Sudah tentu mereka akan menjawab Allah. (jika demikian)maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dialah Tuhan yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata ‘Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!.

8. Rasulullah Saw bersabda yang bermaksud: ‘Tidak akan berlaku kiamat kecuali tidak ada lagi di bumi ini orang menyebut Allah ‘Allah’.(2)

9. Dalam bab Sumpah dalam kitab feqh, ada satu bab yang bertajuk ‘Taqhlizh Al Yamin Bil Lafhzi Wa Bizzaman Wal Makan(Bersumpah Dengan Bersungguh-sungguh Dengan Lafaz ,Masa Dan Tempat)’.

‘Adapun orang kafir yang bukan muslim maka bolehlah bersumpah dengan bersungguh-sungguh di sisi Mazhab Hanbali dan sekiranya Qadhi mahukan sumpah tersebut di sisi Mazhab Hanafi dan Syafie dan pendapat yang marjuh di sisi Mazhab Maliki.

Sekiranya orang yang bersumpah itu Yahudi, maka bersumpahlah dengan lafaz ‘Dengan nama Allah yang menurunkan kitab Taurat kepada nabi Musa’. Tambahan dari mazhab Syafie ‘Dan yang menyelamatkannya dari tenggelam’.

Sekiranya orang yang bersumpah itu Nasrani, maka bersumpahlah dengan lafaz ‘Dengan nama Allah yang menurunkan kitab Injil kepada nabi Isa’.

Sekiranya orang yang bersumpah itu Majusi atau Wasani,maka bersumpahlah dengan lafaz ‘Dengan nama Allah yang menjadikan kamu ‘.(3)

Saya yakin dan percaya sahabat-sahabat sudah pun memahami isu ini dengan jelas dengan dalil-dalil dari Al Quran, Hadis dan kalam ulama-ulama yang muktabar. Bolehlah saya simpulkan bahawa pada asasnya Allah adalah untuk semua manusia di dunia ini tidak mengira agama.

Bahagian yang kedua ,situasi ,suasana dan keadaan yang berlaku di tanah air.

Selama saya berada di Mesir dan pengamatan saya, aliran Kristian di negara-negara arab seperti Mesir meletakkan kalimah Allah di dalam gereja –gereja dan restoran –restoran mereka. Mereka sememangnya menganggap Allah Taala adalah Tuhan yang menciptakan manusia dan memberi rezeki. Bahkan mereka menggunakan kalimah Allah Taala sejak ribuan tahun lagi.

Situasi ini sangat berbeza dengan aliran Kristian di negara barat dan Malaysia. Sejak awal lagi mereka tidak pernah menggunakan kalimah Allah sebagai merujuk kepada Tuhan yang mereka sembah di dalam upacara ibadat, penerbitan dan gereja-geraja mereka. Sebaliknya mereka menggunakan kalimah God sebagai tuhan mereka dan Jesus merujuk kepada Nabi Isa.

Apabila timbul isu ini, maka tercetuslah kesangsian di kalangan umat Islam. Apakah motif sebenar penggunaan kalimah Allah tersebut.J ika untuk tujuan ibadah tidak pernahlah pula mereka menggunakan kalimah tersebut sebelum ini. Penggunaan kalimah Allah oleh pihak tersebut tanpa motif yang jelas menimbulkan prasangka dan kebimbangan oleh umat Islam serta dibimbangi berlakunya penyalahgunaan kalimah Allah(1).

Dalam konteks masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian pelbagai kaum dan agama walaupun hukum membenarkannya.

Mungkin saya dapat simpulkan bahawa kebimbangan oleh umat Islam di Malaysia adalah pada tujuan, niat atau motif sebenar pihak tersebut untuk menggunakannya serta dibimbangi berlakunya penyalahgunaan kalimah Allah dan bukan pada hukum penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.

Kesimpulannya;

1. Mendapatkan penjelasan dari pihak tersebut motif sebenar penggunaan kalimah Allah supaya tidak berlaku penyalahgunaan kalimah tersebut.

2. Menganjurkan dialog atau seminar untuk menjelaskan isu ini supaya tidak berlaku kekeliruan dan penyalahgunaan kalimah Allah. Ini semua bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip-prinsip keadilan seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam.

3. Memastikan kalimah Allah tidak disalahgunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama di tanah air khusunya dan Islam amnya.

4. Menyediakan garis panduan dan mewujudkan undang-undang serta hukuman sekiranya menyalahgunakan kalimah Allah ini.

Alhamdulillah saya mengharapkan sahabat-sahabat semakin jelas dalam memahami isu ini dan bersependapat dengan saya. Kita akan bersama-sama menentang sekiranya ada pihak-pihak yang cuba menyalahgunakan kalimah Allah yang mulia ini.

Rujukan:

1.Ustaz Nasruddin Hassan At Tantawi –Episode Sebuah Perjuangan (Isu Penggunaan Kalimah Allah)
2.Sahih Muslim 1/354.
3.Feqh Islami Wa Adillatuh 8/6071.

20 Muharram 1431 H.



Sabtu, 2 Januari 2010

Sambutan Tahun Baru Masihi, Satu Pandangan.


Alhamdulillah..Segala pujian dipanjatkan kepda Allah S.W.T atas luangan masa dan tenaga yang diberikan kepada saya untuk berkongsi serba sedikit tentang pandangan dan perbincangan ulamak Al-Azhar dan yang lainnya berkaitan sambutan tahun baru masihi yang diraikan setiap awal tahun oleh kebanyakan orang samada yang beragama nasrani mahupun Islam. Semoga Allah Ta’ala memberi petunjuk kepada kita semua dalam mencari kebenaran.

1 Januari adalah hari pertama bagi permulaan tahun dalam kalender Gregory. Kalendar Gregory yang disebarluas pada tahun 1582 sebagai menggantikan kelendar Julius tidak menetapkan 1 Januari sebagai Hari Tahun Baru ataupun hari pertama untuk tahun yang dinomborkannya. Pada tanggal 1 Januari 1622 barulah ditetapkan 1 Januari sebagai permulaan tahun. Sebelumnya setiap negara Eropah berbeza-beza dalam menetapkan hari pertama bagi tahun baru. England misalnya baru mula menggunakan 1 Januari sebagai Hari Tahun Baru pada tahun 1752. Sebelum ini dan sejak abad ke-13, tahun baru bermula dengan 25 Mac. Tarikh ini bertepatan dengan hari Jesus mula dikandung Maria seperti kepercayaan mereka dan pada tarikh ini juga Jesus disalib.

Setiap tahun bila tiba 1 Januari seluruh dunia akan meraikan sambutan tahun baru. Malaysia antara Negara yang meraikannya dengan penuh gilang gemilang.. 1 Januari juga adalah salah satu hari perayaan keagamaan bagi sesetengah Mazhab Kristian.walaupun mereka menganggap hari kelahiran Nabi Isa (Hari Natal) jatuh pada 25 Disember ,1 Januari tetap juga disambut sebagai permulaan tahun baru Masihi.(1)

Sesetengah ahli sejarah kristian mengangap Nabi Isa lahir setahun sebelum masihi . Ada juga yang berpendapat empat tahun sebelum masihi.(2)

Persoalannya adakah harus kepada orang Islam meraikan sambutan tahun baru ini? adakah dikira mengiktiraf agama Kristian dan terkeluar dari Islam apabila ada orang Islam meraikannya? ataupun meraikannya diaggap mengada-adakan berkara yang baru dalam agama dan sesat?. Malaysia khususnya merupakan Negara yang berbilang kaum dan agama yang memerlukan lebih toleransi dan pergaulan yang baik antara rakyat, adakah dibolehkan menyambutnya dalam kedaan ini?. Segala persoalan ini harus dijawab oleh para ilmuan Islam dengan pertimbangan yang adil sesuai dengan maqasid syariah dan tidak hanya melihat pada pendapat dan hujah yang dicenderungi sahaja.

Sekarang, mari sama-sama kita meniliti pandangan Ulamak dalam masalah yang dibincangkan..

Pertama: Ulamak telah bersepakat mengharamkan orang Islam merayakan sambutan tahun baru sebagai perayaan keagamaan serta menganggapnya dii’tiraf oleh Islam atau menyertai mana-mana upacara keagamaan yang dilakukan oleh orang bukan Islam.(3)

Kedua: Ulamak berselisih pendapat tentang hukum meraikan sambutan tahun baru sebagai sambutan kemasyarakatan dan adat serta jauh dari tanggapan sebagai upacara keagamaan.

Pendapat Pertama: HARAM meraikan sambutan tahun baru.

Dalil Pengharaman:
1. Sambutan tahun baru merupakan perayaan keagamaan bagi agama Nasrani dan Yahudi. syariat Islam telah melarang mengikuti upacara keagamaan mereka.Firman Allah S.W.T:

لِكُلٍّ۬ جَعَلۡنَا مِنكُمۡ شِرۡعَةً۬ وَمِنۡهَاجً۬ا‌ۚ
“Untuk tiap-tiap umat di antara kamu ,Kami jadikan aturan dan jalan yang terang”.
(Al-Maidah 48).

2. Riwayat dari Imam Tabari dan Imam Tarmizi dengan sanad yang dhoif. Sesungguhnya Nabi S.A.W bersabda:”Bukanlah dari kalangan kami sesiapa yang menyerupai selain daripada kalangan kami.janganlah menyerupai yahudi dan nasrani.Sesungguahnya salam orang Yahudi itu memberi isyarat dengan jari dan salam orang Nasrani itu dengan menegakkan tapak tangan”.

3. Merayakan tahun baru masihi boleh menjatuhkan identiti Islam yang berberbeza dengan agama yang lain.kerana islam hanya mengiktiraf hari Raya Puasa dan hari raya haji sahaja.

4. Hadis yang diriwayatkan oleh Syaikhani daripada Sayyidatina ‘Aisyah R.A : Sesungguhnya Nabi S.A.W bersabda: ”Barang siapa yang mendatangkan perkara baru dalam urusan agama kami apa yang bukan darinya makan ia ditolak”.

5. Perayaan tahun baru kebiasaannya bercampur dengan perkara mungkar seperti minum arak dan pergaulan bebas.maka menjauhi perkara tersebut adalah wajib.

6. Tidak sabit dari Rasulullah S.A.W dan para Sahabat merayakannya.maka asal perkara ini adalah dilarang.

Pendapat Kedua: HARUS meraikan sambutan tahun baru sebagai sambutan kemasyarakatan (ijtima’i) dan adat sekiranya tidak bercampur dengan perkara yang mungkar seperti minum arak dan perbuatan yang fasiq.Inilah pendapat kebanyakan Ulamak masa kini.

Dalil Pengharusan:

1. Umum firman Allah S.W.T:

لَّا يَنۡهَٮٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَـٰتِلُوكُمۡ فِى ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَـٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡہِمۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِين

“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu dan membantu orang lain untuk mengusirmu”.(Al-Mumtahinah 8).

2. Kebanyakan Fuqahak mazhab Syafi’e,Hanafi dan Hambali berpendapat harus menerima jemputan walimah orang bukan Islam yang tidak bercampur dengan perkara yang ditegah syara’.(4) Sesetengah Ulamak pula berpendapat tidak harus kerana ditakuti bercampur makanan mereka dengan yang haram dan najis.

Pendapat Jumhur tersebut berdalilkan Hadis Riwayat Syaikhani daripada Ibnu Umar.Sabda Nabi S.A.W: “Apabila dijemput salah seorang dari kamu untuk ke walimah maka penuhilah jemputan tersebut”(5)

Dan Firman Allah S.W.T:
وَطَعَامُ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَـٰبَ حِلٌّ۬ لَّكُمۡ وَطَعَامُكُمۡ حِلٌّ۬ لَّهُمۡ‌ۖ
“Dan makanan Ahli Kitab itu halal untuk kamu dan makanan kamu halal untuk mereka”(Al-Maidah, 5)

Apabila Jumhur Ulamak telah berpendapat harus menerima jemputan orang bukan Islam, maka haruslah juga menyertai mereka dalam sambutan kemasyarakatan dan bukan keagamaan.

3. Umat Islam sebenarnya lebih utama dan lebih layak untuk menyambutnya sebagai perayaan keagamaan berdalilkan hadis riwayat Syaikhani daripada Ibnu Abbas R.A bahawa Nabi S.A.W ketika sampai di Madinah mendapati orang Yahudi berpuasa pada Hari As Syura. Apabila ditanya kenapa kalian berpuasa? mereka menjawab,Allah telah mnyelamatkan Nabi Musa dan Bani Israil dari kejahatan firaun pada hari ini. maka sebab itu kami berpuasa pada hari ini sebagai memuliakannya.lalu Nabi S.A.W bersabda: ”Kami lebih layak dari kalian untuk memuliakan Nabi Musa”.maka Baginda memerintahkan untuk berpuasa.(6)

4. Sambutan tahun baru yang diraikan oleh masyarakat Islam hanyalah sambutan berbentuk kemasyarakatan dan adat yang terserlah padanya amalan-amalan mulia yang menepati syariah sebagaimana yang dituntut seperti tolong menolong dalam perkara kebaikan dan taqwa, meraikan hak-hak persaudaraan insan, memberi hadiah,berbalas ucapan dan doa seperti “selamat tahun baru”, “moga sepanjang tahun kamu dalam kedaan baik” dan sebagainya. Kalau dilihat kepada semua amalan ini,ia tidaklah bercanggah dengan Islam ataupun menyerupai ibadat khusus orang bukan Islam.

5. Rasulullah S.A.W tidak menyambut tahun baru sebagai sambutan kemasyarakatan pada zamanNya tidaklah bermakna ianya haram.tetapi disebabkan orang Yahudi dan Nasrani pun tidak menyambutnya ketika itu. Malah pada masa itu dakwah Islam masih lagi pada peringkat permulaan yang berhajat kepada perbezaannya dengan ajaran yang lain sehinggalah agama Islam dapat berkembang dan tertegak dengan kukuh.

Hujah ini dikuatkan dengan Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Anas R.A bahawa Nabi S.A.W pernah menziarahi khadamNya seorang Yahudi ketika beliau sakit. Lalu Baginda duduk dekat dengan kepalanya dan berkata: “Peluklah islam! Lalu Yahudi tersebut memandang ayahnya yang berada disisi.ayahnya berkata: Taatilah Abu Qasim!,kemudian Yahudi itu memeluk Islam. Lalu Rasulullah S.A.W keluar dari sisinya dan berSabda: “Segala puji bagi Allah yang telah mnyelamatkannya dari neraka”. Kisah ini menunjukkan pergaulan yang baik dengan bukan Islam boleh menyebabkan hati mereka tertarik dan mendapat hidayah Allah Ta’ala.(7)

Segala perbincangan di atas menjelaskan kepada kita kebanyakan Ulamak mengharuskan sambutan tahun baru diadakan sebagai sambutan kemasyarakatan dan adat seperti program kemasyarakatan semperna tahun baru, memberi hadiah, berbalas ucapan dan mengadakan jamuan selagi tidak terdapat unsur-unsur yang bercanggah dengan syariah seperti minum arak, pergaulan bebas, menyerupai ibadat agama lain dan sebagainya.

Dr Yusof Al-Qardhawi dalam kitabnya “Dirasah Fi Fiqhi Maqasid Asy-syariah” menyebutkan harus kepada seorang muslim atau institusi Islam mengucapkan tahniah kepada orang bukan Islam sempena hari perayaan mereka samaada dengan lisan ataupun kad ucapan yang tidak menunjukkan persamaan dengan syiar agama mereka dan redha dengannya serta jelas bercanggah dengan syariah Islam.

Diriwayatkan penah seorang majusi berkata kepada Ibnu Abbas: “Assalamualaikum”.Maka Ibnu Abbas menjawab: “Wa’alaikumussalam WarahmatuLLAH”.lalu bertanya sesetengah sahabatnya: “Kamu katakan “WarahmatuLLAh”?,jawab Ibnu Abbas: “Bukankah dia hidup dengan Rahmat Allah”?.(8)

Majlis Fatwa Dan Kajian Eropah juga memutuskan perkara yang sama pada Qarar mereka yang bernombor (3/6).(9)

Firman Allah S.W.T:

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ۬ فَحَيُّواْ بِأَحۡسَنَ مِنۡہَآ أَوۡ رُدُّوهَآ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَىۡءٍ حَسِيبًا
“Apabila kamu dihormati dengan suatu penghormatan,maka balaslah penghormtan itu dengan yang lebih baik atau balaslah dengan yang serupa”.(An-Nisa’:86)

Kesimpulannya,saya berpendapat seperti kebanyakan Ulamak yang mengharuskan umat Islam untuk meraikan sambutan tahun baru Masihi lebih-lebih lagi tahun baru Hijrah dengan aktiviti-aktiviti yang baik seperti berhimpun beramai-beramai, berbalas ucapan dan hadiah,menghadiri jamuan,walaupun jamuan itu dianjurkan oleh orang bukan Islam seperti yang dilakukan oleh sesetengah pemimpin Islam di beberapa buah negeri selagi tidak menyertai ibadat khusus mereka. Malah amalan-amalan seperti ini sangat sesuai dilakukan di Malaysia yang masyarakatnya berbilang kaum dan agama untuk lebih menzahirkan keadilan Islam dan melahirkan sikap toleransi dalam meraikan hak-hak bersama selagi tidak bertentangan dengan perinsip agama. Cuma apa yang sedikit mengecewakan ialah sambutan tahun baru Masihi diraikan oleh umat-umat Islam termasuk di Negara kita lebih meriah berbanding dengan sambutan hari-hari kebesaran Islam terutama pada awal Muharram. Hal seperti ini harus diubah agar hari-hari kebesaran islam pun diraikan dengan meriah malah lebih meriah supaya agama Islam lebih dapat dihayati oleh masyarakat dalam kehidupan mereka.

Selamat Tahun Baru 2010.

Waallahu A’lam.


Rujukan.
1. http://id.wikipedia.org
2. Tarikh Al-Anbiyak Warrusul Wartibatu Zamani Wal-‘aqaidi (ms:295)
3. Thalathun Qadhiyyah Fi Masail Al-Fiqhiyyah Al-Ijtima’yyah Al-Mu’asorah, Dr Sa’aduddin Mus’ad hilali (ms:136)
4. Al-Fiqhu ‘ala Mazahib Al-Arba’ah.(2/ms:33-35)
5. Sahih Al-Bukhari. (3/5173)
6. Sahih Al-Bukhari. (3/3943)
7. Thalathun Qadhiyyah Fi Masail Al-Fiqhiyyah Al-Ijtima’yyah Al-Mu’asorah, Dr Sa’aduddin Mus’ad hilali (ms:138)
8. Dirasah Fi Fiqhi Maqasid Asy-syariah.(ms:274)
9. Qararat Wafatawa Al-Majlis Al-Oroba Lil-Ifta’ Wal-Buhuth.Fatwa (33),Qarar(3/6).

Selasa, 22 Disember 2009

DOA ORANG YANG DIZALIMI KEPADA PENZALIM BERAGAMA ISLAM


Alhamdulillah saya panjatkan kesyukuran kepada Allah Taala kerana dipanjangkan umur untuk memberi khidmat kepada Islam dan memberi kesedaran kepada mereka-mereka yang lalai diulit nikmat dunia yang sementara tanpa memikirkan kehidupan yang kekal abadi di syurga nanti insyaAllah.

Kali ini saya diberi keizinan oleh Allah Taala untuk membicarakan tentang 1 isu yang mana menjadi perbualan utama masyarakat-masyarakat di tanah air hari ini. Saya menganggap isu ini masih lagi menjadi perbualan hangat walaupun sudah di jelaskan oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab. Tajuk kita kali ini ialah ’Doa orang yang dizalimi kepada penzalim beragama Islam’.

Isu ini timbul apabila seorang ketua kerajaan dan juga ulama mendoakan kepada seorang ahli politik dan juga ketua kerajaan supaya Allah membukakan hatinya membayar royalti petroleum untuk negerinya. Sekiranya beliau enggan maka musnahkanlah masa depannya.


Ini adalah rangkap doa tersebut Ya Allah Ya Tuhanku,tolong bukakan hati Perdana Menteri Malaysia supaya perbetulkan fikirannya dan memberi royalti petroleum kepada Kelantan. Sekiranya beliau ada niat jahat maka musnahkannya’.

Inilah lafaz atau rangkap sebenar doa Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) yang sebenar. Apa yang saya sedih ialah sesetengah media-media massa dan cetak mengeksplotasikan dan memutarbelitkan fakta yang sebenar. Maka kucar kacirlah masyarakat kerana kerja-kerja yg tidak bertanggungjawab ini. Doalah mudah-mudahan golongan seperti ini bertaubat serta mendapat taufiq dan hidayah dari Allah Taala.

Tidak perlulah untuk saya jelaskan tentang kepentingan berdoa kerana masyarakat kita sudah pun mengamalkan amalan berdoa ini dari ulama-ulama yang terdahulu.

Di sini perbincangan yang saya ingin utarakan adalah adakah doa seperti doa TGNA ini dibenarkan atau tidak? Kalau dibenarkan dimanakah buktinya? Kalau tidak dibenarkan apakah alasannya? InsyaAllah kita akan bincangkan bersama-sama.

Pertama, kita kena pastikan apakah situasi yang dialami oleh TGNA. Kita mendapati bahawa TGNA telah dizalimi oleh sesorang kerana haknya dinafikan berbelas-belas tahun sebelum ini tetapi TGNA khususkan untuk isu ini sahaja. Maka TGNA dikategorikan sebagai orang yang dizalimi.

Kedua,adakahTGNA dibenarkan berdoa lebih-lebih lagi beliau di zalimi? Seperti yang saya nyatakan sebelum ini bahawa kita di galakkan berdoa kepada Allah Taala di mana jua pun kita berada tidak mengira pagi atau siang, malam atau petang, sihat atau sakit. Buktinya Allah Taala berfirman yg bermaksud ‘Berdoalah kepada Aku nescaya Aku akan perkenankan doa-doa kamu”(1).

Dalam keaadan biasa pun kita di galakkan berdoa apatah lagi doa orang yang merintih meminta pertolongan dan dizalimi. Maka digalakkan lagilah untuk berdoa. Di sini doa golongan-golongan seperti ini berbeza keadaannya kerana mereka dizalimi dan doa ini dikenali sebagai ‘Dakwatul Mazhlum’.

‘Dakwatul Mazhlum’ adalah doa orang yang dizalimi dan mempunyai keistimewaannya tersendiri kerana doa-doa dari mereka tidak ada hijab dan halangan-halangan dengan Allah Taala. Ini berpandukan Sabda Rasulullah yg bermaksud ‘Takutlah olehmu akan doa orang-orang yang dizalimi kerana sesungguhnya antara doa orang-orang yang dizalimi dengan Allah Taala tidak ada hijab(halangan)(2).

Saya menganggap sahabat-sahabat telah jelas dan memahami keadaan dan situasi TGNA iaitu TGNA dalam posisi orang yang dizalimi.

Ketiga,adakah TGNA khususnya dan orang-orang islam umumnya dibenarkan mendoakan kebinasaan kepada orang yang menzaliminya? Dalam isu ini kita boleh kategorikan kepada 2 bahagian. Pertama, orang yang zalim itu tidak beragama Islam. Kedua, orang yang zalim itu beragama Islam. Izinkan saya fokus kepada bahagian yang kedua.

Ulama-ulama kita Rahimahullah telah pun membicarakan tentang isu ini dan ianya telah berlaku pada zaman Rasulullah lagi. Elok rasanya saya nyatakan disini supaya kita bertambah yakin dan jelas.

1.Dalam riwayat Imam Muslim dlm Sahihnya menceritakan seorang sahabat besar Rasulullah iaitu Sa’id bin Zaid telah berdoa kpd Allah Taala supaya mengambil tindakan kpd Arwa binti Aus yang memfitnah beliau mengambil tanahnya dan beliau mengangkat kes tersebut kepada Gabenor Marwan bin Al Hakam.Sa’id bin Zaid berdoa dgn menyebut ‘Ya Allah!Jika dia seorang pendusta maka butakanlah matanya dan bunuhlah dia dlm tanahnya’.Maka Arwa binti Aus pada akhir hayatnya buta matanya dan dia mati kerana terjatuh dlm sebuah lubang dalam tanahnya ketika dia berjalan.Beliau sering berkata ini adalah akibat dari doa Sa’id bin Zaid(3).

2.Dalam riwayat Imam Bukhori dlm Sahihnya pula menceritakan bahawa ada seorang penduduk Kufah yg mempertikaikan gabenor mereka iaitu Saad bin Abi Waqqas sedangkan beliau beliau sahabat Rasulullah yang besar dan pemimpin yang soleh.Maka Khalifah Umar Al Khattab mengambil tindakan dan menggantikan beliau dgn Ammar bin Yasir.Ketika siasatan dijalankan,didapati setelah Saad dibawa ke masjid-masjid bahawa rakyat memuji kepimpinannya kecuali di Masjid Bani Abs apabila seorang yg bernama Usamah bin Qatadah bangun membuat dakwaan spt berikut ‘Sesungguhnya Saad tidak menyertai peperangan dan tidak membahagi secara saksama dan tidak adil dalam hukuman’.Saad menjawab ‘Demi Allah aku akan berdoa dgn 3 perkara.Ya Allah!Jika hambaMu ini(penuduh) seorang pendusta tampilkan diri utk menunjuk-nunjuk,maka panjangkan umurnya dan panjangkan kefakirannya serta dedahkan dia kpd fitnah’.Maka lelaki tersebut hidup sehingganya umurnya terlalu panjang tetapi masih mengganggu gadis-gadis di jalanan dan cuba meraba mereka(4).

3.Seorang sahabat Rasulullah yg bernama Muhallam bin Jassaamah telah membunuh Amir bin Al Adhbad Al Ashjae.Rasulullah sangat marah kerana peristiwa tersebut lalu baginda berdoa ‘Ya Allah janganlah kamu ampunkan dosa Muhallam’ sebanyak 3 kali.Akibat dari doa Rasulullah itu,mayat Mahlam tidak dapat di tanam kerana bumi mengeluarkannya apabila di tanam.Akhir sekali mayatnya ditimbus dgn batu sehingga terbenam ke dalam tanah.Kisah ini dirakamkan oleh Allah Taala dlm Surah An Nisa’ ayat yg ke 94(5).

Hadis-hadis di atas cukup dan jelas menunjukkan bahawa ianya dibenarkan dalam Islam. Saya secara peribadi merasa sangat sedih kerana ada segelintir manusia yang berlatar belakangkan pengajian Islam menafikan secara mutlak Islam tidak membenarkan berdoa kepada orang zalim dan mencabar ulama-ulama supaya menunjukkan bukti bahawa Islam membenarkannya, semata-semata untuk mempertahankan dan membenarkan kata-kata pimpinan dalam parti politiknya untuk mendapatkan habuan dunia. Mudah-mudahan Allah membuka pintu hatinya dan kembali ke jalan yang benar.

Tidak sempurna rasanya kalau saya tidak membawa perbahasan ulama-ulama mengenai isu ini. Tanpa ulama-ulama siapakah kita hari ini. Faktanya PHD atau MA serta tulisan-tulisan kita hari di ambil daripada penulisan dan pemikiran ulama-ulama terdahulu.J anganlah kita lupa jasa-jasa mereka dan sewenang-wenangnya mengkritik dan menghina mereka tanpa hujah serta bukti yg sahih. Sama-samalah kita muhasabah diri kita bersama.

1.Imam Qarafi membahagikan doa ke atas orang zalim kepada 4 jenis:

1. Doa terlucut jawatannya supaya hilang kezalimannya. Ia wajar
2. Doa kehilangan anak dan ahlinya. Ia dilarang
3. Doa ditimpa musibah melakukan maksiat seperti minum arak, mengumpat dan sebagainya. Ia juga dilarang
4. Doa ditimpa kesakitan pada tubuh badan melebihi hukuman yang sepatutnya diterima. Ia tidak wajar(6).

2.Al Hafiz Ibnu Hajar menyebut dalam kitabnya tentang kisah Saad bin Abi Waqas yg bermaksud ‘Berdasarkan kisah ini,harus berdoa khusus kepada orang zalim dengan sesuatu yang boleh mengurangkan tahap agamanya.Disini bukanlah maksudnya untuk mengharapkan dia melakukan maksiat tetapi supaya dia merasai balasan dan kekesalan atas perbuatannya yang zalim(7).

Alhamdulillah saya menganggap sahabat-sahabat bertambah jelas dan faham situasi dan hukum tentang isu ini. Sahabat-sahabat boleh menilai dengan hujah-hujah yang saya bentangkan di sini bahawa apa pun perkara-perkara yang ulama-ulama kita buat ada bukti dan asasnya. Bukan kerana hawa nafsu dan dendam kesumat yang bertahun-tahun lamanya. Buktinya sangat-sangat jelas.Ulama adalah pewaris nabi-nabi’.Apapun,terpulang kepada seseorang itu untuk memaafkannya ataupun sebaliknya. Ianya bergantung kepada masa dan keadaan.

Akhir sekali saya mengharapkan sahabat-sahabat dapat mengambil faedah dan kebaikan dari artikel yang tidak seberapa ini untuk kita jelaskan kepada masyarakat tentang kepentingan ilmu supaya kita dapat menilai sesuatu isu dengan ilmu bukan dengan hawa nafsu. Mudah-mudahan ilmu dan keberkatan yang dicurahkan oleh ulama-ulama Al Azhar As Sharif di sini dapat membantu kita semua ke jalan yang diredhai oleh Allah Taala.

1.Surah Qhafir ayat 60.

2.Hadis riwayat Ibnu Hibban 3/160 no 875.

3. Diriwayatkan oleh Imam Muslim 58/5

4. Diriwayatkan oleh Imam Bukhari 192/1 no 755

5.Ar Raudul Unuf -Tafsir Sirah Ibnu Hisham 4/241.

6.Al Fawakih Ad Dawani –Imam Qarafi 1/470.

7.Fathul Bari –Ibnu Hajar 2/317 (Kitab Azan).



Sabtu, 19 Disember 2009

YAB TUAN GURU DATO NIK ABDUL AZIZ NIK MAT DAN WANG TAJAAN KE MEKAH

Salam perjuangan kpd sahabat-sahabat semua.Alhamdulillah kerana Allah telah bg saya kelapangan sekali lg utk berbicara dan berkongsi keberkatan ilmu dari ulama-ulama Al azhar As sharif. Saya panjatkan kesyukuran kerana Allah menempatkan saya belajar di Universiti Al Azhar As Sharif yg penuh dgn keberkatan ulama-ulama terdahulu.

Tajuk kita pd kali ini ialah ttg ‘Wang Tajaan Ke Mekah Kepada Tuan Guru Dato MB Kelantan’.Sewaktu ketika dahulu isu ini menjadi buah mulut sesiapa sahaja kerana ianya melibatkan tokoh ulama dan politik Islam yg terkenal di seluruh dunia.

Tidak perlu utk saya perkenalkan siapa TGNA (Tok Guru Nik Aziz) krn beliau telah pun di kenali di seluruh Malaysia dan dunia.Bagaimana kehidupan beliau,apakah amalan-amalan beliau sehinggakan dirinya sgt dekat dgn Allah Taala,bagaimana pemerintahan Islam di negeri beliau dan menjadi contoh kpd Malaysia dan dunia serta byk lg keistimewaan beliau yg semua dah pun tahu.Beliaulah ulama dan beliaulah ahli politik Islam. Memang layaklah beliau diiktiraf dan disenaraikan antara 50 tokoh Islam paling berpengaruh di dunia.

Pertama, kita kena tahu bahawa menunaikan haji dgn wang hadiah adalah harus tanpa sebarang khilaf ulama lebih-lebih lg menaja ulama-ulama yang sentiasa mencurahkan ilmunya kpd org ramai.

Namun ianya menjadi isu kerana TGNA ini bkn sahaja ulama tetapi ketua kerajaan. maka istilah rasuah mula timbul kerana TGNA mempunyai pangkat dan kekuasaan.

Kedua, apakah itu rasuah? Rasuah mengikut perundangan Islam ialah ‘apa-apa yg diberikan utk membatalkan sesuatu yg benar dan membenarkan yg batil(1) .Untuk jelas lg bolehlah rujuk kitab-kitab perundangan Islam dan feqah.


Saya datangkan beberapa dalil-dalil supaya kita lebih jelas dlm memahami isu ini.

1.Hadis yg di riwayatkan oleh Imam Abi Daud dlm Sunannya yg bermaksud ‘Barangsiapa yg telah kami ambil utk melakukan sesuatu kerja dan telah ditetapkan baginya rezeki(gaji atau upah) maka apa yg diambilnya slps itu adalah ghulul(pengkhianatan)(2).

2.Hadis yg diriwayatkan oleh Imam Bukhori dlm Sahihnya yg bermaksud ‘Nabi telah bersabda kpd gabenornya yg bernama Ibnu Lutbiah yg tlh ditugaskan utk mengutip zakat Qabilah Azad, maka apabila selesai tugasnya beliau berjumpa dgn Rasulullah lalu beliau menyimpan sebahagian dari wang yg dikutip sambil berkata’ini untukmu(bahagian utk Islam) dan ini untukku yg diberikan sbg hadiah(oleh org ramai).Maka Rasulullah marah dan bersabda’Ketahuilah,pergilah kamu duduk di rumah bapamu atau ibumu sehingga dtg kepadamu hadiahmu,jika kamu benar-benar betul(layak mndpt hadiah).Ya Allah!Adakah aku telah sampaikan kpd umatku ttg hal ini.(3).

Ketiga, bagaimana pula dgn kes TGNA ini?Adakah ianya ada kaitan dgn hadis-hadis di atas?Kita mesti bijak dlm membuat penilaian kerana TGNA adalah ketua kerajaan dan juga ulama. Maka ianya memerlukan ketelitian dlm mengulas isu ini.

Ulama –ulama ada menyebut ‘harus hukumnya bg seseorang pemerintah dan pegawai menerima jawatan spt hadiah itu bermula semenjak sebelum dia memegang jawatan lg spt hadiah hubungan kerabat atau rakan. Namun ia dgn syarat nilai hadiah yg diberikan(slps mdpt jawatan) adalah sama dgn sebelum seseorg itu mendapat jawatan serta mestilah hadiah tersebut tidak mempunyai ikatan dan kaitan sama sekali dgn jawatannya atau kuasanya(4).

Imam Nawawi pula ada menyebut ‘Nabi telah menjelaskan dlm hadis yg sama bahawa sebab pengharaman terima hadiah sebegitu adalah disebabkan oleh jawatannya,berbeza dgn hadiah yg diberikan kpd bkn pegawai atau penguasa yg mana ianya digalakkan(5).

Saya menganggap sahabat-sahabat blh menilai hujah-hujah dan dalil-dalil diatas dgn baik.Saya menganggap sahabat-sahabat bersetuju dan yakin dgn pendapat saya mengatakan bahawa dlm isu TGNA ini tiada unsur rasuah kerana masyarakat dpt menilai latar belakang TGNA yg berpandukan Islam walaupun menjadi MB selama 19 tahun tp masih spt dahulu. Saya yakin dan percaya walaupun TGNA tidak menjadi MB beliau akan sentiasa menjadi tumpuan masyarakat kerana keilmuan dan kewarakannya.

Di sini saya datangkan kalam Imam Ghazali dlm kitab Ihya Ulumiddin supaya sahabat-sahabat lbh jelas dan yakin utk menilai isu dlm dlm konteks ilmu.

PERBEZAAN ANTARA RASUAH DAN HADIAH

1.Tujuannya utk mendapatkan pahala semata-mata di akhirak kelak spt memberi hadiah kpd ulama-ulama,org-org yg dlm kesusahan atau saudara-saudara seagama.Maka hukumya harus dan tidak ada masalah.

2. Tujuannya mendapatkan balasan sesuatu (harta) pd masa akan dtg spt seorang fakir miskin memberi hadiah kpd org kaya krn mahukan balasan dari kekayaannya.Maka ianya dinamakan hibah(hadiah) dgn syarat mahukan balasan . Ia menjadi sah apabila sempurna syarat-syarat akad hibah.

3. Tujuannya utk meminta tolong dgn melakukan perkara-perkara yg tertentu spt memberi hadiah kpd wakil sultan dan org-org yg ada kepentingan dgn sultan. Maka ianya menjadi rasuah sekiranya ia bertujuan mengambil hak orang lain atau perbuatan tersebut merupakan kewajipan pemerintah seperti menghukum orang zalim (hukuman akan dijalankan sekiranya ada ganjaran)kerana pemerintah wajib menegak keadilan tanpa mengharapkan ganjaran.

4. Tujuannya krn kasih sayang dan cara menunjukkan kasih sayangnya dgn memberikan hadiah dgn ikhlas dan tidak ada tujuan lain. Hukumnya adalah sunat.

5. Menghampiri seseorang yg berkuasa dan berpangkat utk mahukan sesuatu.Sekiranya tidak kerana kuasa dan pangkat nescaya dia tidak akan menghampiri org tersebut.Sekiranya dia mendekati seseorang tersebut kerana ilmu ataupun keturunannya maka perbuatannya dikira ringan dan mengambil sesuatu darinya adalah makruh. Sekiranya ia dilakukan kerana kuasa yang ada maka ulamak bersepakat hukumnya makruh yang sangat kuat dan mereka berkhilaf dalam menjatuhkan hukum haram(6).

Keempat, adakah wajar atau tidak TGNA menerima atau menolak tawaran tersebut? Kita telah jelas ttg hukum berkaitan dgn isu ini.Cuba kita bincang dalam konteks politik. Saya secara peribadi bersetuju dgn penolakan TGNA terhadap tawaran tersebut.

1. Mengelak tohmahan dan sangka buruk yg memudaratkan kerana ianya didahulukan berbanding dari mendapatkan kebaikan.Menunaikan haji membawa kebaikan kpd penderma dan penerima.Namun sekiranya ia memyebabkan nama baik kerajaan tercemar,wajarlah TGNA menolak.Walaupun kita jelas ianya adalah fitnah dan sangka buruk tp wajar utk TGNA mengelak dari tohmahan tersebut.

2. Maslahat umum didahulukan dari maslahat individu.TGNA rela korbankan kehendak dirinya krn hendak menjaga nama baik kerajaan dan rakyat-rakyatnya.Kalau TGNA menerima tawaran tersebut pun tidak menjadi masalah krn masyarakat sudah mengenali peribadi TGNA namun utk menjaga maslahat umum yg lebih besar lg TGNA mengorbankan kehendaknya untuk kebaikan semua.

Akhir sekali,saya yakin dan percaya sahabat-sahabat jelas ttg isu ini dan dimana posisi TGNA.Ingat! Kita menilai sesuatu isu dgn ilmu dan bukan dgn hawa nafsu.Mudah-mudahan dgn keberkatan ulama-ulama di sini iman dan taqwa kita semakin meningkat dari hari ke hari.

1.Syarhah As Sunnah –Imam Baghawi 10/88

2.Diriwayatkan oleh Imam Abi Daud –Maalim As Sunan - Hadis no 2943 3/8

3.Sahih Bukhori –Hadis no 2597,Sahih Muslim –Hadis no 1832

4.Al Mugni –Ibnu Qudamah 9/814,Subulassalam 4/577

5.Syarah Sahih Muslim –Imam Nawawi 6/462

6.Ihya Ulumiddin –Imam Ghazali (Bab ke 7-pada masalah yg berbeza-beza) 2/140.

Jumaat, 18 Disember 2009

Salam Maal Hijrah

BAIAH YG DIIKAT DGN TALAK 3 BERTA’LIK

Salam perjuangan kpd sahabat-sahabat semua.Alhamdulillah saya panjatkan kesyukuran kpd Allah Taala krn di beri keizinan utk bersama-sama berkongsi ilmu yg dicurahkan oleh ulama-ulama Al azhar As sharif yg terkenal dgn keilmuan dan kewarakan yg tiada tolok bandingannya.Sempena dgn Maal Hijrah 1431 ini, dgn izin Allah Taala dan keberkatan ilmu yg di berikan oleh ulama-ulama Al azhar Als sharif serta selaku mahasiswa Al azhar As sharif tergerak di hati ini utk saya bincangkan bersama sahabat-sahabat semua ttg satu isu yg bermain-main dan berlegar-legar di benak fikiran kita semua sebelum ini iaitu ’Baiah yg diikat dgn Talak 3 berta’lik’.Isu ini sewaktu dahulu menjadi topik hangat di kalangan masyarakat Malaysia kerana pengakuan oleh seorang ahli parlimen dari salah satu parti politik yg mengakui baiah spt ini berlaku kpd dirinya dan bkn arahan dari parti tersebut.Maka ruih rendahlah satu malaysia tidak kira agama dan bangsa membincangkan ttg isu ini walaupun tidak ada kefahaman yg jelas dari sudut agama.

Di sini, saya cuba bincangkan dari sudut hukum Islam dan politik.Pertama sekali kita kena jelas apakah itu baiah.Baiah adalah merupakan perjanjian utk memberi ketaatan manakala org yg melakukannya seolah-olah membuat janji setia utk menyerahkan dirinya dan urusan kaum muslimin kpd ketua.Ianya merupakan sunnah Nabi Muhammad yg pernah diberikan oleh para sahabat beberapa kali kpd Rasulullah spt Baiatul Aqabah Pertama dan Kedua serta Baiatul Ridhwan.Sahabat-sahabat bolehlah rujuk pd kitab-kitab sirah utk lebih jelas lg.

Kedua,apakah hukum melafazkan talak 3 dgn sekali lafaz? Ulama berbeza-beza pendapat dlm bab ini dlm 3 pendapat;

PENDAPAT PERTAMA : ianya adalah harus dan di benarkan serta jatuh 3 sekaligus. Ini merupakan mazhab Syafie dan Hanbali serta majoriti ulama-ulama terdahulu(1).

PENDAPAT KEDUA : Ia adalah haram dan berdosa serta jatuh 3 sekaligus.ini adalah mazhab Malik dan Abu Hanifah serta salah satu riwayat dari Ahmad(2).

PENDAPAT KETIGA : Ia haram dan hanya jatuh satu talak sahaja.Ini adalah pendapat sebahagian sahabat seperti Ali Abi Talib, Ibn MAs'ud, Abd Rahman Auf dan Az-Zubayr Awwam(3).

Ketiga,apakah hukum talak yg berta’lik? Sblm kita pergi jauh lg adalah lebih baik jika saya trgkn maksud talak yg berta’lik.Maksudnya ialah suami yg hendak menceraikan isterinya dikaitkan atau disandarkan talak tersebut dgn masa,perkataan atau perbuatan.Sbg contoh ‘ kamu(si isteri) akan diceraikan akhir bulan ini’.Contoh kedua ‘kamu akan diceraikan sekiranya zaid dtg’.Talak yg berta’lik ini hendaklah di ta’likkan dgn lafaz ‘sekiranya’,’sesiapa’,’apabila’,’tatkala’,’bilamana’ dan sepertinya (4). Dalil yg menunjukkan berlaku dan jatuhnya talak yg berta’lik ini adalah riwayat dari Abu Hurairah yg bermaksud ‘org Islam diikat dan di pegang pada syarat-syaratnya’(sesuatu yg di ta’likkan)(5).

Dalam bab ini ulama-ulama berselisih dlm 3 pendapat;

PENDAPAT PERTAMA ; jatuh talak sekiranya berlaku ta’lik.Ini adalah pendapat imam 4 mazhab.

PENDAPAT KEDUA; tidak berlaku talak walaupun berlakunya ta’lik tersebut.Ini pendapat dari Mazhab Zahiriah dan Syiah Imamiah.

PENDAPAT KETIGA; sekiranya ta’lik itu ta’lik qosam atau seakan-akan yamin iaitu sumpah yg memberi maksud bersifat ancaman dan tanpa niat, sekiranya melanggar talak maka talak tidak akan jatuh tetapi akan di kenakan kaffarah(denda) kerana melanggar sumpah.Ini adalah pendapat Ibnu Taimiah dan Ibnu Qayyim.Pendapat ini digunakan oleh qanun Mesir dan Syiria(6).

Dalam konteks parti politik,ianya berdasarkan kpd niat seseorang itu semasa baiah ta’lik ini di buat samada mengikut pendapat pertama,kedua atau ketiga kerana ianya sudah berlaku.Selepas ini,terpulang kpd mereka utk memilih mana-mana pendapat.Namun tidak menjadi masalah sekiranya mereka ijtihad untuk menggunakan pendapat yang ketiga spt di Negara Mesir dan Syiria.Apapun perjuangan menegakkan Islam dan kebaikan utk Islam harus di dahulukan dari segala-segalanya walaupun diri,keluarga dan harta menjadi taruhan.

Akhirnya sy mengharapkan sahabat-sahabat jelas dlm memahami isu dan hukum yang berkaitan dgn tajuk kita pd kali ini.Apa yg penting kita menilai sesuatu isu hendaklah berlandaskan ilmu dan bukan mengikut hawa nafsu.

P/S;Utk keterangan yg lbh jelas,bolehlah sahabat-sahabat rujuk kitab-kitab di bawah.Kl ada pembetulan, dialu-alukan utk kebaikan bersama.Artikel kedua akan muncul tidak lama lagi.

1.Al Muhazzab -Imam Syirazi 4/282,Al Mugni -Ibnu Qudamah 7/104.

2.Hashiyah Ad Dasuki -Imam Dasuki 2/385.

3.Zad Al Maad -Ibnu Qayyim 4/67.

4.Al Muktamad Fi Feqh Islami –Prof Muhammad Zuhaili 4/172

5.Di riwayatkan oleh Imam Abu Daud -Sunan Abi Daud 9/491.

6.Feqh Islami Wa Adillatuh -Prof Wahbah Zuhaili 9/6972.